Khamis, 29 Mei 2008

Roboh penghadang jalan - MB

Bila Selangor dikuasai oleh DAP.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mahu penghadang jalan keluar-masuk Bandar Mahkota Cheras dirobohkan walaupun Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memberi kelulusan untuk membina tembok tersebut.

Ini kerana kerajaan negeri berpendapat, isu itu adalah perbalahan antara dua pihak iaitu pihak konsesi Lebuh Raya Cheras-Kajang, Grand Saga Sdn. Bhd. (Grand Saga) dan pemaju kawasan tersebut, Narajaya Sdn. Bhd. (Narajaya).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan, kedua-dua syarikat terbabit sudah membawa pertikaian itu ke Mahkamah Tinggi untuk menentukan atau memutuskan sebarang tindakan selanjutnya.

Bagaimanapun tegas beliau lagi, kerajaan negeri memberi jaminan akan membuka semula jalan masuk ke kawasan perumahan Bandar Mahkota Cheras apabila mendapat kebenaran Kementerian Kerja Raya.

"Kita sudah menghantar surat kepada Kementerian Kerja Raya semalam (kelmarin) dan amat berharap pihak kementerian terbabit akan dapat membuat keputusan membuka semula jalan ini.

"Tetapi kita sudah membuat keputusan supaya penghadang jalan berkenaan dialih supaya penduduk boleh guna jalan ini," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan suasana kembali tegang di kawasan tersebut apabila penghadang konkrit dibina semula sehingga beberapa penduduk turut tercedera.

Kekecohan pertama yang berlaku di persimpangan tersebut tercetus pada 21 April lalu apabila penduduk bertindak merobohkan tembok konkrit yang dibina Grand Saga.

Ia berlarutan selama beberapa hari dan yang terakhir pada 8 Mei lalu apabila Grand Saga yang membina tembok tersebut buat kali kedua turut dirobohkan lagi.

Ekoran itu pada 12 Mei lalu, satu perbincangan empat penjuru antara Grand Saga, kerajaan negeri, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan pemaju bandar Bukit Mahkota telah diadakan, namun gagal.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid menjelaskan, jika Narajaya menang dalam kes tersebut, maka laluan itu dibuka, tetapi sekiranya kalah, Narajaya perlu membayar pampasan kepada Grand Saga dan jalan berkenaan tetap akan dibuka.

Tegas beliau, pertikaian antara kedua-dua pihak tidak ada mengena langsung dengan penduduk Bandar Mahkota Cheras sehingga berlaku kekecohan dan pertelingkahan yang mengancam keselamatan di kawasan itu.

"Pendirian kerajaan negeri ialah jalan itu mesti dibuka, tetapi ia juga perlu mendapat kebenaran Pusat kerana ia turut membabitkan jalan persekutuan.

"Menteri Kerja Raya (Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed) yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dan cara tertib ialah meminta menteri membuka jalan ini," katanya yang juga meminta penduduk bersabar.