Ahad, 30 September 2018

Betul kah artikel ini

๐Ÿฆ‰
*Ankara*
17August2018

Turkish President Erdogan today
commended the Malaysian Government under Tun Dr Mahathir's Leadership in the efforts of Malaysia to restore its Excellence   . . .

_" I was questioning about the 100 days new Malaysian administration  and I was so impressed with Malaysia, despite the worst fiscal problems    . . . and more than one trillion debt, they are still able to pay the salaries of workers in the public sector and start to implement various reforms. With only 3 months to repair the worst damages !    . . .   It's an impossible mission even for most of the major nations "_

US President Donald Trump is so impressed with  Malaysia that he said  _" if a developed country that is facing problems like Malaysia, normally any new government will be ruined.  Because of my admiration for Malaysia   . . .     I have invited PM Mahathir for an official visit to the White House on  15.10.2018."_ 

Not just Turkey and the United States, but Britain, China and Japan are signaling to help Malaysia and work more closely with them. 

Germany has also called on its Ambassador to Malaysia to send a special invitation to PM or TPM for a working visit in November.  They want to learn the effective methods adopted by the new Malaysian Government which have succeeded in overcoming the 'economic downturn' inherited from the previous Government.
How did the new government managed to administer for 3 months or less under such circumstances.
Congratulations Malaysia -   _Truely Malaysia Boleh_!_

Ucapan Presiden Umno PAU 2018

TEKS UCAPAN DASAR

YB DATO' SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
PRESIDEN UMNO MALAYSIA

SEMPENA
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2018
TEMA: UMNO BANGKIT!

29 SEPTEMBER 2018 | SABTU | 8.30 MALAM
DEWAN MERDEKA PWTC, KUALA LUMPUR






TERIMA KASIH KEPADA SAUDARA/SAUDARI PENGACARA MAJLIS.
ASSALAMMUALAIKUM WBT.

SALUTASI

SEGALA PUJI TERHADAP ALLAH SWT PEMILIK SEMESTA ALAM. SALAM DAN SELAWAT TERHADAP JUNJUNGAN BAGINDA RASULULLAH SAW.

YBHG TAN SRI BADRUDDIN BIN AMIRULDIN
PENGERUSI TETAP

YBHG DATO' SERI RIZUAN BIN HAJI ABD HAMID
TIMBALAN PENGERUSI TETAP

YB DATO' SERI UTAMA MOHAMAD BIN HAJI HASAN
TIMBALAN PRESIDEN

YB DATO' SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
YB DATO' SERI DIRAJA HAJI MAHDZIR BIN KHALID
YBHG DATO' SERI HAJI MOHAMED KHALED BIN NORDIN
NAIB-NAIB PRESIDEN

YB DATO' DR NORAINI BINTI AHMAD
KETUA PERGERAKAN WANITA DAN SAF KEPIMPINANNYA

YBHG DATO' DR. ASYRAF WAJDI BIN DATO' DUSUKI
KETUA PERGERAKAN PEMUDA DAN SAF KEPIMPINANNYA

YBHG DATO' ZAHIDA BINTI ZARIK KHAN
KETUA PERGERAKAN PUTERI DAN SAF KEPIMPINANNYA

YB TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA HJ. ANNUAR BIN MUSA
SETIAUSAHA AGUNG

YB DATUK SERI UTAMA TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
BENDAHARI AGUNG

YB DATO' DR. SHAMSUL ANUAR BIN NASARAH
KETUA PENERANGAN

RAKAN-RAKAN AHLI MAJLIS KERJA TERTINGGI, SIDANG PERWAKILAN, TETAMU-TETAMU KEHORMAT, PARA PEMERHATI, PENGAMAL MEDIA, PEJUANG-PEJUANG UMNO SERTA PENDUKUNG-PENDUKUNG UMNO DI SELURUH NEGARA.
















MUKADIMAH

1. Alhamdulillah. Ketika melangkah masuk ke dalam dewan sebentar tadi, saya dapat melihat dan kagum, para pejuang UMNO masih setia berdiri gagah dan megah. Wajah keceriaan, penuh semangat. Suatu paparan kesediaan dan iltizam, untuk kita terus menjadi mata rantai suatu perjuangan yang panjang. Semoga Allah SWT merahmati, memberkati dan melindungi perhimpunan kita pada malam ini.

2. Sesungguhnya Allah berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat 173:

"Hasbunallahu wanikmal wakil."
'Cukuplah Allah sebagai pelindung bagi kita.'

3. Saya merakamkan ucapan tahniah kepada saudara-saudari sekalian kerana walaupun kita tidak lagi berkuasa dan menempuh pelbagai kepayahan, sesungguhnya lebih 20,000 cawangan telah berjaya mengadakan mesyuarat. 

4. Ucapan penghargaan dan tahniah saya ucapkan kepada semua 191 UMNO Bahagian yang telah berjaya mengadakan persidangan masing-masing. Ingin saya memaklumkan, kita mempunyai 40% Ketua Bahagian baharu, 43% Ketua Wanita baharu, 84% Ketua Pemuda baharu dan 76% Ketua Puteri baharu. Ini termasuklah 4 tokoh wanita yang telah terpilih sebagai Ketua Bahagian.

5. Jutaan terima kasih yang tidak terhingga juga saya lafazkan atas kehadiran semua ke Perhimpunan Agung UMNO 2018. Penghargaan juga diucapkan kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah selesai mengadakan persidangan masing-masing pada siang tadi. Perhimpunan yang penuh bersejarah ini, dilaksanakan dalam suatu suasana yang amat berbeza sekali daripada tahun-tahun sebelum ini. Saya berkeyakinan tinggi bahawa semangat UMNO BANGKIT, semakin membara dan menjulang tinggi dalam diri kita semua.
6. Kita turut mengalu-alukan kehadiran mantan Presiden, YB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dan pemimpin-pemimpin veteran UMNO sekalian. Mereka inilah insan yang berjiwa besar. Tetap setia bersama UMNO!

7. Marilah juga kita sedekahkan Al-Fatihah kepada ahli dan pemimpin UMNO yang telah pergi meninggalkan kita. Bagi yang masih hidup, kita berdoa agar mereka dan keluarga diberkati, dirahmati dan diberikan kesihatan yang baik oleh Allah SWT. Al-Fatihah.

FIKRAH PRESIDEN DAN REALITI SEMASA

Saudara dan Saudari sekalian,

8. Saya penuh sedar dan insaf kerana dalam sejarah UMNO, sayalah Presiden yang pertama menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dalam kedudukan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Sejak PRU pertama hingga ke-14, inilah kali pertama kita bukan lagi menjadi sebuah kerajaan di peringkat Persekutuan dan hanya menguasai dua buah negeri sahaja iaitu Perlis dan Pahang. Bagaimanapun, kita juga hampir menubuhkan kerajaan di Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Sabah. Tahniah kepada Perlis dan Pahang!

9. Jika ada wakil rakyat UMNO yang sukar hendak menyesuaikan diri sebagai pembangkang, terutama kepada mereka yang kali pertama menjadi wakil rakyat dan memulakan kerjaya politik sebagai pembangkang, bersabarlah. Inilah takdirNya. Kita insaf dan redha dengan ketentuan Allah SWT. "La tahzan, innallaha ma'ana", "Janganlah bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita."

10. Justeru, UMNO memohon maaf kepada mereka yang telah meletakkan harapan dan keyakinan yang begitu tinggi kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk terus memimpin dan mentadbir negara pada PRU-14 yang lalu. UMNO mengambil pengajaran dan beriltizam untuk mengembalikan semula keyakinan dan menjadikan harapan ini suatu kenyataan. Insya-Allah.

11. Sejak sekian lama, UMNO diibaratkan seperti pokok rendang. Mempunyai akar tunjang kuat, dahan kukuh dan mengeluarkan buah-buahan yang lazat. Ia juga menjadi tempat rakyat berteduh sejak 72 tahun yang lalu. 

12. Namun, ada pihak yang cemburu dan iri hati. Mereka sentiasa berusaha menumbangkannya. Mereka lakukan sedikit demi sedikit. Walaupun tidak rebah, pokok ini telah condong pada tanggal 9 Mei yang lalu. Tatkala itulah, kura-kura mula merangkak menaiki pokok condong yang amat berjasa ini.

13. Berikutan 'perang saraf dan gerak saraf' pihak lawan yang berterusan, penilaian negatif rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional menghancurkan segala-galanya pada PRU-14 lalu. Serangan terhadap 'the centre of gravity'' berjaya mempengaruhi rakyat. Lawan kita melakukannya menerusi pembohongan dan penipuan secara berterusan, melalui penyebaran fitnah dan penyaluran maklumat separuh benar. Inilah kepakaran mereka. Tidak aneh, inilah yang mereka lakukan sehingga kini, walaupun mereka telah membentuk kerajaan.

14. Pihak lawan secara halus dan berperingkat, melancarkan serangan bertali arus. Storyboard dan storyline, disusun rapi untuk membesar-besarkan semua kesalahan dan kelemahan Barisan Nasional serta pemimpin-pemimpinnya. Benarlah mutiara kata ungkapan Saidina Ali Karramallahu Wajhah, "KEBENARAN YANG TIDAK TERANCANG, AKAN KALAH KEPADA KEBATILAN YANG TERANCANG".

15. Kita bagaikan sebuah bahtera di lautan penuh bergelora. Walaupun layar bahteranya robek, setiap anak kapalnya tidak akan meninggalkan bahtera perjuangan. Jauh sekali terjun meninggalkan bahtera atau mematahkan tiang seri layarnya, serta menebuk dinding bahtera dari dalam. Tindakan ini pasti menyebabkan pelayaran bangsa kita tergugat! Yakinlah, nakhoda dan kelasi yang baik, BUKAN datang dari pelayaran di lautan yang tenang!

16. Selepas keputusan yang mengejutkan pada PRU-14 yang lalu, ada segelintir di antara kita meninggalkan parti. Pelbagai alasan diberikan, namun ahli UMNO tetap bijak menilai hati budi mereka. Mereka ini bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Tidak kurang pula yang mula condong dan mahu beralih arah. Namun, masih ramai lagi yang kekal setia, berdiri teguh dan gagah menjulang obor perjuangan, demi agama, bangsa dan tanah air kita!

17. Silakan berdiri semua Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang berada di dalam dewan ini! Sama ada yang di atas pentas, mahu pun yang duduk di kerusi perwakilan! Mari kita berdiri dan memberi tepukan gemuruh kepada para wira UMNO. MEREKA INILAH BENTENG DAN PEJUANG BARISAN HADAPAN KITA!

18. Yakinlah, awan mendung yang melanda akan segera berarak, menipis dan sirna (lenyap). Jika kita bersatu dan kuat, kita pasti akan bangkit! Jika kita berjaya mendepani landskap politik hari ini, kita akan kembali kukuh. Sudah tentu, kita sentiasa bersedia memimpin kerajaan, sekiranya apa-apa terjadi kepada kerajaan sekarang. WE ARE THE BETTER OPTION, KITALAH PILIHAN TERBAIK untuk kembali menjadi kerajaan dalam masa terdekat, atau selepas PRU-15 nanti. Kini, kita juga membentuk ahli Parlimen kita menjadi PEMBANGKANG YANG KONSTRUKTIF dan DINAMIK. Mereka akan terus membela nasib rakyat tanpa mengira kaum dan latarbelakang.

19. Kita mestilah menanam iltizam untuk memperkukuhkan parti. Jangan dititis cuka pada luka. Jika ahli kuat, parti akan kuat! Ahli yang teguh bersatu akan mengukuhkan parti. Kepada mereka yang asyik menyubur dengki, menyemai khianat, mengadu domba, kita minta berhentilah berbuat demikian. BERSEDIALAH SAUDARA DAN SAUDARI SEKALIAN UNTUK MEMBERIKAN JIWA DAN RAGA KEPADA PERJUANGAN MURNI UMNO INI!

