Sabtu, 7 Mei 2016

HELIKOPTER AS350: KARNIVAL UMNO DIBATALKAN

KENYATAAN MEDIA
7 MEI 2016

Saya mewakili Ibu Pejabat UMNO Malaysia dan kepimpinan parti serta ahli-ahli UMNO turut berdukacita dan bersedih atas insiden nahas helikopter AS350 yang membawa 6 orang penumpang termasuk pemimpin UMNO.

Sehubungan itu, saya dan kepimpinan parti telah sepakat untuk membatalkan Karnival Himpunan Hari UMNO sempena ulang tahun ke-70 yang dijadualkan akan berlangsung pada Sabtu, 14 Mei 2016 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.  Pembatalan ini termasuklah acara Sukan UMNO dan Larian Bendera UMNO yang sedang berlangsung sekarang ini di seluruh negara.

Walaupun persiapan telah dibuat sepenuhnya dan perancangan telah dilakukan namun kami berpandangan ini bukan masa yang sesuai untuk meneruskan acara tersebut apatah lagi rasa sedih bukan hanya menyelubungi ahli keluarga mangsa tetapi juga ahli-ahli UMNO dan rakyat di seluruh negara.

Namun demikian, sambutan ulang tahun UMNO yang dijadualkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 11 Mei akan diteruskan secara sederhana membabitkan bacaan Yassin dan tahlil yang bukan sahaja untuk mengenang para pemimpin terdahulu dan perjuangan UMNO tetapi juga memperingati mangsa nahas helikopter AS350 ini.

UMNO juga merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan kami terus berdoa agar usaha pencarian mangsa nahas lancar dan dipermudahkan Allah SWT.

Sekian, Terima Kasih

TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
Setiausaha Agung UMNO