Rabu, 11 September 2013

Mengenai Kalimah Allah ― Mohd Parid Sheikh Ahmad

Penyokong kuat Ikhwanul muslimin di Malaysia





JANUARY 16, 2013


16 JAN ― IKRAM maklum terdapat kegusaran di kalangan sebahagian umat Islam mengenai penggunaan kalimah “Allah” oleh penganut bukan Islam di negara kita.

IKRAM berpendirian bahawa hukum asalnya adalah harus bagi penganut agama lain untuk menggunakan kalimah “Allah”. Pandangan ini disandarkan kepada penggunaan kalimah “Allah” oleh orang bukan Islam seperti yang terkandung dalam banyak ayat-ayat al-Quran seperti ayat 61 dan 63 surah Al-‘Ankabut, ayat 78 surah An-Nisa’ dan ayat 78 surah Ali Imran. Mereka juga menggunakan kalimah “Allah” dengan makna yang bertentangan dengan sifat Allah seperti yang terkandung dalam ayat 30 surah At-Tawbah, ayat 68 surah Yunus serta ayat 17 dan 72 surah Al-Maidah.

IKRAM maklum bahawa terdapat kebimbangan di kalangan sebahagian masyarakat Islam bahawa jika diizinkan penggunaan kalimah “Allah” oleh selain orang Islam, pintu fitnah akan terbuka untuk memudahkan pengembangan agama Kristian, sekali gus memudahkan usaha mengajak orang Islam yang lemah akidah kepada agama Kristian. Untuk menangani masalah ini, IKRAM berpandangan bahawa penyelesaiannya bukan dengan menghalang penggunaan kalimah “Allah” tetapi dengan melipatgandakan usaha bagi menangani kelemahan aqidah dan kejahilan umat Islam sendiri.


Dalam konteks perkara-perkara 3 dan 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang merujuk kepada Islam sebagai agama persekutuan dan sekatan terhadap penyebaran agama lain di kalangan penganut Islam, IKRAM berpandangan apa yang sudah termaktub wajar dihormati.

Pandangan IKRAM ini bukan bermakna IKRAM merelakan sebarang agenda untuk menyebarkan agama lain dalam kalangan umat Islam. IKRAM menyeru semua agar menghormati peruntukan perlembagaan di dalam hal ini.

* Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad ialah Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.