MELAYU BANGSA BESAR DAN UNIVERSAL

Saudara dan Saudari sekalian,

20. Sinergi konsep umat Melayu memberi erti yang cukup tersendiri, bagaimana suatu bangsa itu Allah SWT ciptakan supaya menjadi sebahagian umat dari kelompok yang lebih besar. Sunnatullah (sunnah Allah) menetapkan Melayu hidup bersama Cina, India, Iban, Melanau, Bidayuh, Kadazan, Dusun, Murut, serta pelbagai etnik di negara tercinta ini. 

21. Islam telah mendidik orang Melayu menghormati penganut agama lain. Kisah Baba dan Nyonya, India dan Portugis Peranakan di Melaka, yang datang ke Malaysia ratusan tahun yang lalu, mereka amat menyantuni budaya, adat dan cara hidup orang Melayu. Mereka tidak dipaksa memeluk Islam, tetapi melakukan asimilasi sosial secara bijaksana, hinggakan wujud perpaduan dan kerjasama dalam kalangan mereka dan orang Melayu.

22. Naratif perjuangan UMNO sejak tahun 1946 merupakan suatu simbiosis yang berterusan sejak zaman berzaman, malah kesaling-hubungan itu telah berjaya mewujudkan persaudaraan dan keharmonian antara kaum, seperti apa yang kita saksikan pada hari ini. Perjuangan panjang menegakkan agama, bangsa dan tanah air ini tidak pernah menghambat atau menjadi batu penghalang kepada kehidupan yang harmonis. Ini adalah kerana UMNO juga memperjuangkan keadilan sosial bagi semua kaum. Kemajmukan dan kepelbagaian budaya, bahasa dan adat resam, menjadi resipi asas dan teras kepada perpaduan.


23. Janganlah disakiti hati dan perasaan orang Melayu lagi. Hakikatnya, mempersoalkan asal usul orang Melayu, samalah dengan mempersoalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu itu sendiri. UMNO tegas dalam perkara ini! Cubaan 'border testing', atau tindakan mahu menguji sejauh mana kesabaran orang Melayu ini, sudah pasti akan mengundang reaksi balas dan bakal memakan diri mereka sendiri! 

KEMAJMUKAN UMNO

Saudara dan Saudari sekalian,

24. UMNO adalah sebuah parti Rumpun Melayu. Walaupun begitu, di dalamnya terdapat pelbagai kaum dan etnik. Dalam kalangan ahlinya pula, majoritinya beragama Islam, dan ada juga yang beragama Kristian dan Buddha. Parti ini diwarnai pelbagai latar belakang etnik yang menggambarkan kemajmukan UMNO itu sendiri.

25. Atas kemajmukan inilah kita merekacipta sebuah pemerintah yang berteraskan keadilan sejagat sejak mencapai kemerdekaan. Kita yang memartabatkan agenda Melayu Bumiputera sebagai agenda nasional, tanpa mengenepikan kaum lain. Ia diperkukuhkan lagi dengan semangat jujur dan ikhlas bagi membantu semua pihak.

26. Sehubungan itu, jika mahu menang semula, maka kita wajib menjalinkan silaturrahim dan keakraban antara kita, serta sifat membenci perlu diketepikan! Penyatuan mesti datang dari hati yang mukhilisin dan terbuka. Wehdatul fikr (kesatuan pemikiran) mestilah selari dengan wehdatul amal (kesatuan tindakan).

27. UMNO tidak perlu membuka keahliannya kepada kaum-kaum lain untuk kekal relevan. Masyarakat Malaysia sejak dari dahulu sehingga sekarang, tinggal di dalam kelompok dan komuniti masing-masing, dan ia masih kekal begitu. Kebersamaan kita dalam Perikatan dahulu, dan kini dalam Barisan Nasional adalah suatu bukti bahawa kita menghargai peranan parti-parti yang berlandaskan kepada kepelbagaian kaum. Ini dilakukan demi kepentingan negara. Oleh yang demikian sifatnya, saya ingin tegaskan di hadapan saudara dan saudari sekalian, UMNO AKAN TERUS KEKAL MENJADI PARTI ORANG MELAYU DAN BUMIPUTERA! 

28. Sesungguhnya, kita perlu sentiasa mengingatkan diri kita, bahawa UMNO bukanlah sebuah parti yang rasis, berat-sebelah dan prejudis, atau menjadi ancaman kepada mana-mana kaum lain. Orang Melayu tidak pernah menzalimi dan meminggirkan mana-mana kaum. Jauh sekali untuk mengambil hak kaum lain secara paksa!

29. Malah, kita telah membuktikan bahawa kita sentiasa bertindak di atas 'the Malay wisdom' atau 'Bijaksana Melayu', dan meletakkan prinsip 'al-adlu wal-ihsan' (adil dan ihsan) sebagai 'kompas moral' dalam setiap tindakan.

30. Hakikatnya, hari ini orang Melayulah yang paling terdedah dengan sikap bias dan prejudis bangsa lain kepadanya. Orang Melayu dituduh bodoh dan kononnya pemalas, terlalu bergantung kepada subsidi dan bantuan kerajaan. Lebih menyedihkan lagi, apabila bangsa kita disebut sebagai BANGSA PENGEMIS, dan amat menghairankan mereka yang berada dalam saf kepemimpinan kerajaan hari ini, RELA BANGSANYA DIHINA SEBEGITU!

31. Akibat daripada sikap prejudis dan bias itu, ramai orang Melayu masih sukar mendapat peluang yang saksama, terutamanya dalam menyertai syarikat swasta yang bukan milik Melayu. Usahawan-usahawan Melayu masih menghadapi masalah menembusi rangkaian perniagaan, dan mendapatkan bekalan pada harga yang kompetitif dari sumber yang dikuasai bukan Melayu. ORANG MELAYU MASIH GAGAL MENGUASAI EKONOMI KERANA DIDISKRIMINASIKAN!



UMNOFOBIA, MELAYUFOBIA DAN ISLAMOFOBIA

Saudara dan Saudari sekalian,

32. Rasulullah SAW telah bersabda, 'al Islamu ya'lu wala yu'la alaih' yang bermaksud, 'Islam itu adalah agama yang tertinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya'. Islam dan Melayu berpisah tiada. Jumlah penduduk MELAYU adalah sekitar 62% di negara ini. 

33. Sebab itulah, Malaysia mesti terus dipimpin oleh kita. Namun, ia tidak bermakna kita mengamalkan assabiyyah mahu pun dasar perkauman. Faktor sejarah, undang-undang tubuh negeri-negeri, dan faktor demografiklah yang meletakkan keistimewaan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan. 

34. UMNO akan terus menjunjung dan menegakkan Islam yang syumul, dan menolak fahaman pluralisme, yang boleh menggugat kesyumulan Islam itu sendiri. UMNO akan terus memberi kefahaman tasawwur yang jelas dan hakiki, agar menjadi pedoman dan asas kepada segala bentuk tindakan.

35. Hingga ke hari ini, adat resam, budaya, bahasa ibunda dan sistem pendidikan, masih dikekalkan mengikut kaum. Inilah yang telah diamalkan oleh kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional sejak kita merdeka. Inilah yang telah dipersetujui oleh 3 kaum terbesar, ketika kita meraih kemerdekaan.

36. Maka sebab itulah, konsep Malaysian Malaysia yang menuntut kesamarataan, tidak boleh diterima. Jelas, ia bercanggah dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. UMNO AKAN TERUS MEMPERTAHANKAN PERKARA 153 INI!





PEMBANGUNAN INSTITUSI KELUARGA

Saudara dan Saudari sekalian,

37. Mutakhir ini, fahaman liberalisme terutamanya LGBT amat membimbangkan kita. Kini isu berkenaan bebas dibincangkan secara umum, sehingga soal tandas mengikut gender yang hendak digunakan pun, jadi perbincangan. Perdana Menteri sendiri menolak budaya LGBT! Perdana Menteri juga menolak pernikahan sejenis!

38. Gerakan penyebaran fahaman Syiah dalam kalangan umat Islam di negara ini semakin berleluasa dan terbuka. Keadaan ini memudaratkan pegangan akidah ahli Sunnah Wal-Jamaah. Budaya Hedonisme (hiburan melampau) kian berkembang dalam kalangan masyarakat kita. Kita bimbang sekiranya gejala-gajala ini tidak dibendung, ia boleh mengganggu-gugat keharmonian masyarakat, sebagaimana yang dapat kita saksikan di negara-negara lain.  

39. Apabila pengaruh kebendaan tidak diseimbangkan dengan nilai budaya dan agama, maka jati diri mudah terhakis. Anak-anak dan generasi muda akan mudah terjebak dengan pengaruh dan gaya hidup hedonisme yang nyata merosakkan.

HALA TUJU UMNO 

Saudara dan Saudari sekalian,

40. Ada pihak yang mempersoalkan kenapa saya banyak berdiam dan perlahan dalam menentukan hala tuju UMNO. Maaf! Sebenarnya, saya perlu memberi tumpuan kepada kerja-kerja pengurusan dalaman parti, terutamanya bagi mengekang usaha-usaha melemahkan UMNO. Diam itu emas, bertindak itu berlian! Begitu juga yang diungkapkan oleh seorang ahli falsafah China bernama Lao-Tzu. SILENCE IS A SOURCE OF GREAT STRENGTH! 

41. Kita sudah tahu bahawa harta UMNO mahu disita, akaun UMNO telah dibekukan! Terdapat dalam kalangan kita yang ditekan dengan pelbagai siasatan, terdapat juga yang diheret ke mahkamah. Malah terdapat usaha untuk mengharamkan UMNO!

42. Kita sedang bergelut dalam suasana akaun parti yang dibekukan. Hingga hari ini ia masih belum lagi mendapat pelepasan. Saya menyeru kepada pihak berwenang, janganlah berlaku zalim dan tunduk serta takut kepada arahan Sang Penguasa. Ikutlah peraturan yang sedia ada, jangan menindas dan melakukan gertakan murahan! Rakyat melihat dan menilai setiap tindakan-tindakan itu.

43. Sebenarnya, saya menyebut mengenai hala tuju UMNO dalam pertemuan dengan ahli-ahli dan pemimpin parti di seluruh negara. Hala tuju UMNO sekarang adalah untuk MENANG DAN KEMBALI BERKUASA. INILAH HALA TUJU KITA! Jika kita boleh membentuk kerajaan, segala yang ingin kita lakukan untuk kebaikan negara mampu dilaksanakan. Insya-Allah.

44. Semestinyalah hala tuju ini perlu disokong oleh semua orang UMNO berpandukan kepada 7 teras yang perlu kita laksanakan bersama. Di sini, SAYA INGIN MENGGARISKAN 7 TERAS TERSEBUT YANG MERANGKUMI 21 LANGKAH UNTUK MEMBOLEHKAN KITA MENCAPAI KEJAYAAN.

45. Tujuh teras ini adalah hasil daripada rumusan sewaktu kita mengadakan pemukiman baru-baru ini, membabitkan perkara-perkara seperti Perlembagaan, Keahlian, Struktur Parti, Perkaderan dan Latihan, Penerangan dan IT, Tawaran Baharu serta Program Tumpuan dan Institusi Dalaman UMNO.

46. Rumusan pemukiman ini membuktikan bahawa proses membuat keputusan adalah dengan mengambil kira pendapat daripada bawah. Inilah antara proses syura yang sering saya utarakan. Keputusan dibuat secara bersama, dan sikap bertanggungjawab juga seharusnya secara bersama! Jangan biarkan saya keseorangan!

