Isnin, 9 April 2018

ECRL Dan Harapan Penduduk Pantai Timur



Pakatan Harapan dilaporkan akan menghentikan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Cakap-cakap politik itu bagaikan cuba 'membunuh harapan' penduduk pantai Timur yang inginkan kemudahan pengangkutan lebih baik dan meluas. Apakah dosa rakyat Kelantan, Terengganu dan Pahang kepada Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad?_

1. Penduduk di wilayah ini telah sekian lama menantikan satu sistem pengangkutan kereta api yang efisien seperti di Pantai Barat dan Lembah Klang untuk keselesaan, selain merancakkan lagi pembangunan dan peningkatan ekonomi setempat.

2. Tun Dr. Mahathir mendakwa projek bernilai RM55 bilion itu merupakan satu pembaziran kerana tiada keperluan kemudahan itu untuk rakyat. Alasan Dr. Mahathir bahawa projek tersebut hanya merugikan rakyat memang sukar diterima sedangkan projek infrastruktur itu diakui sebagai game changer kepada negeri-negeri di wilayah tersebut yang seolah-olah dianaktirikan sepanjang 22 tahun pemerintahan Dr. Mahathir.

3. ECRL yang dicadangkan pembangunannya sejak tahun 1980-an dan kini sedang dilaksanakan tidak boleh dilengah-lengahkan lagi dengan polemik politik. Kepentingan untuk rakyat di Pantai Timur perlu diutamakan.

4. Jika pihak pembangkang benar-benar mahu membatalkan projek ECRL, sudah tentu ada kos besar yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan Malaysia kelak. 

*_Implikasinya antara lain:_*

✔ Kerajaan terpaksa membayar pampasan berbilion ringgit kepada kontraktor kerana membatalkan kontrak. Duit hilang, sistem kereta api laju pun tak dapat.

✔ Reputasi Malaysia akan hancur kerana melanggar perjanjian. Jika perjanjian antara kerajaan dengan kerajaan boleh dimansuhkan, apatah lagi perjanjian oleh pelabur? Adakah pelabur lain akan berani masuk ke Malaysia?

✔ Pihak pembangkang mendakwa projek ECRL adalah suatu pembaziran. Adakah industri kereta nasional Proton sesuatu yang menguntungkan? Jurutera dan kepakaran automotif selepas lebih 30 tahun Proton ditubuhkan masih belum kita lihat.

✔ Kira-kira 2,000 pekerja akan hilang punca rezeki dengan serta-merta. Turut hilang ialah 80,000 peluang pekerjaan yang bakal dikecapi rakyat Malaysia sepanjang tempoh pelaksanaannya hingga 2024.

✔ Bagaimana dengan tanah yang telah diwartakan untuk ECRL? Tuan punya tanah tidak boleh menerima pampasan tetapi pada masa yang sama, mereka juga tidak boleh menjual tanah tersebut.

_Projek ECRL ini telah ditunda sebelum pelaksanaannya bagi memberi laluan kepada pembangunan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) untuk fasa seterusnya. Syukurlah kerajaan BN tetap tidak mengabaikan pembangunan kemudahan pengangkutan di Pantai Timur. Hal ini kerana, kerajaan sangat prihatin dengan keperluan rakyat di negeri-negeri tersebut._