Khamis, 26 Februari 2009

Professor Dr. Mohamad Agus Yusoff kecewa?????

Email ini wak terima daripada Professor Dr. Mohamad Agus Yusoff dari UKM, Bangi. Terima kasih prof diatas email daripada saudara. Wak dah baca, serta faham isinya. Bagi wak kandungan utama email ini lebih menuntut kepada cabaran untuk berubah !

Assalamualaikum wrth,

Salam kasih untuk sahabat sekalian. Nota ini tidak untuk membicarakan soal politik, apatah lagi untuk membahaskannya. Cuma ia sekadar untuk mengingatkan kita semua--intelek Melayu dan Islam--untuk menerima perbezaan pendapat dan menghormatinya sebagai satu prinsip yang perlu dihornati dalam hidup bernegara dan beragama.

Saya sendiri telah sekian lama cuba untuk tidak bersikap partisan--walaupun tentunya saya mengundi calon tertentu semasa pilihan raya--semata-mata kerana saya mahu memberi pendidikan kepada 'orang kita' bahawa politik itu tetap ada perbezaan pendapat dan kita perlu menerimanya. Namun hasrat saya tidak pernah kesampaian. Saya malah dikutuk dan dicaci.

Mula-mula dulu terkejut juga, tetapi akhirnya saya sedar bahawa itu adalah sebahagian dari reaksi segera kawan-kawan sekalian ke atas pendapat yang 'di udarakan' atau 'dipetik' dari temu bual yang diadakan. Saya ingin maklumkan temu bual saya dengan pihak media 'tidak pernah' disiarkan dalam konteksnya, kecuali temu bual secara langsung.

Mula-mula saya marah, kecewa dan sedih kerana kenyataan saya diputar belitkan (dengan cara potong ayat di tengah-tengah), tapi lama kelamaan saya memahami itu sebagai adat permainan yang harus saya terima. Jadi saya diam ajelah kerana yang penting pada saya bukan 'kenyataan saya yang diubah suai', tapi kawan-kawan sekalian sedar kepada kepentingan politik dan tanggungjawab politik.

Sekarang Alhamdulillah, saya tengok semuanya amat sedar kepada persekitaran dan keadaan politik negara. Itu bagus untuk kebaikan negara, yang jikapun pada waktu ini banyak yang tersekat, tapi insya-Allah dengan kesedaran dari kita semua satu hari nanti ia akan membawa perubahan kepada pllitik negara. PR atau BN semuanya sudah berjanji untuk berubah dan berazam untuk berubah. Itu bagus. Dan saya mengharapkan begitu!

Cuma saya berharap kita semua yang mahu menjadi agen perubah rakyat, janganlah apabila menulis, kita memaki antara satu sama lain. Itu tidak baik dan jauh dari mencapai tahap kematangan. Kita harus menerima perbezaan pendapat dalam politik. Kita geram, ya, tapi bukan dengan cara memaki hamun. Itu menolak kemunculan masyarakat sivil yang segar. Yakinlah jika perjuanagan kita baik, apa pun halangannya, ia tetap akan diterima rakyat. Dan seperti kita semua setuju--ALLAH itu Maha Adil.

Maaf jika pandangan dan nasihat saya menganggu.


Wassalam.

MOHAMMAD AGUS YUSOFF
UKM
019-3616***