TERAS PERTAMA: MEMBINA KEYAKINAN DAN KEPERCAYAAN

Saudara dan Saudari sekalian,

47. Tugas penting kita sekarang adalah untuk membina keyakinan ahli dan masyarakat. Saya akui, ini bukanlah tugas mudah, ia memerlukan usaha-usaha yang berterusan. 

LANGKAH 1

48. Saya mengharapkan agar semua memahami sejelas-jelasnya idealisme perjuangan UMNO. UMNO bukan hanya ditubuhkan bagi memenangi pilihan raya. Tetapi ia adalah sebuah manifestasi perjuangan berpaksikan kepada agama, bangsa dan tanah air. Perkara ini termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Maka, UMNO mengambil pendirian untuk kekal sebagai parti politik Melayu yang ideologinya berbentuk konservatif tetapi progresif.

49. Biarpun begitu, kita telah mempunyai ahli-ahli UMNO terdiri dari Kadazan, Dusun, Murut, Siam dan orang Islam serta mualaf dari pelbagai bangsa. Malah Parti KIMMA yang terdiri dari kalangan rakan-rakan India-Muslim turut menjadi ahli bersekutu UMNO sejak Ogos 2010 lagi. Kita juga meraikan ahli-ahli UMNO yang terdiri dari yang beragama Kristian, Buddha dan pelbagai agama lain. Ini harus dihormati.

LANGKAH 2

50. Sekiranya prinsip ketaatan dan kesetiaan kepada parti serta pemimpin untuk bekerja sebagai satu pasukan tidak mampu diterapkan, kita akan hancur! Justeru, saya meminta kepada semua ahli untuk setia kepada parti dan kepemimpinan. Sesungguhnya, inilah antara formula penting membentuk parti yang mantap. Ketaatan ini dituntut selagi mana ia tidak mudarat dan melanggar hukum syarak.

LANGKAH 3

51. Sesungguhnya taat dan setia kepada kepemimpinan, dan bukannya kepada parti seringkali membentuk budaya 'warlord''. Inilah punca utama masalah politik wang. Sebagai Presiden, saya komited menjadikan UMNO sebagai sebuah Parti Sifar Rasuah! POLITIK WANG BOLEH MENGHANCURKAN PARTI. POLITIK WANG JUGA AKAN MENYEBABKAN AHLI SALAH MEMILIH PEMIMPIN. POLITIK WANG JUGA MERACUNI KITA MENJADI INDIVIDU YANG GEMARKAN RASUAH DAN HABUAN (GHANIMAH).

52. Sehubungan itu, kita akan menstruktur semula Lembaga Displin parti untuk diberi lebih kuasa dan sebagai sebuah badan bebas. Peranan lembaga ini akan diangkat menjadi lebih berwibawa dan mempunyai kuasa mutlak untuk mengambil tindakan. Lembaga ini akan dianggotai oleh ahli-ahli perundangan dan pakar-pakar penyiasatan profesional agar tindakan segera dan berkesan boleh diambil tanpa memilih bulu.

LANGKAH 4

53. Saya telah berbincang dengan semua pemimpin tertinggi parti supaya mereka turun ke akar umbi. Bertemu dengan seramai mungkin ahli bagi memperjelaskan hala tuju dan idealisme perjuangan parti. Kita akan meletakkan KPI (penanda aras) kepada setiap program yang dijalankan. Ia sebagai penanda aras bagi mengukur keberkesanan dan akan diolah dari semasa ke semasa. Ini dilakukan melalui pendekatan 'LOW COST, HIGH IMPACT'! Kos yang rendah tetapi memberi pulangan yang tinggi.


LANGKAH 5

54. Mutakhir ini, terdapat wakil rakyat UMNO melompat keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas. Saya akui amat sukar untuk menyekat mereka keluar parti. Tetapi demi menghormati kehendak ahli-ahli parti yang telah dikhianati, KITA TELAH PUN MENGAMBIL LANGKAH DRASTIK MELALUI TINDAKAN UNDANG-UNDANG!

55. Saya ingin menyatakan bahawa writ saman telah pun dihantar kepada beberapa individu terbabit. Kita menuntut bayaran balik yang melibatkan kos dan mereka juga perlu mengosongkan semula kerusi yang dimenangi atas tiket UMNO dan Barisan Nasional. MEREKA TIDAK LAGI MEMPUNYAI ASAS MORAL UNTUK MENJADI WAKIL RAKYAT.

KERUSI ITU MILIK UMNO!
KERUSI ITU MILIK PENYOKONG BARISAN NASIONAL!

56. Saya juga telah berbincang dan bersetuju, SEMUA WAKIL RAKYAT UMNO SEKARANG DIMINTA MENANDATANGANI AKUJANJI. JIKA MEREKA KELUAR PARTI, SAMA ADA MENJADI AHLI BEBAS ATAU PUN MENYERTAI PARTI LAIN, MAKA STATUS MEREKA SEBAGAI WAKIL RAKYAT TERLUCUT SECARA AUTOMATIK! KITA AKAN TUNTUT MEREKA MEMBAYAR PENALTI DAN GANTI RUGI!

TERAS KEDUA: MENENTANG EKSPLOITASI POLITIK

Saudara dan Saudari sekalian,

57. Kita sekarang diperintah oleh sebuah kerajaan baharu. SAYA INGIN BERTANYA, ADAKAH KITA BERPUAS HATI DENGAN PEMERINTAHAN MEREKA? ADAKAH RAKYAT PUAS HATI DENGAN HASIL UNDI MEREKA? 

58. SEDARKAH KITA, RIBUAN ORANG TELAH DIBUANG KERJA? BERJUTA MASIH TIADA KERJA! KENAIKAN HARGA BARANG TIDAK MAMPU DIKAWAL! SYARIKAT-SYARIKAT DITINDAS OLEH KRONI KERAJAAN DAN PENYINGKIRAN PEGAWAI-PEGAWAI KANAN YANG CEMERLANG DALAM GLC! MEREKA GAGAL MENUNAIKAN JANJI-JANJI MANIFESTO YANG MEREKA BUAT SENDIRI. MASIHKAH RAKYAT BERPUAS HATI?

59. Lebih menyedihkan, maruah dan kedaulatan negara tercemar, apabila kerajaan menarik balik tuntutan ke atas Pulau Batu Putih. ADAKAH INI KEMAHUAN KITA SEMUA? BANGSA JOHOR, DI MANA ANDA? RELAKAH KITA? HARUSKAH KITA MENGIZINKAN MARUAH KITA DIGADAI SEBEGITU RUPA?

60. Paling membimbangkan, apabila provokasi terhadap Institusi Beraja dan tindakan mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu, khasnya DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dibuat secara terbuka.

LANGKAH 6

61. Hari ini, campur tangan eksekutif begitu mencengkam badan kehakiman. Penghakisan dan pencabulan ke atas prinsip 'Rule of Law' sedang berlaku sekarang. Apa yang berlaku sekarang adalah CONTESTING AUTHORITY atau MENCABAR AUTORITI. Banyak tindakan mereka mengenepikan Perlembagaan dan keluhuran undang-undang.
 
62. Maka, UMNO hendaklah memastikan tindakan yang melanggar Rule of Law ini MESTI dihentikan! Setiap wakil rakyat UMNO sama ada sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri hendaklah berperanan lebih berkesan untuk menyekat gejala ini!



LANGKAH 7

63. Pelanggaran dan pencabulan kepada prinsip Rule of Law ini, menjadi malapetaka besar ke atas prinsip pemisahan kuasa (separation of power) yang diamalkan oleh mana-mana negara demokrasi. Hari ini, negara semakin berundur. Wujudnya pendakwaan terpilih dan dilakukan berasaskan kepada fahaman politik. Ada kes yang masih dalam perbicaraan, tiba-tiba digugurkan begitu sahaja. Bak kata pepatah, 'Tiba di perut dikempiskan. Tiba di mata dipicingkan. Tiba di dada dibusungkan.' MALAHAN TIDAK DAPAT TANDUK, TELINGA PULA DIPULAS!

64. Mereka yang bertanggungjawab menegakkan The Rule of Law, telah mengotori dan mengoyakkan jubah integriti mereka sendiri. Kita mendesak kerajaan hari ini menghentikan segera pencabulan prinsip Rule of Law! Berhentilah dari melakukan gertakan murahan, apalagi mengaibkan Orang Kena Tuduh (OKT) melalui perbicaraan media massa dan media sosial!

REGIME CHANGE

Saudara dan Saudari sekalian,

65. Perubahan politik yang terjadi hari ini bukanlah sekadar peralihan kepada kepimpinan yang baharu, malah ia merupakan pertukaran keseluruhan jentera kerajaan. Inilah yang dipanggil 'regime change'. ADAKAH KITA MENGIZINKAN KAKITANGAN KERAJAAN YANG CEMERLANG DAN PEGAWAI-PEGAWAI KANAN GLC DIBUANG DEMI MEMUASKAN SANG PENGUASA? 

66. Harus diingat, situasi hari ini memungkinkan wujudnya situasi 'hung parliament' atau 'parlimen tergantung', di mana kerajaan itu boleh bertukar pada bila-bila masa. Pergolakan dan permasalahan dalaman boleh memusnahkan pakatan atau gabungan dalam sekelip mata. Kerajaan hari ini merupakan pakatan yang amat rapuh dan tidak stabil. Mereka menang tetapi tidak banyak, sementara yang kalah pula sekadar kurang sedikit. Keadaan tidak seimbang ini menyebabkan kedudukan kerajaan begitu rapuh dan boleh terbubar pada bila-bila masa! DALAM KEADAAN ITU, MEREKA AKAN MENCARI SIAPA? DI SINILAH LETAKNYA NILAI HARGA AHLI-AHLI UMNO! MAKA, JANGANLAH MEMANDAI-MANDAI CABUT!

LANGKAH 8

67. Saya ingin menekankan, janganlah disebabkan kerapuhan itu mengorbankan 3 asas keutuhan negara iaitu keamanan, kesejahteraan rakyat dan hubungan diplomatik. Janganlah bergaduh dengan semua orang. Bermusuh dengan jiran tetangga. Jangan sampai kita tidak ada negara rakan. Sikap 'antagonis' ini akan menyebabkan Malaysia bukan sahaja dipinggirkan di peringkat antarabangsa, malah usaha menarik pelaburan asing (Foreign Direct Investment) juga akan terbantut. Jika ini berlaku, maka kita akan menyaksikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih perlahan, apalagi dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

68. Saya bimbang, kesan domino dan dasar populis yang diamalkan kerajaan hari ini, akan menjadi suatu 'PERFECT STORM' atau kekacauan yang boleh membawa kepada kehancuran negara. Ketika perut rakyat tidak ditangani dengan baik akibat tiada peluang pekerjaan, ia pasti akan mengundang malapetaka!

69. Oleh itu, saya menyeru kepada barisan Jemaah Menteri kerajaan hari ini. Janganlah dikira berapa banyak ikan di laut. Usahlah mengajak rakyat menanam nanas di atas air, di belakang rumah. Kiralah tiap-tiap titik perpuluhan bila bercakap soal ekonomi. Jangan asyik tersalah letak titik. BAHAYA TU! Dahulu janji menyediakan sejuta peluang pekerjaan, tiba-tiba anak muda pula yang diminta mewujudkan peluang pekerjaan sendiri. Anak-anak yang suci bersih berkasut putih, diarah tukar berkasut hitam. Kasihanilah graduan-graduan kita yang ditipu dengan tindakan U-turn daripada janji manis untuk menghapuskan bayaran balik pinjaman PTPTN. JANGANLAH BERKOKOK, SEDANGKAN EKOR BERGELUMANG NAJIS!

70. Kepada menteri-menteri yang ada hari ini, janganlah leka dengan kejutan budaya sampai mengabaikan tanggungjawab! Tidak hairanlah Perdana Menteri sendiri sering membuat kenyataan bahawa prestasi menteri tidak memuaskan. Katanya mereka semua di bawah par! Ayuhlah, jangan biarkan Perdana Menteri keseorangan!

