Isnin, 6 Jun 2016

Kongsi cerita kisah pengalaman Dato Seri Abdul Wahid Omar

*Assalamualaikum & salam sejahtera rakan-rakan sekalian.*

Hari Sabtu 4 Jun 2016 lalu merupakan hari terakhir saya berkhidmat sebagai Menteri Kabinet setelah dilantik sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas perancangan ekonomi pada 5 Jun 2013. Tiga tahun berlalu dengan pantas namun bagi saya ia merupakan suatu tempoh yang padat _(action-packed)_. Rasanya memang banyak pengalaman yang ingin saya kongsikan. Izinkan saya meringkaskannya dalam 3 bahagian iaitu Jemaah Menteri, Pengurusan Ekonomi dan Parlimen :-

i. *Jemaah Menteri (Kabinet)* - Mesyuarat Kabinet pertama yang saya hadir adalah pada hari Rabu (12 Jun 2013). Saya masih ingat betapa gementar atau _'nervous/anxious'_ nya saya semasa memasuki bilik mesyuarat. Tetapi Alhamdulillah, saya telah diterima oleh rakan-rakan Kabinet dengan mesra. Cara YAB Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat juga adalah optimal. Walaupun terdapat 30 orang Menteri yang biasa hadir setiap kali mesyuarat, semua Menteri diberi peluang untuk mengutarakan pendapat masing-masing. Walaupun biasanya banyak memorandum dan nota Jemaah Menteri dibentangkan dalam setiap mesyuarat, ia masih dapat diselesaikan dalam jangkamasa purata 3 jam. Ini termasuklah perutusan YAB PM di awal mesyuarat yang biasanya merupakan agenda penting yang dinanti-nantikan oleh ahli-ahli Kabinet.

Sebagai Menteri yang antara lain bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), saya bertuah sering dapat membentangkan memorandum dan nota Kabinet. Saya berharap telah dapat menambah nilai dalam perbincangan dengan memberikan perspektif sektor swasta dalam pelbagai isu sebelum ia diputuskan oleh Kerajaan.

ii. *Pengurusan Ekonomi* - Antara peranan utama EPU termasuklah perancangan jangkamasa sederhana dan panjang ekonomi negara, menguruskan perbelanjaan pembangunan dan bertindak sebagai sekretariat kepada Majlis Ekonomi (EC) yang dipengerusikan oleh YAB PM setiap minggu. Rancangan Malaysia KeSebelas (RMK11) dengan tema *Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat* telah dibentangkan oleh YAB PM di Parlimen pada bulan Mei 2015, 7 bulan sebelum permulaannya pada Januari 2016. Kita perlu pastikan keenam-enam strategi teras dan pemacu perubahan atau _'game changers'_ dilaksanakan untuk membolehkan Malaysia mencapai aspirasi sebuah negara maju menjelang 2020.

Selain itu, sebagai ahli EC dan Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC), saya berpeluang membantu dalam pengurusan kewangan negara terutama dalam usaha-usaha konsolidasi fiskal termasuk rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan GST. Tanpa langkah-langkah konsolidasi fiskal ini, penarafan kredit negara akan terjejas dan Kerajaan akan terpaksa mengurangkan perbelanjaan pembangunan (termasuk pembinaan hospital, sekolah & jalan raya) dengan ketara. Ini akan memberikan kesan kepada kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam menangani ketidaktentuan ekonomi global, Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) yang saya pengerusikan bermula pada Ogos 2015. Beberapa langkah-langkah proaktif telah diumumkan oleh YAB PM pada 14 September 2015 untuk menstabilkan pasaran kewangan, meningkatkan kesejahteraan rakyat, menyokong aktiviti perniagaan dan meningkatkan integriti institusi. Alhamdulillah, pasaran kewangan telah kembali stabil dan ekonomi kita dijangka terus berkembang 4-4.5% tahun ini, lebih pantas berbanding pertumbuhan 3% ekonomi dunia.

Saya juga berpeluang membantu DS Mustapa dalam rundingan perjanjian _Trans Pacific Partnership_ (TPPA). Ini termasuklah beberapa sesi penerangan kepada Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Michael Froman berkenaan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan peranan GLCs. Saya percaya pasukan Malaysia/MITI telah melakukan yang terbaik dalam rundingan sehingga mendapat terma-terma yang bermanfaat. Ini termasuklah pengiktirafan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera sebagai sebuah dasar inklusif dalam TPPA.

iii. *Parlimen* - Antara pengalaman paling unik bagi saya adalah apabila bertugas di Parlimen Malaysia. Saya masih ingat lagi kali pertama saya menjawab soalan YB Gombak di Dewan Rakyat pada 1 Julai 2013 berkenaan kadar pengangguran. Setelah menjawab soalan tambahan YB Gombak dan YB Ayer Hitam, saya merasa tercabar apabila Ketua Pembangkang YB Permatang Pauh sendiri telah bangun mengutarakan soalan tambahan. Tetapi Alhamdulillah, walaupun sebagai _'rookie'_, saya percaya telah dapat menjawab soalan  dengan baik walaupun diasak oleh Ketua Pembangkang sendiri. Pengalaman hari pertama ini banyak membantu saya dalam sesi-sesi Parlimen seterusnya. Saya juga telah berpeluang membentangkan tiga Rang Undang Undang (RUU) iaitu RUU Malaysian Airline System Berhad (Pentadbiran) 2014, RUU Suruhanjaya Penerbangan 2015 dan RUU Bekalan Gas (Pindaan) 2016. Tiga RUU dalam tiga tahun perkhidmatan merupakan pengalaman yang amat berharga bagi saya.

Saya rasa amat bertuah kerana dianugerahkan pingat Panglima Setia Mahkota oleh SPB Yang Dipertuan Agong pada hari terakhir perkhidmatan saya. Ini merupakan suatu penghormatan yang amat saya hargai. Menjunjung kasih Tuanku dan terima kasih YAB PM.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan saya kepada YAB PM, YAB TPM, Ahli-ahli Jemaah Menteri, KSN, Setiausaha Kabinet, YB YDP serta Ahli-ahli Dewan Negara & Dewan Rakyat atas segala sokongan. Juga kepada Ketua Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif serta seluruh warga EPU, UKAS, Jabatan Perangkaan, TERAJU, TalentCorp, EKUINAS dan Yayasan Peneraju di atas segala sokongan dan bantuan selama ini. Juga kepada semua rakan-rakan Penjawat Awam di Kementerian-kementerian dan Agensi-agensi, sektor swasta dan NGO yang telah banyak membantu saya dalam menjalankan tugas.

Saya memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat kesilapan, kesalahan atau terkasar bahasa dalam menjalankan tugas sepanjang perkhidmatan saya. Selamat menyambut bulan Ramadhan al Kareem. Sama-samalah kita memanfaatkan bulan Ramadhan yang mulia ini. Semoga semua amalan dan doa kita diterima dan diperkenankan Allah SWT. Marilah kita memainkan peranan masing-masing dalam membangunkan negara kita secara inklusif dan mampan.

Sekian, terima kasih & salam hormat.

ABDUL WAHID OMAR
6 Jun 2016



Sent from Samsung tablet.