Selasa, 7 Jun 2016

HUTANG NEGARA KEPADA KDNK DIJANGKA BERKURANGAN #KEKALBN



KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN KEWANGAN MSIA

Kementerian kewangan ingin merujuk kepada artikel yang disiarkan oleh Nikkei Asian Review pada 3 Jun 2016 berkaitan kedudukan hutang negara yang didapati tidak berasas. Kerajaan adalah komited dalam memastikan kedudukan hutang tidak melebihi paras berhemat 55% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Sehingga akhir 2015, hutang kerajaan persekutuan yang merangkumi hutang domestik serta hutang luar pesisir mencatat RM630.5 billion atau 54.5%daripada KDNK. Daripada jumlah ini, 97% adalah hutang domestik manakala bakinya adalah hutang pesisir luar. Oleh itu, pendedahan terhadap risiko pertukaran mata wang asing adalah rendah.

Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan dijangka terus berkurang kepada sekitar 53% daripada KDNK pada tahun 2016. Ini berikutan langkah konsolidasi fiskal yang berterusan dan pindahan sebahagian hutang berkaitan skim pinjaman perumahan penjawat awam kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Kerajaan juga akan sentiasa memastikan pembiayaan serta obligasi bayaran khidmat hutang dilaksanakan pada kos yang minimum.

Defisit Kerajaan Persekutuan pada tahun 2015 mencatat 3.2% daripada KDNK dan dijangka terus berkurang kepada 3.1% pada tahun 2016. Selain mengurangkan paras defisit secara berperingkat, langkas konsolidasi fiskal akan turut mengurangkan paras hutang. Kerajaan akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal bagi mencapai bajet berimbang pada tahun 2020.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
7 Jun 2016