Ahad, 3 Oktober 2010

Konstabel cedera motosikal ditendang

03/10/2010 8:47pm


IPOH – Seorang anggota polis cedera selepas motosikal yang ditunggangnya jatuh ditendang oleh seorang penjenayah di Kamunting, Taiping, kira-kira 95km dari sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, kejadian berlaku pada pukul 3.48 petang semasa Konstabel Norazlan Shah Norhak, 21, yang bertugas di Balai Polis Kamunting bersama rakannya sedang mengejar sebuah motosikal yang dinaiki dua suspek.

Beliau berkata, Norazlan bersama rakannya itu pada mulanya diarah ke Kampung Tersusun Bukit Jana, Kamunting bagi menyiasat dua suspek yang disyaki sedang mencuri penutup pili bomba.

"Menyedari kehadiran anggota polis, kedua-dua suspek melarikan diri dengan sebuah motosikal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, salah seorang suspek yang membonceng motosikal itu kemudian menendang motosikal yang ditunggang oleh Norazlan menyebabkan anggota polis itu terjatuh dan mengalami kecederaan di bahagian muka.

Katanya, rakan Norazlan bersama beberapa penduduk kampung berhampiran kemudian membantu untuk membawa Norazlan yang mengalami kecederaan di bahagian muka, ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan. – Bernama

Semalam Sabtu juga berlaku kes ragut dihadapan Pusat Kesihatan Apollo Jalan Taming Sari. Berhati-hati dengan dua remaja melayu yang menunggang motosikal , kedua-dua ini cukup licik dalam kerja meragut termasuk meragut telefon bimbit dari meja makan di warung dan restoran.

Modes operandi ialah salah seorang masuk ke kedai untuk membeli rokok dan sewaktu keluar akan merampas handbag, telefon dan apa saja yang bernilai. Manakala seorang lagi akan menunggu di atas motosikal yang siap sedia untuk memecut setelah rakannya berjaya mendapat subjek.