Rabu, 3 Oktober 2012

Siapa biaya Forum Awam Scorpene? (Utusan)

KUALA LUMPUR : Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari mempersoalkan penganjuran Forum Awam Scorpene di Hotel Excelsior, Ipoh baru-baru ini.

Ini kerana forum itu turut dihadiri Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel serta Naib Presiden dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan Saifuddin Nasution.

Katanya, pendedahan pihak tertentu sebelum ini telah menunjukkan pertubuhan tidak berdaftar itu menerima dana daripada Open Society Institute (OSI), pertubuhan yang diasaskan penyangak mata wang berketurunan Yahudi, George Soros.

"Saya difahamkan satu forum telah diadakan pada 30 September lalu di Ipoh dengan tema 'Skandal Kapal Selam Scorpene'.

"Saya ingin bertanya kepada penganjur, adakah forum itu turut dibiayai daripada dana asing yang disumbangkan oleh Soros? Dan adakah tali barut yang terlibat menganjurkan forum itu mendapat habuan lumayan daripada penyangak mata wang terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penganjuran forum itu katanya, hanya bertujuan memperlekehkan kapal selam buatan Perancis yang dikatakan terlalu mahal dan bermasalah.

"Sekaligus mereka membuat kesimpulan industri pertahanan Perancis telah menipu kerajaan Malaysia.

"Mungkin mereka mahu Malaysia membeli kapal selam buatan rakan-rakan Yahudi Soros," katanya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.