Ahad, 1 Disember 2013

Komplot menjatuhkan Dato Hamidah Osman gagal



Bekas Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Hamidah Osman kembali mengetuai barisan kepimpinan Wanita Umno bahagian Gopeng pada sesi pemilihan semula jawatankuasa sayap parti itu, semalam.

Hamidah memperoleh 173 undi mengatasi penyandang, Juliliyana Mohd Junid (131) dalam saingan satu lawan satu setelah seorang lagi calon, Wan Razita Wan Razak mengambil keputusan menarik diri.

Mesyuarat yang diadakan semula atas arahan Jawatankuasa Pengurusan Umno itu dihadiri 314 daripada 354 perwakilan yang layak mengundi.

Arahan itu sebelum ini mendapat bantahan daripada Jawatankuasa Umno Gopeng kerana mendakwa tiada alasan kukuh diberi di sebalik arahan pemilihan semula sayap parti Umno terbabit.

Pada pemilihan 12 Oktober lalu, Juliliyana menang dengan majoriti 20 undi mengetepikan penyandang, Hamidah yang mendapat 143 undi, sementara Wan Razita (20).

Ketika ditemui, Hamidah melahirkan rasa syukur kerana perjuangannya dalam menuntut pemilihan secara telus mendapat sokongan perwakilan.

Beliau berikrar, mahu memastikan perpaduan dalam kalangan ahli pergerakan berkenaan dapat dipupuk kembali.

“Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan yang jelas mandat sudah diberikan, saya akan pegang amanah ini dengan perkara pertama untuk merapatkan saf dengan menjalankan kerjasama lebih erat,” katanya.

Mengulas bantahan yang dikemukakannya kepada Umno Pusat, Hamidah yang juga Pengerusi Tekun berkata, pihaknya mendapati banyak perkara yang mencurigakan dan tidak kena sepanjang pemilihan lalu dijalankan.

Menurutnya, perkara itu menyebabkan satu bantahan dibuat melalui saluran parti iaitu kepada Jawatankuasa Khas Bantahan Umno yang dipengerusikan oleh Tan Sri Azmi Khalid.

“Yang dituntut adalah keadilan, saya berharap dengan keputusan hari ini (semalam), pucuk pimpinan dapat terima dengan hati terbuka, ia dibuat selepas meneliti kes saya, ia tidak buat mengikut sentimen dan emosi.

“Dalam ‘hearing’ kes, saya bentangkan kes saya dan mereka (pihak Juliliyana) bentangkan kes mereka. Saya bentang kes dengan penuh bukti,” katanya.

Visit website