71. Jika mereka tidak mampu menjadi kerajaan, KEMBALIKAN KUASA KEPADA KAMI! KAMI MAMPU MELAKSANAKAN TUGAS DENGAN KOMITED DAN BERTANGGUNGJAWAB!

72. Kajian sebuah badan penyelidik bebas dan berwibawa memaparkan kebimbangan rakyat terhadap pentadbiran sekarang. Ketiadaan peluang pekerjaan dan pengangguran, yang pastinya menyebabkan jenayah semakin berleluasa. Tiada kerja, tiadalah gaji untuk menyara keluarga. Jenayah dan keganasan membuat rakyat hidup dalam keadaan resah-gelisah.

73. Saya menuntut kerajaan untuk mengambil perhatian serius kepada perkara ini! UMNO harus menjadi mata dan telinga rakyat, kita mesti mendengar setiap keluh kesah rakyat. Turunlah ke bawah dan dengarlah rintihan dan denyut nadi mereka.

TERAS KETIGA: MEMPERKASAKAN PARTI 

Saudara dan Saudari sekalian,

74. Untuk memperkasakan parti,  hadamlah perkara-perkara berikut:



LANGKAH 9

75. Kerajaan telah memutuskan had umur pengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun. Ini akan memberi kesan besar ke atas pola politik tanah air. Kita juga perlu melakukan usaha ke arah peremajaan parti. Bagi mewujudkan kesedaran politik pada peringkat lebih awal, maka adalah dicadangkan had umur keahlian parti diturunkan dari 18 tahun kepada 16 tahun. 

LANGKAH 10

76. Had penggal Presiden. Bagi memastikan keutuhan parti selaras dengan manifesto saya, ketika pemilihan Presiden dan kepimpinan parti, saya mencadangkan kepada sidang hadirin sekalian agar penggal Presiden dihadkan kepada 2 penggal sahaja. Berbincang dan berbahaslah dalam soal ini, demi kepentingan dan survival parti kita.

LANGKAH 11

77. Saya menekankan peri pentingnya budaya keintelektualan disemai dan disuburkan dalam UMNO. Setiap pemimpin mesti mempunyai kemahiran dan kebolehan menguasai pelbagai bidang ilmu, khususnya berkaitan kepimpinan dan politik dalam UMNO. Sukacita saya mengumumkan penubuhan Sekolah Politik, bagi melatih seramai mungkin ahli-ahli UMNO. Sekolah politik ini akan melatih Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri untuk menjadi pembangkang yang berkesan di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

LANGKAH 12

78. Bagi memudahkan proses penerimaan kemasukan ahli-ahli ke dalam UMNO, saya mahu agar ia dipermudahkan, dan tidak ada halangan atau sekatan seperti yang berlaku sekarang. Sehubungan dengan itu, saya mengarahkan agar pemutihan ke atas senarai pangkalan data ahli-ahli dikemaskinikan segera. Kita tidak perlu berbangga dengan ahli yang ramai tetapi tidak setia, namun kita mahukan ahli yang berkualiti dan setia kepada parti! Saya mencadangkan agar Badan Perhubungan Negeri dan UMNO Bahagian diberi kuasa untuk pelaksanaannya.

LANGKAH 13

79. Pembangunan modal insan dan penyediaan pemimpin pelapis merupakan keutamaan kepada parti. Namun ia harus mengambil kira keupayaan kita untuk melaksanakan semua program yang dirangka. Justeru, saya mengarahkan agar semua program latihan ini diselaraskan di peringkat Pusat oleh Biro Latihan dan Perkaderan UMNO Malaysia, dan menyelaraskannya bersama Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Ini bagi memastikan pelaksanaan dan keberkesanan program dapat dicapai mengikut piawaian dan KPI yang ditetapkan. Malah, Pergerakan Pemuda UMNO telah menyediakan modul khusus perkaderan untuk dilaksanakan. Program-program perkaderan ini harus dilaksanakan secara intensif.

LANGKAH 14

80. Perkongsian pintar kesemua maklumat dan informasi di peringkat lokaliti Dewan Undangan Negeri dan Parlimen mestilah diselaraskan. Setiap maklumat mesti disalurkan dengan pantas dan berkesan, sesuai dengan letusan teknologi maklumat dan media sosial yang meluas. Sehubungan itu, saya mencadangkan agar ditubuhkan 'war-room' untuk menjadi 'command center' di peringkat ibu pejabat. Perhubungan Negeri dan Bahagian-bahagian hendaklah dilibatkan secara konsisten dan kemaskini, bukan secara berkala atau sekali-sekala!

LANGKAH 15

81. Di peringkat Penerangan UMNO Malaysia, saya mengarahkan diperkasakan lagi Jabatan Komunikasi Strategik bagi memastikan program yang mampu menjangkau kumpulan sasaran. Segala dasar dan perancangan parti perlu diketahui oleh ahli akar umbi. Penubuhan jabatan ini penting agar program parti dapat dijalankan dengan lebih berkesan mengikut keutamaan. Ini bagi membolehkan parti melaksanakan komunikasi bersepadu kepada kumpulan sasar menerusi teknologi maklumat. Ahli-ahli UMNO perlu bergerak aktif dalam menyebarluas maklumat dan menangkis setiap tohmahan. 

TERAS KEEMPAT: HAK KUASA ISTIMEWA

Saudara dan Saudari sekalian,

82. Saya sedar dalam PRU-14 yang lalu, UMNO hanya menang di dua buah negeri iaitu Perlis dan Pahang.

LANGKAH 16

83. Berdasarkan post-mortem dan hasil perbincangan di pemukiman, kita dapati peranan Badan Perhubungan UMNO Negeri harus diberikan kuasa-kuasa tertentu untuk memberi lebih ruang kepada mereka membuat keputusan. Kita bersetuju dengan penurunan kuasa ini yang melibatkan jentera, pengurusan dan hal-ehwal disiplin parti serta melakukan penyelarasan aktiviti ke akar umbi dalam usaha merakyatkan parti.

84. Ini membolehkan pengurusan di peringkat negeri lebih sistematik dan tidak terlalu bergantung serta terikat dengan Pusat. Mereka ada kuasa untuk mempengaruhi sentimen ahli negeri masing-masing.

LANGKAH 17

85. Ingin saya ingatkan, kerajaan kita dahulu telah pun menubuhkan Jawatankuasa Penurunan Hak-Hak Sabah dan Sarawak bagi mengkaji dan memastikan hak-hak mereka diperinci dan dikembalikan selaras dengan Perjanjian Penubuhan Malaysia 1963 (MA63).

86. Ini bagi menjamin kemakmuran ekonomi yang adil di Sabah dan Sarawak, seperti mana yang dikecapi di Semenanjung. Saya menyeru kerajaan hari ini, agar meneruskan agenda pemberian 20% hasil royalti minyak dan gas kepada rakyat Sabah dan Sarawak, sebagaimana yang termaktub di dalam manifesto mereka.

87. Hormatilah hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak, dan janganlah dipermainkan untung nasib mereka. TIDAK USAH BERDOLAK-DALIK LAGI, APA YANG DIJANJI HENDAKLAH DITEPATI, KATA HENDAKLAH DIKOTA!

88. Sudah sampai masanya beberapa dasar penurunan kuasa istimewa politik dilaksanakan untuk negeri Sabah, sesuai dengan perubahan landskap politik hari ini. Saya mengumumkan bahawa sebuah Jawatankuasa Khas telah dibentuk untuk pelaksanaan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Badan Perhubungan UMNO Sabah.

89. Saya ada menerima memorandum daripada UMNO Sabah agar Majlis Kerja Tertinggi membuat pertimbangan, antaranya mengenai pemberian autonomi kepada UMNO Sabah dalam aspek khusus berpandukan kepada Perlembagaan dan Peraturan Parti.

90. Autonomi merujuk kepada tadbir urus sendiri ke atas perkara-perkara yang ditetapkan di bawah undang-undang atau peraturan parti. Antaranya ialah untuk memperjuangkan hak-hak dan kepentingan anak negeri, Bumiputera dan masyarakat negeri Sabah secara keseluruhannya.

91. Mesyuarat Agung Luar Biasa akan diadakan bagi memutuskan perkara ini dan perkara-perkara lain yang memerlukan pindaan Perlembagaan UMNO. Pada dasarnya kami menerima syor-syor tersebut.
TERAS KELIMA: MUAFAKAT POLITIK

Saudara dan Saudari sekalian,

LANGKAH 18

92. Hari ini, UMNO menjadi pembangkang. Inilah realitinya. UMNO tidak boleh lagi ada mentaliti sebagai kerajaan. Sebagai pembangkang, kita harus bertaut dengan rakan-rakan pembangkang yang lain. Ini kerana musuh kita adalah sama. Sudah lama kita melakukan kerjasama politik ataupun Tahaluf Siasi dengan MCA, MIC, MyPPP, PBRS dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional. 

93. Namun, perlu di terima hakikat, kita akan meneruskan kerjasama dalam Gagasan Pembangkang di atas semangat Ta'awun, iaitu kerjasama untuk kemaslahatan bersama, tidak terikat dan bebas dengan cara yang tersendiri.

94. Kerana itu kita yakin bahawa parti-parti berasaskan kaum, bangsa atau etnik bukanlah suatu perkara buruk atau terkebelakang. Dalam sejarah UMNO selama 72 tahun serta sejarah Perikatan dan Barisan Nasional, tidak pernah terjadi negeri-negeri tidak boleh meneruskan mesyuarat agung tahunan, seperti yang berlaku dalam sebuah parti. Temasya baling kerusi dan pukul memukul seolah-olah menjadi sebahagian daripada agenda mesyuarat mereka. Ini bukan amalan kita selama ini!

95. Demi kepentingan rakyat, pintu UMNO sentiasa terbuka untuk jalinan kerjasama dengan sebarang parti politik, asalkan prinsip UMNO tidak tergadai atas jalinan politik itu nanti. KITA TIDAK RELA UMNO DIBUBARKAN!


LANGKAH 19

96. Sebagai Pengerusi Barisan Nasional, saya telah mengambil kira secara serius berhubung hala tuju dan permuafakatan kita. Tindakan segera mesti dilakukan bagi membina keyakinan rakyat. SUKA SAYA MENGUMUMKAN, BARISAN NASIONAL AKAN DIJENAMAKAN SEMULA SEBAIK SAHAJA PERUNDINGAN DENGAN RAKAN-RAKAN KOMPONEN YANG SEDIA ADA SELESAI DAN DIMUKTAMADKAN! Cadangannya, parti gabungan ini bakal dianggotai dengan entiti-entiti berikut:

i. Parti-parti teras merangkumi UMNO, MCA, MIC, MyPPP, dan PBRS
ii. Parti-parti gabungan lain yang memahami aspirasi dan idealisme perjuangan bersama
iii. Parti politik mesra UMNO yang selama ini banyak membantu dan menyokong
iv. Badan Bukan Kerajaan (NGO)
v. Individu ahli langsung (direct membership) iaitu pendekatan di mana individu boleh menjadi ahli Barisan Nasional tanpa melalui mana-mana parti politik

97. Inilah yang akan kita lakukan dalam penjenamaan semula Barisan Nasional!









TERAS KEENAM: KERAJAAN MENANTI

Saudara dan Saudari sekalian,

LANGKAH 20

98. Biarpun tidak dapat membentuk kerajaan, UMNO merupakan sebuah parti paling dominan berdasarkan keputusan PRU-14. Sebab itu nilai pemimpin UMNO yang menang pada pilihan raya umum lalu, adalah mahal harganya.

