Khamis, 9 Jun 2016

Alumni Kelab UMNO Luar Negara tawar perkhidmatan kesihatan percuma dalam kempen #PRKKUALAKANGSAR

Alumni Kelab UMNO Luar Negara telah mengadakan pemeriksaan perubatan percuma kepada warga emas dan uzur di kawasan PDM Ulu Kenas memberi peluang lebih baik kepada warga emas untuk menikmati kesihatan yang lebih sempurna.

IMG_3080

Pengerusinya, Datuk Ahmad Maslan menjelaskan, dua orang doktor dan seorang staff nurse bersama-sama dalam lawatan ke lapan buah rumah yang melibatkan 10 orang pesakit yang uzur.

"Ia sebagai tanggungjawab sosial kami khususnya membantu BN dalam PRK Kuala Kangsar ini, lebih-lebih lagi Allahyarham Datuk Wan Khair-il Wan Ahmad merupakan bekas AJK Alumni Kelab UMNO Luar Negara.

"Ianya sedikit sumbangan atas nama NGO sebagai mengenang jasa-jasa Allahyarham bersama Alumni mahupun sebagai pemimpin masyarakat di kawasan Kuala Kangsar ini," ujarnya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Tambahnya, BN telah menubuhkan gerakan media sosial di kedua-dua kawasan pilihanraya parlimen (Kuala Kangsar dan Sungai Besar) dalam usaha BN mengekalkan kedua-dua kerusi Parlimen ini.

"Walaupun calon BN di Kuala Kangsar ini tidak boleh berkempen secara bersemuka, namun calon masih boleh berhubung dengan masyarakat dan pengundi secara maya, secara media online, satu kaedah terkini, yang canggih dan diguna pakai dan diminati oleh anak muda ketika ini.

"Saya juga dapati, nama Datin Mastura ini sudah menjadi trending di dunia maya pada ketika ini, dalam erti kata lain, ramai yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut siapa Datin Mastura ini," tambahnya ketika ditemui selepas program Rawatan Percuma di Ulu Kenas, di sini petang Rabu.

Ujarnya yang juga Pengerusi Biro IT dan Media Sosial UMNO, walaupun ada dakwaan bahawa perkembangan semasa ini tidak memberikan kelebihan kepada Datin Mastura, namun beliau menjelaskan bahawa anak-anak Datin Mastura juga turut berkempen membantunya.

"Saya yakin pencalonan Mastura Mohd Yazid sebagai calon BN dapat meneruskan legasi tempat suaminya, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad berikutan jasa-jasa dan kecemerlangan Datuk Wan sebelum ini di Kuala Kangsar dapat diteruskan oleh Mastura.

"Beliau sudah lama membantu Arwah Wan Khair-il ketika menjadi ADUN Bukit Chandan selama 5 tahun dan Ahli parlimen selama 3 tahun, serta sudah menjadi isteri kepada Allahyarham hampir 30 tahun.

"Itulah kelebihannya, dia `orang Kuale' yang sering  mengikuti suaminya, dan mewakili suaminya pada program-program ketika suami tidak ada di dalam kawasan," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau  yakin penduduk tempatan sentiasa mengingati jasa-jasa Datuk Wan Khair-il.

Penduduk tempatan juga katanya lagi memahami jasa itu boleh diteruskan oleh orang yang terapat dengan Datuk Khair-il. Bukan orang tidak ada kena mengena seperti PAS, PAN, PEN (Calon Bebas) itu.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar Perak menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PAS, Parti Amanah Negara (PAN) dan BEBAS.

Pengundian awal bagi PRK Kuala Kangsar adalah pada 14 Jun dan hari pembuangan undi pada 18 Jun.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Wan Khair-il Wan Ahmad dalam insiden nahas helikopter 5 Mei lalu.




Sent from Samsung tablet.