Isnin, 30 September 2013

Jangan salahkan kontraktor sahaja wahai CIDB dan JKR

KUALA TERENGGANU 30 Sept. - Lesen kontraktor yang terbabit dalam pembinaan Masjid Kampung Tebauk di sini yang runtuh sebahagian bumbung dan silingnya semalam boleh ditarik balik jika mereka didapati gagal mematuhi prosedur ditetapkan.

Menegaskan demikian, Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Terenganu, Ahmad Farrin Mokhtar berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menjalankan siasatan penuh mengenai kejadian itu.

Menurutnya, jika kontraktor terlibat didapati cuai atau tidak mengikut prosedur kerja ditetapkan, maka ia bakal berdepan tindakan tatatertib mengikut Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) 1994.

"Menerusi maklumat awal yang kita lakukan kontraktor berkenaan memang berdaftar dengan CIDB dan penuhi akta yang ditetapkan dan kita akan serahkan laporan kejadian ini kepada ibu pejabat.

"Kita juga akan melantik panel tatatertib yang terdiri daripada pegawai kanan CIDB yang akan menilai kes berkenaan sebelum hukuman penggantungan lesen dikenakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, semasa projek itu dijalankan kontraktor dan pembekal berkenaan berdaftar dengan CIDB.

Awal pagi semalam sebahagian bumbung dan siling ruang kedua solat Masjid Kampung Tebauk runtuh.

Insiden itu dipercayai berlaku pukul 4 pagi ini melibatkan kira-kira 20 peratus bahagian masjid itu yang siap dibina dua tahun lepas melibatkan kos RM5.7 juta dan boleh memuatkan 1,000 jemaah. - BERNAMA

SIKIT KOMEN OLEH TM,

Nampaknya pihak JKR  akan menjalankan siasatan terhadap kontrakor, tahniah lah dan TM juga berharap JKR juga menyiasat kakitangan jabatan mereka sendiri terutama semua yang terlibat dengan kontraktor. ADA  BERANI?

Ramai yang kenyang macam ular sawa daripada projek tersebut, sebab itu mereka tak ambil kisah sewaktu pembinaan dijalankan.

Apa yang berlaku di Terengganu amat memalukan, JKR mungkin boleh bersikap membisu dan terlepas dari segala kesalahan, yang mendapat nama buruk ialah kerajaan negeri terutama UMNO dan Menteri Besarnya.

Harap supaya SPRM dapat menyiasat JKR pula, apa masalah yang melanda jabatan tersebut. Mana tahu, hasil siasatan akan terjumpa bapa anaconda yang sedang menggeletar ketakutan akibat runtuhan tersebut.