99. Dengan kegagalan kerajaan menunaikan janji manifesto dan beberapa dasar flip-flop telah membangkitkan kemarahan rakyat, saya percaya UMNO mempunyai harapan cerah untuk mendapat kembali kepercayaan rakyat. 

100. Saya telah mewujudkan 4 kluster bagi memastikan prestasi kerajaan hari ini dipantau dengan teliti. Fungsi dan tugas jawatankuasa ini adalah seakan-akan 'kabinet bayangan' dan ia adalah seperti berikut:

KLUSTER PERTAMA: Jabatan Perdana Menteri, Perundangan, Sumber Manusia dan Keselamatan
KLUSTER KEDUA: Kewangan, Ekonomi dan Industri
KLUSTER KETIGA: Pendidikan, Sosial dan Budaya
KLUSTER KEEMPAT: Infrastruktur, Teknologi dan Kesihatan

101. Perlu saya tegaskan, kita bukan hanya sebagai pembangkang yang konstruktif dan dinamik, tetapi kita juga adalah KERAJAAN MENANTI atau GOVERNMENT-IN-WAITING! 





TERAS KETUJUH: PENGORBANAN JIWA RAGA

Saudara dan Saudari sekalian,

102. Ujian paling besar terhadap ahli UMNO adalah soal pengorbanan. Kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang menjadi penggerak di barisan hadapan kita, teruslah bergerak ke cawangan-cawangan, menjadi mata dan telinga parti, terus memperjuangkan nasib anak bangsa kita!

LANGKAH 21

103. Saya mahu agar semangat kesukarelaan ini perlu terus hidup subur dalam parti. Dalam keadaan serba kepayahan ini, semua sayap-sayap parti harus terus bergerak. Ketengahkanlah permasalahan rakyat, perjuangkanlah hak mereka dalam kebajikan, pendidikan, perumahan, pekerjaan, ekonomi dan sebagainya secara berterusan. Berilah mereka pembelaan yang sepatutnya, sekadar yang kita mampu.

104. Saya mendengar semua ucapan dasar Ketua-ketua sayap. Saya bersetuju dengan Ketua Pergerakan Wanita yang mahu memulakan gerak kerja yang baru untuk akar umbi, walaupun sukar tetapi penuh keyakinan. Oleh itu, marilah kita:

i. Mencari titik persamaan bukan garis perbezaan.
Mencari kesatuan dan bukannya perpecahan.
Mencari kekuatan dan bukannya kelemahan.
Bergerak ke hadapan untuk tidak mencurah geram, amarah atau menuding jari mencari salah.
Menjadi wahana untuk bermuhasabah diri dan menilai diri.

ii. Memulakan gerak kerja baru, memanfaatkan sejarah kekuatan dan komitmen dari peringkat akar umbi bagi memulakan langkah, meskipun getir dan sukar tetapi penuh keyakinan.
iii. Bersetuju terhadap saranan penubuhan team penyelidikan, media, strategik dan persepsi untuk menambahbaik serta memperkasakan organisasi sejajar perkembangan politik semasa.
iv. Penubuhan team data politik dan pilihan raya.
v. Penubuhan team prihatin interaktif yang memfokuskan kepada memahami perilaku pengundi secara menyeluruh dengan menumpukan pengumpulan maklumat berdasarkan demografi rakyat.
vi. Menyantuni aktivis dan ahli profesional wanita yang mempunyai pengalaman, pengetahuan serta kepakaran.
vii. Mendekati dan menarik lebih ramai simpatisan UMNO, non-card carrying members dan sukarelawan.

105. Saya juga amat bersetuju dengan saranan Ketua Pergerakan Pemuda yang meminta supaya:

i. Kita menjuarai agenda rakyat,
ii. Menyantuni kepelbagaian anak-anak muda,
iii. Memperkukuhkan nilai inklusif,
iv. Pengislahan Pemuda, serta 
v. Melakukan penjenamaan semula Pemuda.

106. Saya juga sehaluan dengan saranan Ketua Pergerakan Puteri iaitu:

i. Akan bekerja keras untuk mengamit sokongan wanita muda untuk terus mendukung dan memberi kepercayaan semula kepada UMNO.
ii. Menggerakkan tenaga profesional muda wanita untuk didekati bagi membantu meraih dan memulihkan UMNO.
iii. Turun ke institusi pengajian tinggi untuk membawa mereka agar turut memahami dan menghayati perjuangan parti.
iv. Bersedia menjadi kumpulan pelapis kepemimpinan, selaras dengan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun.

107. Saya yakin Pergerakan Puteri akan bergerak bersama-sama Pergerakan Pemuda untuk memperkukuhkan pelaksanaan program perkaderan bagi memperkasakan kepemimpinan muda UMNO. Ini untuk membolehkan mereka mengambil-alih kepemimpinan UMNO masa depan.

108. Sebagai Presiden UMNO, saya menyelami dan amat memahami hasrat ketiga-tiga sayap parti untuk terus membantu UMNO bagi merealisasikan langkah-langkah hala tuju kita. Saya mengiktiraf semua saranan itu sebagai langkah ke-21 seperti yang saya nyatakan.

RUMUSAN

Saudara dan Saudari sekalian,

109. Berbeza pendapat itu suatu rahmah dan perlu diraikan. Seperti bidalan, bertelingkah antan di lesung, ayam juga yang kenyang! Jangan sampai jong pecah, yu yang kenyang! Jangan sampai perselisihan antara kita, menguntungkan pihak lain. Elakkanlah memberi komen dan menjawab hal-hal berkaitan parti secara terbuka. JANGAN BAGI BOLA TANGGUNG KEPADA PIHAK LAWAN! Kita wajib merapatkan saf kepimpinan dan akar umbi untuk memenangi hati rakyat. Hentikanlah perbalahan dan persengketaan dalam kalangan kita demi kelangsungan perjuangan UMNO.





110. Dalam membina kembali kekuatan keluarga besar UMNO, perbezaan mesti disantuni dengan penuh kebijaksanaan. 

Elok basa kan bekal hidup,
Elok budi kan bekal mati!

Yang lorek itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang molek itu budi,
Yang indah itu bahasa.

111. DALAM SAAT KESUSAHAN DAN KEPAYAHAN, JANGAN ADA DALAM KALANGAN KITA MENGAMBIL KESEMPATAN DALAM KESEMPITAN! Saya mengharapkan agar semua ahli dan saf kepimpinan merapatkan barisan dan tingkatkan kemuafakatan. Ayuh, junjunglah rakyat dan letakkanlah parti mengatasi segala-galanya! Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

112. Kita perlu menghormati pemimpin-pemimpin terdahulu yang telah memimpin kita selama ini, dan masih terus bersama-sama kita. Biarpun kepayahan sedang melanda namun berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kita juga hendaklah terus memanjatkan doa, agar sebarang musibah yang sedang dihadapi akan dilalui dengan penuh ketenangan, dan rasa redha serta tawakal kepada Allah SWT.

113. Saya tertarik dengan bidalan, "tiada yang lama sudah pasti tiadalah yang baharu". Yang lama menyayangi yang baharu, yang baharu menghormati yang lama. Bak kata Allahyarham Tun Ghaffar Baba, "kalau pelepah bawah jatuh, pelepah atas jangan ketawa". SESUNGGUHNYA SIFAT TERLAMPAU YAKIN SEHINGGA MENIMBULKAN KEANGKUHAN, TIDAK ADA TEMPAT DI DALAM UMNO!

114. Kepada para perwakilan, marilah kita bersidang dengan penuh tanggungjawab dan berbincang dalam usaha membina semula UMNO.

115. Marilah kita bina UMNO sebagai parti yang penuh falsafah dan berideologi perjuangan. Kita raikan kepelbagaian yang ada di hadapan kita. Mari kita berusaha dan bersedia menjadi kerajaan semula dalam waktu yang terdekat, atau selepas PRU-15 nanti.

116. Saya yakin kita semua tahu dan percaya, untuk membina keyakinan rakyat terhadap UMNO, kita sebagai ahli dan pemimpin hendaklah terlebih dahulu yakin kepada diri kita sendiri, bahawa kita boleh melakukan apa sahaja yang telah kita gariskan dalam perancangan parti kita.

117. Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha mengukuhkan parti dengan mengukuhkan diri kita terlebih dahulu. Tingkatkan iman dan ketaqwaan, kerana dari situlah bermulanya titik-tolak survival perjuangan kita. Jadikan perjuangan ini suatu jihad yang amat bermakna bagi setiap diri kita.

118. Pada musim saya diamanahkan menjadi Presiden, yang saya terima dengan penuh rasa tawadhuk, saya amat mengharapkan agar kita mampu memulihkan UMNO yang telah jatuh daripada persada kerajaan ini, untuk bergerak sebagai suatu pasukan yang mantap, kukuh dan digeruni.

119. Marilah, kita pandang ke hadapan lebih kerap daripada kita saling memerhati rakan-rakan seperjuangan kita. Kita kerahkan tenaga ke arah menggerakkan parti, dan bukan mengumpul cacat-cela rakan-rakan kita. Kita semua adalah manusia, tidak ada yang sempurna.





120. Untuk itu,

BANGKITLAH SAUDARA-SAUDARA SEKALIAN!  
BANGKITLAH MENYAMBUNG PERJUANGAN INI! 
BANGKITLAH MELAUNGKAN SEMANGAT INI!

HIDUP UMNO! 
HIDUP MELAYU!
HIDUP RAKYAT! 
HIDUP MALAYSIA!

UMNO… (bangkit)
UMNO… (bangkit)
UMNO… (bangkit)

ALLAHUAKBAR!
ALLAHUAKBAR!
ALLAHUAKBAR!

121. Kepada Allah SWT kita berserah. Dengan nama Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang, maka dengan lafaz "Fassabih biham dirob bikawas taghfir innahu kanatau waba", saya dengan segala sukacitanya merasmikan 'PERHIMPUNAN AGUNG UMNO BAGI TAHUN 2018'. Semoga Allah memberkati perjuangan kita.

Sekian, terima kasih.

Sabtu, 29 September 2018

OPEN LETTER TO YDP AGONG.



Dearest Your Majesty,

All of Allah blessings upon you, may you hear this request from your humble rakyat.

We are in a worrying political situation. We are about to crown a dubious man as our Prime Minister in the not so distant future.

Datuk Seri Anwar Ibrahim said recently, that the Agong said:

"I pardoned you not because of the legal allocation under my power alone, but because I am confident you are innocent, Anwar, and there was travesty or miscarriage of justice. I had to do my duty as a King, to stop this injustice towards you since 1998 till 2018."

He said further:

"You know what was my response? 'Your Majesty, this is a very serious statement from you. You are now saying that the judiciary, attorney general's prosecution, investigation, was all compromised, to fix me up.'

And he claimed that you said:

"Yes, I'm telling you the truth. You want to, you can tell tonight in your lecture," 

*He told a packed hall at the Corus Hotel.*

THIS IS A SERIOUS CLAIM

Dearest Tuanku, please confirm that you did say this to him.

And if you indeed said this, please setup a royal committee to investigate the matter since 1998. 

Please set this up now. If you do it after Anwar becomes a PM, Anwar will get the blame for being revengeful.

If you don't do it now, it means Anwar is a blatant liar.

It is either or.

We cannot have Mahathir as Prime Minister anymore if you actually believed he abused his powers to jail an innocent man.

And if that was not the case, why do we want a blatant liar who manipulates and throw even the King's name for his advantage, as our Prime Minister?

We must uphold the Rule of Law, Your Majesty.

Anwar's claim basically raise another big question on your integrity, Your Majesty. 

Because if you believed he was innocent back then, why didn't you say anything all these while? Why only say this behind closed doors? Although you were not the King then, you're still a royalty. You're above politics but jailing an innocent man is above politics too. 

