Rabu, 16 April 2014

Laksana Hudud… Jangan Lagi Ada Mainan Drama Politik

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah menganggap dolak-dalik antara kepimpinan dalam pakatan pembangkang berkaitan isu hudud adalah satu lagi mainan drama dalam politik mereka memandangkan sebelum ini pun sudah banyak sandiwara yang berlangsung antara Pas, PKR dan DAP sendiri.

Katanya, walaupun dalam Pas itu sendiri memang wujud mereka yang benar-benar serius untuk melaksanakan hukum hudud dalam pentadbiran namun ada juga sebahagian di kalangan pemimpin tertinggi parti itu sendiri yang bermain tarik tali.



“Politik Pas mempunyai dua kelompok iaitu antara mereka yang benar-benar berpegang kepada pelaksanaan sebuah negara Islam dengan kelompok kedua yang lebih bertuankan parti sekutu mereka iaitu PKR dan DAP sendiri,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau berkata demikian dalam mengulas berkaitan perancangan Kerajaan Pas Kelantan yang akan tetap membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu biarpun menerima tentangan DAP dan PKR dalam pakatan pembangkang.

Baru-baru ini DAP dan PKR menerusi Ketua Publisitinya, Tony Pua dan Naib Presiden, N. Surendran memberi peringatan keras kepada Pas bahawa hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang dan cubaan membentang rang undang-undang itu akan ditentang.

“Soal ketidaksepakatan ini bukan perkara baru dalam pembangkang kerana sememangnya antara Pas, DAP dan PKR pun mempunyai idealogi yang berbeza, masing-masing mempunyai matlamat yang berlainan namun demi kuasa politik mereka membentuk satu kesatuan.”

Tegas beliau, biarpun kepimpinan Pas di Kelantan berpendirian untuk melaksanakan hudud namun perlu difahami bahawa Pas adalah parti politik dan bukannya membawa pengertian menyokong Pas adalah menyokong Islam apatah lagi apabila Pas memutuskan untuk bersekongkol dengan DAP  yang terang-terangan menolak Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Persoalannya mampukah Pas terus teguh pada pendirian mereka untuk melaksanakan hudud sedangkan dalam buku jingga, manifesto pakatan pembangkang malah dalam muktamar parti terbabit pun mereka langsung tidak menyebut berkaitan hudud terbabit?

“Jika atas kertas yang menjadi pegangan pakatan pembangkang pun Pas gagal untuk letakkan hudud sebagai keutamaan dalam perbincangan apa lagi untuk dilaksanakan. Buku jingga yang dianggap pelan tindakan pentadbiran mereka pun amat ketara bahawa hudud ditenggelamkan secara langsung.”

Ujarnya, dalam pakatan pembangkang sendiri dapat dilihat bahawa Pas bukanlah parti dominan yang berani untuk menyatakan pendiriannya malah dalam banyak insiden Pas terpaksa bersikap alah dengan sekutu Dap dan PKR sendiri.

“Apa-apa sahaja perancangan yang dibuat pun, pada akhirnya Pas terpaksa mendengar telunjuk DAP dan Ketua Umum PKR iaitu Anwar Ibrahim.”

Dalam hal ini beliau menyorot insiden bagaimana Dewan Pemuda Pas mendesak Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk memohon maaf ekoran kenyataannya meminta pendaftaran parti politik dan badan profesional berdasarkan kaum dan agama termasuk Pas, dibatalkan dan sekiranya gagal tindakan susulan akan dibuat namun sehingga ke hari ini hal tersebut didiamkan begitu sahaja.

Dalam perkembangan yang lain pula, bekas calon PKR DUN Bukit Besi, Mohd. Shamsul Mat Amin telah menang saman fitnah bernilai RM2 juta yang difailkan terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Jika benar mereka satu pakatan bagaimana mungkin semua perkara tersebut boleh berlaku?” soalnya.

Bidas beliau lagi, begitu juga dalam soal hudud yang ternyata bahawa Pas menjadikannya sebagai bahan populariti untuk mainkan sentimen rakyat dalam berpolitik dan dalam masa yang sama, Pas sendiri dipermainkan oleh sekutunya.

“Kalau dilihat, soal hudud ini biasanya timbul ikut keadaan misalnya apabila menjelang pilihan raya yang mana Pas akan jadikan modal dalam kempen dan meraih sokongan pengundi Melayu, lantas hari ini apabila Pas semakin tenggelam lantaran populariti PKR dan DAP yang lebih menonjol maka ia kembali diperkatakan.”

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat keseluruhan terutamanya orang Melayu agar tidak terlalu taksub dan mudah terpedaya dengan tindakan segelintir pihak yang menjadikan agama sebagai satu permainan politik sebaliknya meminta semua bersatu padu dalam berdepan dengan apa-apa sahaja halangan demi agama Islam yang menjadi agama kebangsaan.