Isnin, 17 Mac 2014

Khairy Jamaluddin Menteri Publisiti Murahan?

 
Seperti yang kita semua sedia maklum, kejatuhan Tun Abdullah Badawi dikaitkan rapat dengan menantunya, Khairy Jamaluddin.  Pada ketika pemerintahan Tun Abdullah, boleh dikatakan rakyat Malaysia bersatu menentang anak muda ini yang telah terbukti terlibat dalam beberapa urusan 'perniagaan' yang meragukan. 
 
Beberapa tindakannya telah didapati merugikan Malaysia dan memberi keuntungan kepada syarikat-syarikat negara jiran di selatan.    Beliau juga telah dibuktikan terlibat dalam politik wang suatu ketika dahulu, namun nasib menyebelahinya apabila terus diberi peluang mengorak langkah oleh kepimpinan baru sehingga ke tahap Menteri. 
 
Apa yang dikhuatiri ialah, Khairy Jamaluddin kini dilihat mengulangi sikap yang sama ketika di zaman Tun Abdullah Badawi.  Beliau terlibat hampir dalam semua perkara dan amat gemar membuat kenyataan media walaupun dalam hal yang tidak berkaitan dengan kementeriannya.   Selain itu, cakap-cakap di peringkat akar umbi pula kedengaran meragui tindakannya yang lebih berupa sabotaj terhadap parti ketika menghadapi beberapa pilihanraya kecil akhir-akhir ini.  Hakikat bahawa beliau melantik seorang DAP, iaitu Regina Lee sebagai setiausahanya menguatkan persepsi bahawa beliau merupakan gunting dalam lipatan. 
 
Modus operandi Khairy cukup licik.  Seperti Anwar Ibrahim, beliau membiarkan dirinya dikritik dengan hal-hal remeh sebelum membalas kritikan dengan lantang.  Kelantangannya itu kemudiannya disebar secara sistematik oleh media massa dan media-media sosial bagi meningkatkan populariti dirinya. 
 
Siapa tidak ingat bagaimana Khairy membina 'makmal' untuk mengkaji kos sara hidup walaupun ia bukan termasuk dalam portfolionya.   Malah, Khairy akan membuat kenyataan dalam apa-apa jua isu berbangkit sehinggakan Menteri-menteri lain dilihat sebagai tidak berkesan.  Oleh itu,  ramai yang tertanya-tanya, apakah portfolio Khairy Jamaluddin di dalam kerajaan sebenarnya?
 
 Apakah beliau telah kembali memegang jawatan tidak rasminya sebagai 'pemimpin negara' yang disandangnya ketika di zaman Tun Abdullah dahulu? 
 
Baru-baru ini Khairy menegur Menteri Agama dalam isu bomoh bodoh di KLIA.   Sepantas kilat laman sosial rakyat dibanjiri kisah Khairy VS bomoh yang langsung tidak bermakna apa-apa dalam hidup kita selain sebagai hiburan tahap murahan yang memualkan.   Seperti kata rakan-rakan penulis, di kala semua menteri sibuk dengan MH370, Khairy sibuk menangguk publisiti.  
 
Walaupun majoriti rakyat turut menghentam bomoh tersebut, namun teguran Khairy dilihat tidak bertempat dan sengaja diada-adakan.   Akibatnya, rakyat terutama akar umbi UMNO semakin musykil dengan kedudukan Khairy di dalam pentadbiran negara.  Dan ini tentulah tidak baik bagi kepimpinan.
 
Dalam Khairy mengejar publisiti beliau tiba-tiba bisu apabila 6 orang belia meninggal dunia akibat dadah di sebuah konsert yang berlangsung selama tiga hari di Bukit Jalil.  Tidak sepatah pun nasihat atau teguran yang keluar dari mulutnya berikutan kejadian tersebut.   Khairy nampaknya telah benar-benar celaru dengan portfolio sendiri sebagai Menteri Belia dan Sukan. 
 
Kita tidak menyalahkan Khairy dalam kejadian di Bukit Jalil dan kita juga tidak menjangkakan Khairy mampu berbuat apa-apa bagi menghalangnya. 
 
Tetapi, kita tertunggu-tunggu Khairy membuat kenyataan menyeru anak muda agar tidak mudah hanyut ke dalam kegelapan.   Kita menunggu Khairy memberitahu anak muda bahawa muzik tidak semestinya dikaitkan dengan maksiat.    Dadah, arak dan seks bebas bukan berpunca dari muzik tetapi dari jiwa dan minda yang kosong. 
 
Inilah masanya Khairy bangkit sebagai pemimpin anak muda, membawa mereka ke arah pembentukan jati diri yang jitu, berasaskan budaya Malaysia yang sederhana serta berdiri atas ilmu pengetahuan dengan yakin.     
 
Kita menunggu Khairy berpesan kepada anak muda agar tidak perlu menjadi Mat Saleh dan tidak perlu menjadi Arab.  Kita menunggu Khairy menyeru anak muda kita menjadi Melayu atau rakyat Malaysia yang mempunyai hala tuju hidup yang jelas serta tidak mudah terpengaruh dengan cara hidup yang merosakkan diri.  
 
Sebagai Menteri yang prihatin dan bertanggungjawab dan kononnya bijak, sekurang-kurangnya kata-kata sebeginilah yang kita ingin dengar dari mulut Khairy pada ketika ini.  Berpesanlah kepada anak muda kita agar berhibur biar berpada-pada, beramal juga jangan sampai menjadi takbur. 
 
Malangnya, Khairy adalah Khairy.  Beliau tidak mampu bertindak dengan tepat atas isu yang relevan.   Justeru, sehingga ke hari ini, beliau masih tidak mampu menonjolkan apa-apa hasil dari 'khidmatnya' di dalam kerajaan mahupun UMNO.   Malah, kewujudan beliau di dalam UMNO sejak dari awal hanya menyebabkan semakin ramai meragui UMNO kalau pun tidak terus meninggalkan UMNO. 
 
Kesimpulannya, Khairy telah gagal menangani masalah yang menyelubungi belia di Malaysia kerana beliau terlalu sibuk dengan publisiti diri.   
 
Atau mungkinkah kita yang terlepas pandang dan terlalu meletakkan harapan tinggi terhadap Khairy?  Mungkinkah Khairy bukannya tidak prihatin dengan belia negara ini, tetapi pegangan 'liberal centristnya' telah menyebabkan beliau melihat dadah dan maksiat sebagai bukan satu masalah besar yang perlu ditangani?
 
Jika ini benar, apakah relevannya Khairy kepada agama, bangsa dan negara ini?   


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.