*I refuse to believe what Anwar said because I refuse to believe that Malaysia has an Agong that has no integrity. I'm not believing Anwar on this.*

This is especially because no Rulers or even princes had ever said anything about this. For Anwar to claim that Your Majesty said he can tell that Your Majesty said all that in his lecture, is highly dubious.

If Your Majesty allow him to get away with this, anyone can now say, Your Majesty told me this, Your Majesty told me that. This is hearsay and no one should be allowed to say such things for their benefit.

*I seriously hope that you will clarify or confirm Anwar's claims. No one should be allowed to fabricate what the King said.*

We Rakyat needed Your Majesty's leadership in 1998, and we need it even more so today.

Please, do the right thing.

*Please confirm that you said such things to Anwar so that we know we are not putting a blatant liar and manipulator as our Prime Minister.*

And if indeed you said what you said, please go after the whole judiciary systems that did this to an innocent man. An innocent rakyat.

Please go after Mahathir now if he indeed abused his power to jail an innocent man.

*Rakyat cannot keep on being lied to, whether by Mahathir or Anwar.*

*Please clear this question about your integrity. That is of utmost importance.*

Should you feel that the contents of this letter inappropriate of a rakyat to ask of you, you may charge me and I will gladly serve my time in prison for that is more acceptable to me than having a Prime Minister who lied to the rakyat. One of them must have been lying to the rakyat.

Please, Tuanku. I beg you.

Daulat Tuanku.

*Mujahidin Zulkiffli*

Jumaat, 28 September 2018

#PAU2018 - Ucapan Perasmian Sayap-sayap oleh Timbalan Presiden UMNO



UMNO dan Malaysia Yang Berubah

YB Dato' Dr Noraini Ahmad, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia dan kepimpinan Exco Wanita.

Yang Berbahagia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan kepimpinan exco pergerakan pemuda Umno Malaysia 

Yang Berbahagia Datuk Zahida Zarik Khan, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dan kepimpinan exco pergerakan puteri Umno Malaysia

Ketua-ketua Wanita parti komponen Barisan Nasional, para jemputan serta semua saudara/saudari perwakilan sayap2 Umno Malaysia yang saya sayang. 

Para Perwakilan sekalian;

1. Pertama sekali saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada sayap-sayap parti iaitu Wanita, Pemuda, dan Puteri yang telah berjaya mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan-cawangan dan bahagian- bahagian dalam jangkamasa yang singkat.

2. Seterusnya tahniah juga saya ucapkan kerana telah berjaya menganjurkan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada malam ini.

3. Saya tidak tahu bagaimana harus saya memulakan ucapan saya pada kali ini.

4. Sangat berkecamuk perasaan ini. Bukan mudah untuk berhadapan dengan ahli UMNO dan orang Melayu, dan memikul pertanggungjawaban terhadap kehilangan kuasa UMNO sebagai pemerintah negara.

5. Malam ini, sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya ingin kembali kepada fitrah manusiawi. Mengambil pertanggungjawaban, sebagai nilai yang dituntut dari seorang pemimpin. 

6. Justeru, bagi pihak diri saya dan kepimpinan UMNO, saya harus memohon maaf setulusnya kerana gagal menjayakan UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke 14 yang lepas.

7. Saya dan kepimpinan baru UMNO mengambil tanggungjawab atas kekalahan tersebut. 

8. Walaupun tidak sedikit usaha yang telah kita semua curahkan dalam pilihanraya lepas, tetapi ternyata kita gagal untuk menongkah gerak gempa yang dicetuskan oleh kebangkitan rakyat Malaysia. 

9. Maka kita terimalah hakikat yang sangat pahit ini. 

10. Apa lagi yang harus kita lakukan kecuali menerima kenyataan ini.  Hidup dengannya dan melaluinya. Dengan terbuka dan berlapang dada. 

11. Saya tahu ia sukar, malah sangat asing kepada kita. Tapi inilah lumrah dan harga sebuah perjuangan. 

12. Kita tidak akan sentiasa menang hingga seribu tahun. Kita tidak akan kuat selama ada bulan dan bintang.

13. Kita lambat laun akan terjatuh dan terjerumus jua, pada satu waktu dalam garisan masa. Dan Mei 2018, garisan masa tersebut telah menjadi nyata. 

Para perwakilan yang sangat saya kasihi;

14. Untuk pertama kalinya, dalam sejarah panjang UMNO, kita bersidang dalam kedudukan kita bukan lagi sebagai parti pemerintah.

15. UMNO telah hilang kuasa dan susut pengaruhnya.

16. UMNO bukan lagi seperti dulu. Ia telah hilang pesonanya pada bangsa Melayu.

17. Kenapa semua ini berlaku? Di mana perginya ketahanan UMNO setelah tujuh dasawarsa ia wujud, hidup dan berfungsi?

18. Bagaimana parti yang telah membidani kelahiran Malaysia ini dan memimpinnya selama lebih 60 tahun, boleh begitu mudah terjerumus dalam kancah kekalahan?

19. Maka ternyata, jangka masa 70 tahun itu gagal menyediakan kita dengan kematangan sebagai sebuah parti yang moden dan bersifat sezaman.

20. Ini adalah kerana kegagalan kita memahami dan menggarap bahawa Malaysia yang kita didiami waktu ini, yang kita hirup udaranya,  malah yang kita bangunkan adalah Malaysia yang sudah berubah. 

21. Bukan Malaysia yang dahulu. Tetapi Malaysia yang telah berubah. Malaysia yang moden, yang global dan yang berkemajuan. 

22. Kita gagal menghargai bahawa segenap struktur sosial, pendekatan ekonomi dan amalan politik Malaysia, telah melalui pelbagai fasa modenisasi dan transformasi.

Saudara-saudari sekalian;

23. Bagi saya di samping fakotr2 dalaman dan luaran parti, ada tiga fenomena penting yang mendasari kegagalan UMNO dalam pilihanraya lepas.

24. Pertama, dampak globalisasi yang dipacu oleh kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi telah melahirkan generasi baru Malaysia.  Generasi yang bukan sekadar mengangguk dan mengiyakan semua perkara atau 'comfirmist'. 

25. Kedua, modenisasi Malaysia telah melahirkan generasi Melayu yang tidak lagi mempunyai nilai dan hubungan sentimental dengan UMNO. 

26. Ketiga, kegagalan UMNO dan BN untuk berubah mengikut tuntutan sezaman. Struktur, budaya, dasar dan pemikiran politik UMNO dan BN adalah citra kurun ke 20, sedangkan Malaysia telah jauh berada dalam kurun ke 21. 

27. Akan tetapi, di sebalik segala alasan dan faktor ini, krisis paling besar kepada UMNO bukanlah kehilangan kuasa. Menang kalah pilihanraya itu adat demokrasi.

28. Tetapi, yang sangat mendukacitakan ialah UMNO tewas kerana ia telah kehilangan kepercayaan orang Melayu. Kepada sesetangah orang Melayu, UMNO telah 'hilang kompas moral dan nilainya'. 

29. Lihat sahaja bila ekonomi kita bertumbuh dengan pesat. Bila Malaysia semakin maju, telah lahirlah jumlah kelas atasan dan menengah Melayu yang besar. 

30. Ini telah menyebabkan munculnya semacam kepercayaan baru, iaitu  "kewangan yang maha berkuasa" atau "the power of money".

31. Dan yang lebih parah, budaya ini telah merebak pula ke dalam wilayah politik. UMNO dan pemimpinnya pula menjadi pemangkin. Membenih dan menyuburkan kepercayaan "kewangan yang maha berkuasa" ini.

32. Segala-galanya adalah tentang wang. Segala-galanya memerlukan imbuhan, memerlukan ganjaran dan habuan material. 

33. Natijahnya, perkara yang diperjuangkan UMNO bukan lagi kemaslahatan bangsa melayu. 

34. Bukan lagi tentang Bahasa Melayu. Bukan lagi kebolehsaingan Melayu. Atau pendidikan terbaik untuk anak bangsa. Bukan lagi sistem politik matang dan baik. Bukan kepimpinan yang amanah pada perjuangan bangsanya. 

35. Tetapi, yang diperjuangkan ialah 'survival' tokoh tertentu yang mampu memberikan segala macam imbuhan. Kontrak dan Projek. Bukan lagi wadah gerakan massa bangsa Melayu yang jujur.

Tuan-tuan dan Puan-puan; 

36. Kegagalan UMNO memimpin bangsa Melayu dengan kompas moral dan nilai, telah mendatangkan impak sangat luar biasa kepada kedudukan orang Melayu.
 
37. Yang terhambat, adalah bangsa Melayu. Bangsa Melayu, pada pandangan jujur saya, sedang berhadapan dengan apa yang saya panggil zaman kesusutan atau "the age of decline".

38. Bangsa kita, dalam menghadapi segala gelombang perubahan ini, tidak mempunyai "mekanisme pertahanan diri" (self defence mechanism) ataupun strategi kebudayaan (cultural strategy) yang kuat.

39. Maka kerana itulah, UMNO mesti keluar dari sindrom penafian. Kita tidak boleh terlalu defensif, terlalu sensitif dan menganggap semua teguran dan kritikan kepada kita adalah cubaan untuk menjatuhkan kuasa politik orang Melayu. 

40. Hujah sebegini sudah lapuk, sudah tidak boleh diterima. 

41. Sebaliknya, kita mesti menerima naratif bahawa, selagi lantang dan kerap orang Melayu menyuarakan pandangan dan teguran kepada UMNO, semakin sayang dan peduli mereka dengan kita.

42. Dan segala teguran, kritikan, malah hukuman mereka kepada kita, sewajarnya menjadi asas yang menyedarkan kita bahawa UMNO memerlukan pengislahan yang sebenar-benarnya.

43. Bukan pada struktur. Bukan hanya sekadar melaksanakan pemilihan dan mempunyai kepimpinan baharu. Bukan sekadar menukar nama atau slogan. Semua itu kosmetik. Semua itu hanya ranting-ranting kecil sahaja.

44. Sebaliknya, UMNO mesti dibangunkan semula dengan nilai, dengan moral, dengan ideologi yang paling tuntas.

45. UMNO mesti melupakan sebentar nafsunya untuk meraih kuasa.

46. UMNO harus tampil, bekerja keras meyakinkan semula bangsa Melayu bahawa ia, UMNO, akan menumpukan seluruh kudratnya dalam masa sepuluh tahun akan datang, untuk menjadi gerakan kebangkitan dan pencerahan bagi bangsa Melayu.  

47. UMNO, mesti membangunkan 'DEKAD PENCERAHAN' untuk bangsa Melayu. Atau apa yang saya panggil "The New Malay Renaissance"!

48. Jadi, hari ini saya mengambil kesempatan, membuat peringatan dan seruan secara tegas dan ikhlas. Kepada semua yang ada di sini. Dan juga kepada semua mereka di luar sana. Khususnya kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

49. Bahawa bangsa Melayu sedang berada di persimpangan paling getir kelangsungannya. 

50. Dan UMNO, di sebalik kesusutan pengaruh dan kuasanya,  tidak boleh membiarkan kondisi bangsa kita terus susut. 

51. UMNO mesti bangun, menjadi lebih bingkas dan memimpin bangsa Melayu dalam Malaysia yang berubah ini. 

52. Biarpun tewas, UMNO masih memiliki potensi besar, pengalaman sejarah yang panjang, dan modal sosial yang handal untuk memberi solusi. 

53. Akan tetapi, yang membimbangkan saya ialah bila kita berada dalam kedudukan tewas seperti ini, kita hilang arah. Kita gelabah, kita jadi hilang pedoman dan kewarasan.

54. Kita seolah-olah tidak tahu apa yang harus dilakukan.  

55. Perlu saya ingatkan, UMNO tidak akan kembali pulih kalau kita sekadar memohon maaf dan mengambil tanggungjawab sahaja. Ia sangat tidak memadai.

