Selasa, 17 Disember 2013

Salah siapa apabila bantuan yang berlambak tak sampai kepada mangsa banjir

Dalam keghairahan pelbagai pihak menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di negeri ini masih terdapat segelintir mangsa yang merasakan diri mereka seolah-olah dipinggirkan.

Entah mana silapnya, penduduk di perumahan Sungai Isap Murni, Sungai Isap Perdana dan beberapa kawasan lain di bandar ini seakan-akan dilupakan daripada menerima bantuan berkenaan.

Menurut salah seorang penduduk, Fazeedah Abdul Manaf, 38, dia mendengar pelbagai bentuk sumbangan dihulurkan kepada mangsa banjir di kawasan kediamannya seperti Sungai Isap Perdana dan perkampungan Sungai Isap.

"Apa yang menghairankan kami penduduk di sini ialah tiada bantuan tiba. Saya nampak banyak lori yang sarat dengan beras dan keperluan harian tiba, tetapi tidak pula singgah di sini.

"Bila kami bertanya kepada pihak berkaitan mereka memaklumkan bantuan hanya diberikan kepada mereka yang berdaftar sedangkan saya juga mendaftar di pusat bantuan banjir," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ibu kepada empat orang anak ini berkata, dia bukan hendak meminta-minta tetapi rasa terkilan apabila ada pihak menganggap mangsa banjir kini mewah dilimpahi dengan pelbagai sumbangan.

Bagi Nor Arsyad Yahya, 55, dia berharap pihak yang mahu menghulurkan sumbangan perlu yakin dan percaya dengan kebolehan jawatankuasa masjid untuk mengagihkan bantuan kepada penerima yang berhak.

"Saya lihat masih ramai mangsa banjir terpinggir daripada mendapatkan bantuan malah, individu yang sama pula tidak henti-henti dikunjungi orang kenamaan untuk menyalurkan sumbangan.

"Justeru, percayalah kepada peranan masjid dalam mengagihkan sumbangan atau menyampaikan sumbangan dari rumah ke rumah daripada menyerahkannya kepada pihak ketiga," jelasnya yang merupakan Setiausaha Masjid Saidina Ummar al-Khatab, Cenderawasih di sini.

Seorang mangsa di perumahan Sungai Isap Perdana, Rogayah Mat Zin, 47, pula berkata, dia hanya menerima sumbangan daripada persatuan Buddha sepanjang dua minggu bencana banjir yang memusnahkan pelbagai peralatan di rumahnya.

"Selepas beberapa hari pulang ke rumah dari pusat pemindahan hanya persatuan Buddha yang mendakwa dari Taiwan datang memberi barangan keperluan asas dan wang tunai RM200.

"Kalau nak harapkan pihak lain tidak tahu sebab sehingga kini tiada sebarang bentuk bantuan sampai ke rumah saya dan jiran-jiran," ujarnya.

Visit website

NOTA LUTUT,

Selalunya jika berlaku sesuatu bencana, jawatankuasa bertindak akan dibentuk untuk menguruskan segala bentuk tindakan dan perlaksanaan berjalan lancar.

Zaman Tok Mat jadi Menteri Penerangan, beliau melantik diri beliau atau RTM sebagai pihak nombor 1 dan jika tidak silap di peringkat daerah pula tanggungjawab di serahkan kepada Pegawai Daerah.

Ia berlainan dengan setengah negara maju yang menyerahkan tugas kepada Jabatan Pertahanan Awam atau Civil Defence.  Di Malaysia Civil Defence atau JPAM tidak ada kuasa untuk mengarah itu dan ini. Begitu juga dengan Majlis Tindakan Negara tidak ada kuasa pemutus dan penentu.

Kedua-dua badan ini hanya berada di barisan belakang dan hanya menunggu arahan untuk menjalankan tugas. MKN pula hanya memberi nasihat dan konsultasi sahaja.

Jika berlaku bencana seperti banjir, menteri besar tidak sesuai dan tidak boleh dilantik sebagai pengarah kerana beliau akan berada di saf bawah untuk turun melawat dan memantau mangsa dan sesuai dengan tuntutan politik.

Pengarah Bantuan Bencana hanya perlu berada di pusat komunikasi, menghubungi agensi luar, menerima barang keperluan dari agensi luar, menentukan bantuan sampai, mengesan masalah dan menyelasaikan masalah dari comand centre, tak perlu turun padang,  baru lah kes-kes seperti yang berlaku di Kampung Sungai Isap tidak ada berlaku.

Persoalan sekarang ialah sudah bersediakah JPAM memikul tugas dan tanggung jawab yang berat ini?

JPAM sehingga kini masih dibelengu dengan masalah kecelaruan pengurusan dan pentadbiran.

Pengarah JPAM sehingga kini adalah penjawat awam Jusa C dari jabatan lain yang datang dan pergi mengikut musim.

Yang kekal di situ ialah orang nombor dua iaitu Timbalan Pengarah dan paling lama di situ ialah Tuan Selamat.

Jadi dalam hal ini suara JPAM tidak akan didengar walaupu  mereka ini pakar dalam menguruskan bencana,

Tadi disebut kecelaruan pengurusan dalam JPAM. Apa masalahnya?

Okay, contohnya begini,

Dalam satu menyuarat peringkat daerah untuk merancang strategi bencana alam, yang hadir ke mesyuarat tersebut ialah ketua-ketua jabatan tetapi JPAM menghantar Pegawai Sukarela yang bergred R1 atau N1 atau kini KP 17 yang kerja hakikinya dalam JPAM sebagai pembantu pejabat atau pekerja rendah awam. Pegawai Pertahanan Awam Daerah ( PPAD) atau pegawai yg lebih tinggi tidak berani hadir kerana masalah inferiority complex.

Terdapat juga isu-isu dalam pentadbiran dan dalam membuat keputusan jabatan, terdapat campur tangan oleh pegawai penyelaras kadet yang lebih sudu dari camca.

Kes seperti ini wujud di Taiping dan akibatnya ahli cawangan semakin kurang aktif. Bak kata pepatah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Satu lagi masalah yang pernah di sebut oleh seorang pengarah JPAM yang telah bersara.

" Apabila saya masuk ke JPA3 buat pertama kali, saya perhatikan pokok-pokok tidak dicantas dan rumput panjang, kenderaan tidak terjaga, dll". Kenapa jadi begitu?

Jawapannya ialah ramai kaki tangan yang kerja hakikinya tukang sapu, tukang mesin rumput, jaga, drebar dll yang berpangkat pegawai pasukan.

Habis tu kalau dah berpangkat pegawai buat apa susah susah nak potong rumput dan cuci kereta, seminggu sekali kerah ahli-ahli sukarela untuk buat gotong royong.

Wah dah lari tajuk dari bantuan banjir tu!

Baiklah, JPAM perlu membuat tranformasi dan mendesak kerajaan memberi hak  kepada mereka untuk menjadi peneraju dalam pengurusan bencana alam kerana pada peringkat pengurusan tertinggi JPAM mempunyai pakar-pakar dan mendapat latihan di luar negara.

Buat apa kerajaan menghabiskan banyak wang melatih mereka tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Banyak negara luar sudah lama meletakkan Civil Defence sebagai peneraju utama dan semua jabatan kerajaan berada di bawah arahan CD.

Di Malaysia, selagi wujud kecelaruan pengurusan dan inferiority complex selagi itulah JPAM tidak akan dipandang dan diberi keutamaan,

Tahniah kepada Umno dari seluruh negeri yang datang menghulurkan bantuan.  Pemuda dan Puteri perlu diberikan kursus pengurusan bencana oleh JPAM.