Ahad, 5 Januari 2014

TAHNIAH: MUFTI PERAK PERTAHANKAN KENYATAAN BELIAU

SEJAK kenyataannya mengenai peserta demonstrasi malam 31 Disember lalu dikaitkan dalam golongan bughah (pemberontak), Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria terus menerima pelbagai cemuhan hingga ada desakan yang mahukan beliau meletakkan jawatan. Ada juga yang percaya kenyataannya disalah tafsir beberapa pihak. Wartawan Sinar Harian, Haslina Kamaludin mendapatkan penjelasan beliau berhubung isu berkenaan.

Apakah kenyataan sebenar Tan Sri mengenai demonstrasi baru-baru ini?

Kenyataan asal saya adalah berdasarkan demonstrasi pertama, iaitu ‘guling kerajaan’.

Kumpulan ini berhasrat untuk menjatuhkan kerajaan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat. Oleh kerana mereka mahu menggulingkan kerajaan, saya kaitkan dengan firman ALLAH SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 9 yang bermaksud; ‘Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satu berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah ALLAH; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum ALLAH), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil.’ Nama 'guling kerajaan' itu telah ditukar kerana tidak mendapat sokongan ramai, dan diganti dengan Turun. Walaupun mereka menukar nama, tetap dengan maksud sama.

Apakah pandangan Tan Sri apabila ada pihak mendakwa kenyataan bughah itu sebagai terlalu berat?

Bughah atau darah halal itu dalam konteks membahayakan nyawa orang lain dan niat mereka mahu menggulingkan kerajaan. Mereka kata mereka benar, tetapi cara mereka salah. Ayat (al-Quran) itu sudah lengkap. Walau apa pun alasan, cara itu tetap salah. Saya juga tidak bercakap kosong. Lihat sahaja pada hari kejadian, polis menjumpai pelbagai senjata seperti parang dan juga bom buatan sendiri.

Apakah itu dikatakan aman? Jika benar tidak setuju dengan harga barang dan kenaikan kos sara hidup, buatlah cara yang betul. Pergi pejabat Perdana Menteri, beri memorandum. Demonstrasi bukan penyelesai kepada masalah, malah ia menambah masalah kepada orang lain. Saya sendiri, kalau ada yang tidak kena, saya akan jumpa perdana menteri dan nyatakan apa yang benar mengikut ajaran Islam. Tapi, kalau berkaitan ekonomi atau yang lain-lain, itu bukan kepakaran saya.

Timbul dakwaan mengatakan Tan Sri tidak bijak dalam mengeluarkan kenyataan kerana demonstrasi itu tidak seperti digambarkan?

Macam-macam orang lempar kenyataan kepada saya, tetapi saya tidak kisah kerana saya bercakap berlandaskan al-Quran. Bukan saya pandai-pandai cakap.