56. Apa yang penting waktu ini, yang mesti kita sama-sama fikirkan, ialah ke mana dan bagaimana akan kita bawa UMNO selepas ini?
 
57. Kita tidak boleh lagi berlengah, memberi pelbagai alasan, kenapa sehingga hari ini, kita gagal melakarkan hala tuju dan perjalanan masa depan UMNO kepada ahli dan orang Melayu.

58. Semakin lama kita menangguhkan pelan pencerahan untuk UMNO, semakin ramai yang akan kehilangan keyakinan kepada kita.

59. Lihat sahaja kebelakangan ini. Ramai yang telah memilih untuk meninggalkan wadah perjuangan parti ini.

60. BAK KATA BIDALAN ORANG NISMILAN, 2-3 EKOR AYAM TAK BERKOKOK, HARI AKAN TETAP SIANG JUGA. Kepada mereka yang meninggalkan perjuangan ini, kita ucapkan selamat maju jaya. 

61. Ramai juga yang sangat yakin bahawa UMNO akan mati dan terkubur selamanya. Kita berlapang dada dengan kenyataan sedemikian. 

62. Dan memang benar, UMNO waktu ini, laksana hidup segan mati tak mahu. Separuh nyawanya pergi.

63. Kehilangan kuasa menjadikan UMNO kehilangan arah. Kerana UMNO selama ini hanya tahu satu kehidupan. Berkuasa. 

64. Tanpanya, ia kusut, bercelaru dan menghampiri mati. Kerana ramai dalam UMNO mencari kehidupan dengan UMNO. Bukan menghidupkan UMNO untuk kebaikan bangsa. 

Para Perwakilan Sekalian;

65. Membangunkan UMNO pasca PRU-14 adalah sangat sukar. Saya jangkakan bahawa ia memerlukan satu proses yang akan merentas zaman untuk pulih.

66. Kita ditakdirkan untuk memulihkan UMNO. Mungkin sebagai kifarah atas kesalahan kita kerana cuai dalam amanah pada bangsa. 

67. Lalu sekarang, kita harus memilih. Mahu meneruskan UMNO ini. Atau membiarkan ia luput dari persada politik Malaysia.

68. Saya memilih untuk meneruskan hayat UMNO. Bukan itu sahaja, saya berikrar membangunkan kembali dan menjadikan UMNO lebih baik. 

69. UMNO yang lebih moden. UMNO yang lebih maju. UMNO yang benar-benar diyakini sebagai parti perjuangan. Bukan parti untuk politik naungan bagi bangsa Melayu.

70. Jadi, pada malam yang penting ini,  saya mengajak semua perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri sekalian, marilah kita memberikan penghidupan baru untuk UMNO.

71. Marilah bersama-sama saya dan kepimpinan parti, meneroka jalan sukar. Jalan berliku. Jalan yang belum tentu akan menemui fajar baru. Untuk merawat, memulih dan mencerahkan UMNO ini.

72. Biar saya nyatakan kenapa kita harus memilih jalan sukar ini. Bukan jalan singkat. Bukan jalan belakang. Bukan jalan tidak demokratik.

73. Pertama, inilah parti yang satu-satunya kita semua dukung.

74. Yang lebih separuh usia dari usia kita, diabadikan untuknya. Yang dalam darah kita ini, DNA-nya hadir dan mengalir.

75. Kita tidak pernah kenal parti lain. Dan kita tidak mahu pun menjadi parti lain. Dalam baik, dalam lemah, dalam kuat, dalam lelahnya, inilah parti kita.

76. Kita mesti menerima UMNO dengan segala kebaikan yang ada padanya dan segala kelemahan yang ada padanya. 

77. Kita bukan orang yang kasihkan UMNO hanya pada kala berada. Kala senang. Kala berjaya.

78. Kita kasihkan UMNO setiap ketika. Pada saat paling sukar, saat paling manis. Kita kekal, kita setia bersama.

79. Dengan UMNO, yang berat sama kita pikul, ringan sama kita jinjing. Dengan UMNO, hubungan kita seperti ikatan perkahwinan. Hanya cangkul dan tanah jua yang boleh memisahkan.

80. Jadi, sekali terjatuh,  jangan kita buang UMNO ini. Itu bukan cara kita. Dan saya pasti itu juga bukan cara para perwakilan semua.

81. Malah, kita mesti bangun, dan kita mesti hidupkan UMNO ini kembali.

82. Ini ikrar dan nilainya sebuah perjuangan. Dan jika kita  orang perjuangan, kita harus menggalasnya bersama.

83. Kedua, kita memilih untuk bersetia kerana kita mesti mengambil tanggungjawab kerana tewasnya UMNO.

84. Kita tidak boleh lari dari memikul tanggungjawab atas penolakan rakyat terhadap UMNO. 

85. Saya memberitahu diri saya, seumur masa, saya akan dihantui oleh rasa bersalah kerana tewasnya UMNO. Dan saya pasti ia akan menghantui hidup saudara sekalian juga. 

86. Maka kerana itu, mana mungkin kita tinggalkan UMNO ini, bila saya dan kita semua, menjadi sebahagian dari kejatuhannya. 

87. Justeru, kita mesti bangkit melunaskan tanggungjawab kita untuk memulih semula UMNO ini.

88. Kita mesti menebus rasa bersalah itu dengan mengambil tanggungjawab, membangunkan semula UMNO yang telah tercedera parah.

89. Membebat dan merawatnya. Mengubat dan memulihkannya. Mengembalikan UMNO dulu yang sangat kita cintai dan kita rindui. 

90. Ketiga, kita memilih untuk kekal kerana, di negara ini, sudah tidak ada  lagi parti Melayu yang dominan kecuali UMNO. 

91. UMNO mesti menjadi 'the safety net for the Malays'.

92. Kalau kita biarkan UMNO ini tanpa peduli, siapa lagi yang akan memperjuangkan kepentingan strategik bangsa.

93. PH tidak mewakili majoriti parti Melayu. Terlalu kecil peranannya dalam politik Melayu. 

94. Kerana itu, tuntutan membangunkan semula UMNO, merawatnya, memulihkan wibawanya, bukan lagi satu pilihan. Tetapi kewajipan.

95. Tanpanya kita akan hilang gerakan 'Melayu' yang sebenarnya. Tanpanya, kita akan hilang parti kebangsaan untuk Melayu. Tanpanya, tiada lagi wadah kebaikan untuk orang Melayu.

96. Percayalah, kehilangan perjuangan kebangsaan dari pentas politik Malaysia akan menjerumuskan bangsa Melayu ke kedudukan yang lemah dan terancam kelangsungannya.

97. Keempat, kita mesti membangunkan UMNO kerana selama 60 tahun, kita telah menerima banyak sekali manfaat darinya.

98. Apa yang kita tidak nikmati dari hasil perjuangan UMNO? Jangan hanya kerana kita tewas, kita memilih untuk melihat UMNO sebagai gerakan yang sifar jasa, sifar sumbangannya.

99. Janganlah kita jadi mereka yang kufur kepada nikmat. Terlalu cepat melupakan kebaikan. Habis madu sepah dibuang.

100. Kita bukan orang yang lupa pada mereka yang berbudi dan berbakti. Kita orang yang berterima kasih. 

101. Sebab itulah, kita harus bersetia untuk UMNO, kerana kita mengenang bakti luar biasa yang pernah UMNO curahkan pada bangsa Melayu.

102. Terakhir, kita mesti membangunkan UMNO, kerana kita mahu mengukuhkan demokrasi di Malaysia.

103. Kita tidak dapat lari dari menerima hakikat bahawa landskap politik Malaysia telah deras berubah.

104. Perubahan Kerajaan yang memerintah akan menjadi lumrah dalam Malaysia yang semakin matang demokrasinya.

105. Kerana itu, kita harus memastikan bahawa dalam Malaysia yang semakin demokratik ini, UMNO terus dapat berperanan dan berfungsi. 

106. Walau siapa pun yang memerintah, jika parti yang tewas itu kuat dan berfungsi dengan baik, maka pemenang paling besar ialah demokrasi. Dan apabila demokrasi menang, rakyat akan menang.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

107. Pertemuan kita hari ini adalah sangat penting. Kita mesti merencanakan segera pemulihan dan kebangkitan UMNO. 

108. Waktu inilah peranan Wanita, Pemuda dan Puteri sangat penting. Sangat kritikal dan sangat didambakan. 

109. Wahai pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri! 

110. Anda semua mesti tampil sebagai pencerah. Anda semua mesti memberikan kepimpinan. Pada bahu anda semualah, terletaknya tanggungjawab untuk mengembalikan matlamat moral UMNO atau  "UMNO's moral purpose".

111. Bagaimana harus saudara-saudari sekalian lakukan? Saya tiada formulanya. Dan dalam UMNO kurun 21 ini, solusinya tidak datang dari Presiden dan MKT. Itu zaman UMNO pra PRU14.

112. UMNO pasca PRU 14, mesti beroperasi di luar kelaziman. 

113. Maknanya saudara dan saudari harus menggunakan segala imaginasi, kebitaraan dan modal intelektual anda semua, untuk mencipta dan melakukan seribu satu pendekatan bagi merangsang rejuvenasi UMNO.

114. Wujudkan gelombang baharu. Jana tenaga dan semangat yang membara. Tinggalkan amalan lapuk dan bangkitlah dengan misi yang meyakinkan.

115. Percayalah, ikhtiar memulihkan UMNO sangat memerlukan penerokaan idea-idea besar dan luar biasa. Bukan satu solusi untuk semua! Dan dari saudara-saudarilah saya harapkan idea-idea segar dan luar biasa ini datang.

116. Tetapi sukalah saya memberikan sedikit panduan. Walau apa pun idea segar dan pendekatan luar kelaziman yang saudara-saudari sekalian akan kemukakan untuk mencerahkan UMNO ini,  saya menyarankan agar nilai dan prinsip berikut dijadikan pedoman. 

117. Pertama, UMNO mesti kembali ke landasan lahiriahnya. Kembali kepada ideologinya untuk membuah dan menciptakan kebaikan kepada bangsa Melayu. 

118. Maknanya kebangkitan semula UMNO mesti berlandaskan nilai, serta berpaksikan moral dan ideologinya. Kita mesti menjadi parti dengan ideologi yang jelas dan berpegang teguh kepadanya.

119. Tugas kita waktu ini ialah bagaimana untuk melakukannya. 

120. Bagaimana kita akan menanam, dalam setiap diri ahli UMNO akan ideologi UMNO yang sebenar-benarnya. Iaitu sebagai sebuah Gerakan Pencerahan. Sebuah Gerakan Ikhtiar dan amal bakti. Dan sebuah Gerakan Jalan Tengah. 

121. Setiap pendukung, setiap ahli UMNO, setiap Bahagian, harus faham ideologi dan doktrin UMNO yang sebenar-benarnya.

122. Kita tidak lagi boleh hanya menjadi ahli, tetapi tidak tahu kenapa kita menjadi ahli dan apa yang kita dukung dan perjuangkan.

123. Kedua, sangat penting untuk UMNO ini diposisikan semula di tengah arus perubahan lokal, nasional, dan global. 

124. Maknanya UMNO mesti ada pelan, ada strategi dan kayu ukur untuk memulihkannya. Kita mesti menjadi parti politik yang moden.

125. Kita mesti mempunyai 'blueprint' yang jelas tentang bagaimana UMNO ini mesti direjuvenasikan. 

126. Dan semua pelan ini mesti ada kayu ukurnya. Mesti boleh dinilai pencapaiannya. 

127. Maka saya cadangkan. Wanita, Pemuda dan Puteri bersama-sama  melakarkan jalan ke hadapan untuk UMNO dengan menggubal Pelan UMNO 2030 (UMNO BLUEPRINT 2030). 

