Khamis, 10 Mac 2016

Bekas KSU dihukum penjara lima tahun

ARKIB : 17/11/2005

Oleh Amiruddin Harun

Dr. Abdul Aziz Muhamad.

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Aziz Muhamad dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan penipuan dana Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) membabitkan wang RM9 juta.

Hakim Mohd. Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan penjara lima tahun lagi bagi tuduhan penipuan.

Hukuman itu diperintahkan berjalan serentak berkuat kuasa mulai hari ini.

Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan Abdul Aziz melalui peguam belanya, Mohd. Firuz Jaffril untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah membenarkan permohonan itu atas faktor kesihatan Abdul Aziz yang menghidap penyakit kanser prostat.

Mohd. Zaki juga menambah jumlah wang jaminan terhadapnya daripada RM100,000 kepada RM200,000 dengan dua orang penjamin rakyat tempatan.

Abdul Aziz, 61, yang mempunyai dua isteri dibebaskan petang ini sebaik sahaja anak lelakinya membayar wang jaminan.

Mohd. Firuz ketika dihubungi menyatakan bahawa beliau akan memfailkan notis rayuan berhubung sabitan dan hukuman tersebut esok.

Terdahulu, Mohd. Zaki menyatakan bahawa beliau perlu mempertimbangkan faktor kepentingan awam dan rayuan meringankan hukuman sebelum menjatuhkan hukuman.

Katanya, hukuman berat sebagai pengajaran perlu dikenakan kerana kedua-dua tuduhan itu adalah kesalahan serius lebih-lebih lagi ia sering dilakukan sekarang.

Mohd. Zaki dalam keputusannya pada 11 November lalu memutuskan Abdul Aziz bersalah setelah dia gagal membuktikan keraguan munasabah atas kedua-dua tuduhan.

Abdul Aziz yang pernah berkhidmat selama 33 tahun dengan kerajaan merupakan bekas ketua setiausaha kementerian yang pertama didakwa dan dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah.

Dia kini ahli perniagaan dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 15 Julai 2002.

Mengikut tuduhan, dia didakwa bersama-sama seorang jutawan Ooi Kee Siang (masih bebas) bersubahat dengan bekas Pengurus Besar Ketengah, Datuk Alwi Said, 57, melakukan pecah amanah dana Ketengah RM2 juta antara 27 April dan 31 Julai 1999 di Kompleks Kewangan, Jalan Raja Chulan, di sini.

Abdul Aziz juga menghadapi tuduhan menipu Datuk Mustapa Mohamed iaitu Menteri Kewangan II ketika kejadian, supaya mempercayai cadangan pelaburan Ketengah dalam projek tanaman orkid, ternakan ikan dan kemudahan rekreasi di Tasik Puteri Bukit Besi, Dungun, Terengganu adalah berdaya maju.

Penipuan itu didakwa dilakukan melalui surat permohonan persetujuan pelaburan Ketengah RM9 juta dalam syarikat Tasik Puteri Integrated Farm Sdn. Bhd. antara 24 Jun dan 9 Ogos 1999 di pejabat Kementerian Kewangan di sini.

Mohd. Zaki selanjutnya menyatakan bahawa kepentingan awam dalam kes ini perlu dikaitkan dengan fakta bahawa ia melibatkan wang orang awam kerana Ketengah merupakan satu institusi awam.

``Kehilangan wang RM2 juta wang Ketengah merupakan kehilangan wang rakyat yang besar.

``Ketengah tidak betul-betul mendapat faedah daripada projek ini. Malah wang RM2 juta ini tidak menghasilkan apa-apa kepada Ketengah kerana akhirnya projek ini telah gagal,'' katanya.