Ahad, 26 Julai 2015

APABILA PENIPU KENA TIPU OLEH BAPA PENIPU.....



The Edge telah mengelirukan rakyat Malaysia supaya beranggapan bahawa kumpulan media itu mendapat maklumat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara terhormat daripada sumber yang dipercayai, kata Pengarah Komunikasi dan Strategi Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Berdasarkan pengakuan pemilik kumpulan itu Datuk Tong Kooi Ong bahawa mereka telah memperdayakan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi) Xavier Andre Justo berhubung bayaran untuk mendapatkan bukti, katanya: “Rakyat Malaysia tidak boleh menerima apa yang dikatakan oleh The Edge pada nilai lahirnya.”

“Jika The Edge boleh menipu seorang penjenayah lick seperti Justo, saya tidak akan terkejut jika mereka boleh turut menipu rakyat biasa.

“Memang, organisasi berita yang berwibawa tidak akan membayar untuk mendapatkan maklumat dan mereka juga dijangka tidak menipu untuk memperolehnya.

Jika tidak, reputasi mereka juga menjadi taruhan apabila mereka menipu untuk mencuri maklumat yang dicuri,” katanya dalam tulisan di Facebooknya hari ini.

Abdul Rahman, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata adalah memalukan apabila The Edge tidak muncul ‘bersih’ dari awal lagi dan ‘cuba menutup perbuatan mereka’ selepas Justo mendedahkan maklumat mengejutkan dalam wawancara dengan akhbar The Straits Times dari Singapura.

“The Edge berkata dokumen-dokumen curi itu tidak dipinda sama sekali tetapi pakar forensik komputer antarabangsa serta pihak berkuasa Thailand menyatakan sebaliknya.

“Mereka mengembar-gemburkan laporan ini untuk beberapa bulan untuk tujuan politik manakala berharap tiada siapa akan mengetahui siapa itu sebenarnya Justo,” katanya.

Abdul Rahman berkata penerbit akhbar Financial Daily itu telah mendakwa menerbitkan maklumat yang diragui dan dicuri merupakan perkara yang paling terhormat untuk dilakukan.

“Jangan cuba untuk mencari jalan keluar dengan mendakwa sebagai tindakan yang mulia, Mr Ho (Kay Tat) dan Mr Tong,” katanya.

Terdahulu, Tong dalam kenyataan hari ini mengakui memperdayakan Justo berhubung bayaran kepadanya untuk memperoleh dokumen 1MDB yang didakwa dicuri oleh warga Switzerland itu daripada bekas majikannya.

Bagaimanapun, Tong berlaia itu sahaja cara untuk mendapatkan bukti bagi mendedahkan bagaimana sekumpulan kecil warga Malaysia dan asing menipu rakyat Malaysia membabitkan jumlah wang US$1.83 bilion (RM6.97 bilion).