Khamis, 4 Julai 2013

100 guru ETA akan mengajar BI mulai 2014

Seramai 100 graduan muda dari Universiti Amerika Syarikat (AS) akan menyertai program Bantuan Pengajaran Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright di negara ini, tahun depan.

Duta Besar AS ke Malaysia, Datuk Paul W. Jones berkata program pada 2014 itu akan melibatkan penambahan satu negeri baharu, namun ia masih belum diputuskan Kerajaan Malaysia.

Ketika ini, guru-guru Amerika ditempatkan di sekolah-sekolah di Johor, Terengganu, Pahang dan Perak.

"Tahun ini, 75 graduan muda dari universiti Amerika Syarikat sedang menikmati layanan baik rakyat Malaysia, makanan dan budaya ketika mereka membantu mengajar Bahasa Inggeris di sekolah seluruh negara.

"Tahun depan, 100 orang akan mengikuti jejak mereka. Program ini berkembang pesat dan mencapai kejayaan luar biasa bukan sahaja hubungan antara insan malah kepada ramai pelajar yang boleh berlatih Bahasa Inggeris dengan penduduk tempatan," katanya kepada pemberita pada majlis resepsi 4 Julai sempena Hari Kemerdekaan AS.

Jones berkata, ramai pelajar di sekolah yang mengambil bahagian dalam program tersebut berjaya meningkat kemahiran bahasa Inggeris mereka dan memahami perbendaharaan kata serta tatabahasa.

Program ETA Fulbright yang bermula tahun lalu, merupakan inisiatif antara kerajaan Malaysia dan AS bagi menyokong pendidikan bahasa Inggeris di negara ini.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.