Isnin, 13 Ogos 2012

Dr Maszlee Malik : Dap bukan kafir harbi



Maszlee MalikMalaysiakiniOgos 12 2012
Saya ingin merujuk kepada kenyataan Abdullah Samaah yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia berkaitan haram menyokong DAP kerana mereka merupakan kafir harbi.
Istilah kafir harbi merupakan istilah fiqh yang membawa konotasi suasana zaman perang di antara wilayah Islam di zaman dahulu dengan negara musuh.
Kafir harbi adalah merujuk kepada negara musuh yang berperang dengan Muslim di mana darah mereka adalah halal ditumpahkan kerana ianya di dalam suasana perang, di mana kafir harbi itu sendiri berusaha membunuh umat Islam.
Kafir harbi adalah wajib diperangi di peringkat negara di atas dasar peperangan.
Di zaman ini, warga atau rakyat bukan Islam yang tinggal bersama umat Islam tidak dikira sebagai kafir harbi. Malah pengklafikasian harbi atau dhimmi yang digunakan oleh ulama klasik telah diperbaiki oleh ulama moden, memandangkan negara-negara moden mempunyai konsep kewargenegaraan yang memberikan hak dan tanggungjawab yang saksama di antara Muslim dan bukan Islam.
Pengkelasan Abdullah Sama’ah bahawa DAP adalah kafir Harbi adalah tidak tepat sama sekali, malah membahayakan. Beliau seolah-olah memberikan lampu hijau untuk umat Islam memerangi parti DAP dan membunuh ahli-ahli dan kepimpinannya.
Bahkan di dalam DAP terdapat juga di kalangan pemimpin dan juga ahli mereka yang Muslim. ‘Fatwa’ Abdullah yang direstui oleh Utusan itu juga memberikan konotasi bahawa umat Islam di Malaysia sekarang hidup dalam suasana peperangan dan permusuhan dengan rakyat bukan Islam.
‘Fatwa’ liar dan membahayakan seperti ini perlu dibendung. Majlis Fatwa Kebangsaan perlu berani menegur beliau dan juga Utusan kerana mencetuskan provokasi yang berkemungkinan akan membuka jalan bagi para ekstrimis bangsa dan golongan subversif untuk menumpahkan darah ahli-ahli DAP.
Saya menggesa agar pihak keselamatan segera menahan Abdullah dan membuat siasatan terhadap kenyataannya yang berbau ekstrimisme dan boleh menyemarakkan api perkauman sekaligus menggerakkan para penggganas di atas nama Islam untuk bangkit melancarkan jihad membunuh ahli-ahli DAP.
Sudah tentu kita tidak mahukan pertumpahan darah berlaku di antara kaum di Malaysia. Tindakan perlu diambil ke atas Abdullah.
Pihak media, terutamanya Utusan Malaysia sepatutnya lebih peka dengan laporan mereka. Mereka hendaklah tidak menjadi agen kekacauan dan ketegangan kaum, sebaliknya sepatutnya menjadi agen keharmonian dan perpaduan kaum.
Mengeluarkan tajuk berita utama di muka hadapan seperti yang telah berlaku hanya akan membuka ruang kepada pelampau perkauman untuk menghalalkan darah ahli-ahli DAP di atas nama jihad. Ini perlu dielakkan demi menjaga kesejahteraan negara Malaysia yang kita cintai bersama.
——————————————————————————–
Dr Maszlee Malik merupakan seorang pensyarah di UIAM.

Pensyarah UIAM yang pernah menyanggah tindakan Dr Hassan Ali keluar Pas dan menempelak Hasan Ali agar berdakwah di Hard  Rock Cafe' sekali lagi mendedahkan belang dan mazhab beliau dalam Malaysiakini.

Semenjak kemunculan beliau sebagai moderator dalam debat di Karangkraf namanya semakin dikenali dan semakin disayangi oleh Pas, Dap,  Pkr dan sehingga beliau mendapat tempat dihati Malaysiakini.

Walaupun berijazah Phd , namun kewarasan dan kemasinan beliau dalam dunia politik nampaknya masih tipis. beliau mudah terpengaruh dengan ikhwan muslim dan golongan pembangkang.

Mungkin kerana usia masih muda dan kurang memahami sejarah politik tanah air maka pemikirannya samalah dengan anak-anak muda yang memuji Anwar Ibrahim sebagai menteri kewangan terbaik dunia dan Nik Aziz adalah menteri besar terbaik dalam Malaysia.

Apa pun Maszlee perlu lebih masa untuk belajar dan mengkaji sejarah dan mendengar pendapat pelbagai pihak untuk menjadikan beliau lebih matang dalam berhujah dan matang dalam pemikiran. Apa yang ada dalam minda beliau adalah apa yang dipelajari dari barat. kalau biru yang masuk, biru lah yang dicakapnya. kalau kelabu masuk , kelabu lah yang diutarakannya.

Maszlee masih lagi dijajah mindanya dan bersikap paronoid. Dont worry doktor, anda perlu lebih masa untuk memahami bahawa Dap adalah kafir harbi yang perlu ditolak oleh Islam di Malaysia. Kalau doktor seorang Syiah mungkin saudara akan bersama mereka yang menentang kerajaan hari ini.