Ahad, 30 Mei 2010

Kesal UM jadi lokasi aibkan Dr. Mahathir!

Majlis Perundingan Melayu (MPM) kesal dengan tindakan pengurusan Universiti Malaya (UM) yang membenarkan kampus itu dijadikan lokasi penganjuran syarahan umum bagi mengaibkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Setiausahanya. Dr. Hasan Mad berkata, majlis itu yang pada asalnya bertujuan membincangkan buku bertajuk Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times karya Barry Wain telah dijadikan medan untuk menghentam Dr. Mahathir, UMNO dan orang Melayu.

''Nampaknya Naib Canselor (Datuk Dr. Ghauth Jasmon) bersikap liberal untuk membenarkan UM dijadikan platform bagi mengejek kepimpinan Melayu dengan berselindung di sebalik usaha-usaha bagi menggalakkan pemikiran terbuka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Forum yang diadakan di Dewan Syarahan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran universiti tertua di negara ini dianjurkan oleh Kluster Penyelidikan Sains Tingkah Laku dan Sosial (SBSRC) UM.

Dalam buku yang diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada April lalu untuk diedarkan di negara ini, Wain antara lain mendakwa Dr. Mahathir telah menyebabkan kerajaan kerugian sehingga RM100 bilion sepanjang era pentadbirannya.

Hasan turut menggesa kerajaan supaya menyiasat niat sebenar Wain menulis buku mengenai Dr. Mahathir.

''Wain sendiri mengaku ketika syarahan bahawa jika dia menulis buku mengenai Lee Kuan Yew (Menteri Mentor Singapura) seperti yang dibuatnya terhadap Dr. Mahathir, dia sudah pasti ditangkap pihak berkuasa negara itu," ujarnya.

Sementara itu, Ghauth yang dihubungi Mingguan Malaysia malam ini berkata, beliau perlu meneliti bantahan MPM itu terlebih sebelum memberikan komen lanjut.

Penang Wasabi