Selasa, 16 Februari 2016

Kenapa Tun M Mesti Melatah Walhal Baru Mahu Di Siasat?

Kenyataan rasmi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam yang mendedahkan pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, atas tuduhan memfitnah, nyata telah menimbulkan kegusaran Tun M.




Masakan tidak, beliau dengan pantas mengadakan sidang akhbar yang mempertikaikan, kenapa beliau harus disiasat sedangkan masih ramai lagi yang cuba mengandaikan sesuatu cerita terhadap Peguam Negara. Tegas beliau, itu adalah hak kebebasan bersuara dan sewajarnya pihak PDRM menyiasat mereka yang dituduh, bukan dirinya.




Sebelum ini, pihak polis memandang serius tulisan Tun M didalam blog peribadi milik beliau, chedet.cc, kerana dilaporkan mengandaikan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali, tidak berani mengambil tindakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berhubung laporan salah guna SRC International, 1MDB dan isu derma RM 2.6 bilion.



Hal inilah yang menyebabkan Tun M bakal disiasat kerana penulisannya boleh dianggap memfitnah individu yang menasihati Istana Negara dan kerajaan dalam bidang perundangan. Malah, status beliau sebagai seorang negarawan juga dibimbangi menghasut rakyat supaya membenci kerajaan dan sekaligus menimbulkan perasaan kurang senang ramai pihak terhadap penulisannya.



Agak melucukan apabila Tun M dilihat begitu melatah dalam hal ini. Mungkin beliau terlupa atau terlepas pandang bahawa Datuk Seri Mohd Najib selaku Perdana Menteri sendiri tidak kisah disiasat oleh pihak PDRM, SPRM malah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sepanjang siasatan 1MDB dan isu derma RM 2.6 bilion keatas diri beliau.



Kenapa beliau perlu melatah andai beliau tidak melakukan sebarang kesalahan? Beliau sendiri yang mendakwa terdapat banyak perkara yang meragukan dalam pentadbiran sekarang. Jadi inilah peluang untuk beliau mengeluarkan segala bukti yang beliau ada untuk menyabitkan kesalahan keatas kerajaan seperti yang beliau dakwa sebelum ini.



Andai beliau berada di pihak yang benar, buktikan kebenaran beliau mengikut saluran undang-undang yang sedia ada. Bukan hanya sekadar berani melaungkan retorik dan menyemai kebencian dan perpecahan, tetapi hakikatnya beliau sendiri langsung tidak mempunyai bukti terhadap setiap dakwaan beliau.

http://www.pru14.tv/2016/02/16/kenapa-tun-mesti-melatah-walhal-baru-mahu-di-siasat/