Ahad, 10 November 2013

PRK SG LIMAU: KENAPA BN GAGAL ( FMT)

Angin perubahan seperti diharapkan oleh BN tidak menjadi kenyataan, apabila calon PAS, Mohd Azam Abd Samat, 37, memperolehi  12,069 undi  mengatasi calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, dengan majoriti 1,084 undi dalam PRK Sungai Limau pada 4 November lalu. Sekali gus, PAS mengekalkan rekod tanpa kalah sebanyak 6 kali berturut-turut.

Walaupun, Ketua Bahagian Umno Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilaporkan telah menerima kira-kira 300 ahli PAS menyertai Umno di sepanjang tempoh berkempen, tetapi  usaha itu tidak cukup untuk memberikan kemenangan kepada BN.

Sebelum ini, segelintir ahli PAS mendakwa pengundi akan beralih arah kepada BN kerana dipengaruhi  tawaran pakej pembangunan insan dan infrastruktur yang bernilai RM15 juta, termasuk RM2.25 juta diperuntukkan kepada tiga buah Sekolah Cina, serta RM3 juta sumbangan Yayasan Felda bagi membaikpulih rumah penduduk setempat oleh Giat Mara.

Namun, dakwaan itu ternyata meleset, BN hanya memperoleh 10,985 undi daripada jumlah pemilih berdaftar seramai 27,222 orang, kecuali peti undi Bukit Choras yang merekodkan peningkatan undi tinggi untuk BN, berbanding jumlah undian PRU-13 lalu.

Adakah peningkatan itu, semata-mata kesan dari pengumuman BN meluluskan peruntukan kira-kira RM400 ribu kepada Madrasah Darul Ulum, atau sememangnya pengundi di situ telah bersedia menyahut cabaran berani berhijrah oleh BN?

Penganalisa politik berpendapat, meskipun DUN Sungai Limau mempunyai pengundi Melayu teramai dengan 92.5%, namun pengundi Cina sekitar tujuh peratusa daripada keseluruhan pengundi, masih merupakan faktor utama sebagai penentu kemenangan, sama ada PAS atau BN.

Wakil Rakyat DUN Gurun, Dr Leong Yong Kong, mendakwa seramai 892 pengundi Cina telah mengundi BN, manakala baki 293 lagi mengundi PAS dalam PRK itu. Pola keluar mengundi dapat dikesan di peti undi Sungai Limau Dalam (480 orang), Sungai Limau Luar (204 orang) dan Batu 17 (208 orang).

Ironinya, PAS mengalami kemerosotan undi di lima pusat daerah mengundi yang mempunyai 10% hingga 26% pengundi Cina, iaitu di peti undi Sungai Limau, Kabu 10, Batu 16, Kampung Titi Batu, dan Sungai Limau Luar yang mempunyai pengundi Cina paling tinggi.

Hanya pengundi Cina MCA sokong BN

Mungkinkah perubahan pola pengundi Cina itu disebabkan pengumuman Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir untuk melantik wakil MCA sebagai Exco Kerajaan Negeri selepas PRK? Jika benar, ini bermakna hanya pengundi MCA saja kembali semula mengundi BN, selebihnya masih lagi setia menyokong PAS atau mengambil sikap berkecuali dengan tidak keluar mengundi.

Berdasarkan fakta itu, disimpulkan bahawa hanya seramai 1,185 keluar mengundi daripada 1,945 pemilih kaum Cina yang berdaftar pada PRU-13 lalu, iaitu seramai 892 (45%) mengundi BN, berbanding 293 (15%) lagi memilih PAS. Manakala, kira-kira 760 orang atau 40% pengundi Cina mengambil sikap berkecuali dalam PRK kali ini.

Tidak dinafikan, terdapat segelintir pengundi telah berpindah ke kawasan lain, namun persoalan ditimbulkan penyokong BN ialah ‘rahsia’ disebalik tindakan pengundi Cina (bukan ahli MCA) kira-kira 760 orang itu, yang mengambil sikap tidak keluar mengundi dalam PRK, sedangkan pada PRU lalu, mereka tidak bersikap demikian.

Tambahan pula, mereka itu adalah pemilih berdaftar di sekitar kawasan peti undi Permatang Buluh, Sungai Dedap, Bukit Besar dan Gelam Tiga yang juga merupakan kubu kuat PAS.

Seperti kata pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang, yang mempertikai dakwaan pemimpin MCA Jerai bahawa sokongan pengundi Cina meningkat kepada 732 undi berbanding dengan PRU-13 adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, kerana dakwaan itu seolah-olah mencerminkan BN kehilangan 267 undi Melayu dalam PRK itu.

Sebaliknya keputusan PRK menunjukkan undi BN hanya meningkat sebanyak 465 undi dari 10,520 undi (PRU) kepada 10,985 undi. Menurut penyokong PAS, penambahan undi BN itu berpunca dari undi bekas ahli PAS sendiri yang melompat menyertai Umno di sepanjang tempoh berkempen, termasuk pengundi calon Bebas dahulu seramai 184 orang yang kembali mengundi BN.

Dari sudut lain pula, meskipun PAS menang, tetapi jumlah majoriti PAS telah menurun dari 2,774 undi kepada hanya 1,084 undi saja. Situasi ini bukanlah sesuatu petanda baik buat parti itu. Apatah lagi, kemerosotan undi PAS sebanyak 1,225 undi dari 13,294 pada PRU lalu, turun kepada 12,069 undi.

Faktor tersebut, sudah tentu akan membuka ruang kepada BN untuk mengintai peluang menawan DUN Sungai Limau pada PRU-14 nanti. Apakah sikap berkecuali kira-kira 40% pengundi Cina itu, akan terus membantu kemenangan PAS pada masa depan? - FMT