128. Pelan yang akan memperincikan dengan jelas, strategi apa yang akan  kita gunakan untuk meyakinkan orang Melayu agar kembali bernaung dengan UMNO.

129. Pelan ini mesti boleh menjelaskan dengan terperinci, sedekad dari sekarang,  bagaimana UMNO akan ditransformasikan sebagai pelopor sebenar kepada perubahan. Menjadi pengawal keutuhan agama Islam, bangsa Melayu, bahasa Melayu dan institusi raja-raja Melayu. Dalam masa yang sama, UMNO juga akan menjadi pembela kepada  kemajmukan pelbagai kaum, bahasa dan budaya di Malaysia ini. Dan menjadi katalis dan penggerak kemajuan umat. 

130. Kita mesti jelas. Membangunkan semula UMNO tidak sesekali bererti hanya mengambil alih kuasa sahaja. 

131. Dan bukan sekadar untuk kita melaungkan slogan keramat 'Hidup Melayu'. Tetapi bagaimana untuk Melayu dalam abad ke-21 mesti hidup secara maju. Dan ianya dipimpin oleh UMNO.

132. Kita mesti boleh mengungkap cara bagaimana kita akan membidani kelahiran Melayu Maju dan bukan lagi Hidup Melayu. 

133. Dan menjadikan UMNO sebagai wadah untuk mengajak dan menggalang seluruh kekuatan bangsa. 

134. UMNO mesti lebih besar dari hanya menggunakan kekuatannya untuk berbicara tentang politik dalamannya sahaja. Atau mengambil alih kuasa.

135. Ketiga, ikhtiar pengislahan UMNO mesti dibezakan dengan strategi untuk menang pilihanraya.

136. Maksudnya, kita memerlukan dua strategi berbeza. Dua pendekatan berbeza. 

137. Pertama, kita memerlukan bleuprint untuk memulihkan semula wibawa UMNO sebagai sebuah gerakan kebangkitan bangsa Melayu. Ini sangat mengambil masa, non linear dan bukan ada jalan pintas.

138. Kedua, UMNO mesti mempunyai strategi khusus untuk memenangi pilihanraya ke 15. 

139. Strategi moden, fleksibel dan bersandar data. Jika sekiranya Jalinan Rakyat (JR) tidak lagi berkesan, kita mesti cari jalan lain. 

140. Kita perlukan 'social media intelligence'. Kita mesti menggunakan big data secara besar-besaran. Kita mesti ada pasukan media sosial yang paling 'sophisticated'. Kita mesti ada calon yang bersih, berwibawa dan sanggup bekerja dari sekarang. Kita mesti ada sukarelawan yang berdedikasi. Dan kita mesti ada jentera parti yang handal. 

141. Maknanya, kita mesti ada cara untuk membezakan dan tidak mencampur adukkan agenda membangunkan semula parti dengan cita-cita kita untuk memenangi pilihanraya ke 15. 

142. Keempat, kita mesti mengemukakan solusi pada pelbagai masalah nasional sekarang. Berdasarkan dapatan kajian yang sahih. Pemikiran yang cerdas. 

143. UMNO, terutamanya melalui Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, mesti mengemukakan cadangan dasar-dasar pencerahan  yang kreatif dan inovatif. Pendirian UMNO. Ketetapan UMNO. Pemikiran UMNO.

144. Jangan cakap-cakap sahaja. Jangan hanya sekadar kenyataan akhbar.

145. Mulai sekarang, UMNO mesti ada pendirian yang terperinci tentang UEC misalnya. Tentang pendidikan, ekonomi, perdagangan antarabangsa, dasar luar dan pelbagai lagi dasar awam (public policy).

146. Dan pendirian UMNO mesti menjadi pendirian orang Melayu. Bukan pendirian Presiden atau MKT. Ingat, UMNO adalah lebih besar dari institusi Presiden dan MKT.  

147. Parti politik adalah suatu urusan yang serius, 'a serious business'. Ia mesti menyumbang kepada peningkatan kualiti dasar, program dan ikhtiar negara dalam berbagai bidang. 

148. Maka UMNO mesti tampil dan mengemukakan  model-model unggul dalam memperbaiki kemaslahatan masyarakat,  baik dalam bidang pendidikan, sosial, kesihatan, pengupayaan ekonomi mahupun keterlihatan antarabangsa. 

Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri

149. Saya telah gariskan sedikit sebanyak, pandangan yang mungkin boleh kalian jadikan pedoman untuk misi kalian membangunkan parti.

150. Terpulanglah bagaimana saudara-saudari ingin mengemudi parti ini bersandarkan nasihat tidak seberapa ini.

151. Yang pasti, saya dan rakan kepimpinan parti, menyimpan harapan yang menggunung pada saudara-saudari.

152. Saudara saudari sekalian, sebelum berakhir, saya mohon izin untuk menitipkan beberapa pesanan untuk saudara-saudari sekalian. 

153. Pertama, perjalanan perjuangan kita semua dalam UMNO, tidak lagi akan disimbahi sinar mentari terang atau cahaya bulan purnama. 

154. Zaman kegemilangan UMNO telah berakhir. Ini zaman pancaroba. Dan pancarobanya sangat menguji dan luar biasa.  

155. Perjuangan kita sekarang adalah lebih rumit dan lebih sulit. 

156. Dalam UMNO dan di luar UMNO, kita harus melawan kealpaan. Melawan sikap dan pemikiran yang tidak berkemajuan. Melawan sikap dingin dan penolakan mereka pada perjuangan kita.
 
157. Kita tidak punya pilihan. Pada saudar-saudarilah, terletaknya tanggungjawab untuk meyakinkan generasi muda Melayu bahawa UMNO masih lagi wadah politik terbaik untuk mereka memberikan sumbangsih pada bangsa dan negara.

158. Kepada Noraini, Ashraf dan Zahida. Keputusan kami, kepimpinan parti, menggalaskan tugas dan tanggungjawab yang besar ini kepada kalian, sebetulnya satu penghormatan.

159. Kami tidak akan mempertaruhkan nasib bangsa kepada mereka yang kami rasakan tidak mampu.

160. Kami yakin, saudara-saudari akan ikhlas dan gigih mencari jalan penyelesaian untuk parti. Malah kami mendoakan, yang saudara-saudari akan menemui jalan baharu untuk UMNO, insya-Allah.

161. Kedua, biar tewasnya kita dalam pilihan raya, jangan singkirkan cita-cita besar. Kita mesti menyimpan cita-cita setinggi bintang di langit untuk bangsa kita. 

162. Benar, saya sedih kita tewas dalam pilihanraya. Tapi, saya akan jauh lebih sedih, malah gusar, jika UMNO dipenuhi dengan orang muda yang lemah semangatnya. 

163. Apabila orang muda kita putus asa, tidak ada cita-cita dan menjadi tukang turut sahaja, pada saya, itulah ketewasan dan kekalahan yang sebenar-benarnya.

164. UMNO yang tewas, tidak harus membenarkan orang mudanya tewas.

165. UMNO yang tewas, tidak harus membenarkan cita-citanya yang menggunung juga tewas. 

166. Tanpa cita-cita, hidup adalah sekadar hidup. Tetapi tidak akan ada kehidupan.

167. Jangan biarkan keremajaan dan jiwa muda saudara-saudari disumbingkan oleh cita-cita yang kecil dan rendah. Apa lagi ditewaskan oleh sang negarawan yang telah lanjut usianya. 

168. Ingatlah, perjuangan parti ini landasan kepada orang muda untuk membawa kebaikan kepada orang Melayu. Tugas sayap-sayap bukan sekadar mencari tukang sorak dan penghayun bendera yang berbayar. Ia lebih dari itu.

169. UMNO memerlukan cita-cita baru yang lebih luar biasa untuk orang Melayu. Bukan sekadar slogan dan laungan 'Hidup Melayu'. UMNO memerlukan jalan baru, yang menjangkaui perjuangan hak dan kepentingan Melayu.

170. Kerana itulah, pemimpin masa depan Melayu mesti mempunyai cita-cita besar. Impian besar. Dan ilham yang luar biasa.

171. Cita-cita dan ilham besar akan mengajak kita memperindah martabat manusia, memuliakannya, mendekatkan pada kesempurnaan. Cita-cita yang besar akan membuatkan seseorang itu menjadi orang besar, dengan jiwa dan karakternuya yang unggul.

172. Cita-cita besar, pada saya, bak gelombang laut yang dahsyat. 

173. Tidak ada seorang pun mampu menghentikannya. Sekalipun dipasang jerejak dan halangan, tetapi perlahan-lahan semua itu akan terkikis oleh badai yang tidak jemu menghempas pantai. 

174. Cita-cita besar tidak dapat dipenjarakan. Ia ada di dalam hati. Ia sentiasa hidup dan berlegar-legar dalam kotak pemikiran. Tidak ada manusia yang boleh memenjarakan cita-cita yang besar.

175. Cuma ingatlah, dalam keasyikan membidik bintang di langit tinggi, jangan sesekali lupa rumput di bumi.

176. Ketiga, saatnya telah tiba untuk kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri memberikan kepimpinan. Bukan lagi sekadar menjadi ketua gerombolan yang hanya menurut.

177. Saya teringat pesan Sukarno pada bangsa Indonesia. Lebih baik jadi singa untuk satu hari daripada menjadi kucing seumur hidup.

178. Maka, pimpinlah bangsa ini. Pimpinlah parti ini dengan sebenar-benar kepimpinan. 

179. Akui kelemahan dan kekurangan yang ada. Cari dan beri pencerahan. Serlahkan kepimpinan anda semua pada kala negara berada dalam persimpangan kritikal seperti ini.

180. Tunjukkan kecerdasan baharu, pada kala UMNO sangat-sangat memerlukannya. 

181. Jadilah pemimpin yang mengemukakan kecerdasan pada bangsa dan memberikan jalan keluar pada segala masalah nasional.  Bukannya pemimpin yang keluar ke jalan dan menjadi pemaki hamun dan pencerca dangkal.

182. Jadilah pemimpin yang berkarya, bukan yang bersiulan sahaja.

183. Jadilah pemimpin untuk semua, bukan hanya untuk UMNO. 

184. Kerana negara ini adalah negara milik semua.  Bukan negara untuk satu orang. Bukan negara untuk satu golongan. Bukan negara untuk satu bangsa. 

Wahai Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO! 

185. Bersedialah untuk menempuh perjuangan yang sukar dan memberi khidmat pada watan dengan jujur dan sebenar-benarnya.

186. Tanamkan iltizam untuk memberikan yang terbaik kepada bangsa dan ibu pertiwi kita.

187. Semua ini, jika dilunaskan dengan amanah dan ikhlas, akan menjadi ibadah yang dipandang oleh Allah swt.

188. Sesungguhnya UMNO adalah sebuah parti untuk mereka yang bekerja keras. Dan kita mesti bekerja keras. 

189. Biar apa pun pandangan dan saranan orang lain, pada saya, pemulihan dan kebangkitan UMNO harus bermula dengan sayap-sayap parti. Kerana, jika sayap-sayap parti tidak kuat, mana mungkin kita terbang tinggi?

190. Marilah kita berikrar untuk berikhtiar dan bersabar. Kerana, ikrar tanpa ikhtiar, itu bohong. Ikhtiar tanpa sabar, itu kosong.

191. Insya-Allah, semoga semua usaha ini akan membuahkan kebaikan. Pada orang Melayu. Pada agama Islam. Dan sudah pastinya, pada Malaysia yang sangat istimewa ini. 

192. Saya akhiri ucapan ini dengan mengambil peringatan dari putera terbaik bangsa, Almarhum Sasterawan Negara, Usman Awang.

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Perhimpunan Agung Sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia 2018.
Terima kasih.