Mengapakah GuruBashid Menolak PAS?
Apa yang PAS benci terhadap UMNO, sekarang benar-benar terjadi dalam PAS sendiri. Apakah yang PAS tidak sebut tentang UMNO yang tidak berlaku dalam PAS sekarang?
Mereka lantang menyebut tentang kita, rupa-rupanya mereka sedang menyebut keburukan-keburukan mereka sendiri. Lebih lantang mereka bercakap tentang kita, lebih terbukalah ‘aib mereka.
Beginilah cara-cara mereka menutup kelemahan demi kelemahan yang berlaku dalam parti mereka, iaitu dengan bersuara keras ke arah kita. Mereka hanya ada kelantangan itu, tetapi tiada satu pun kebaikan yang mereka dapat tawarkan kepada kita.
Sebaliknya begitu ramai yang menegur UMNO. Sepatutnya UMNO bersyukur. Bukan sahaja ahli UMNO, tetapi PAS pun dari dahulu selalu menegur UMNO. Sama ada teguran itu betul atau salah, memang UMNO sentiasa ditegur. Cukup ramai. Disebabkan UMNO sudah lama ditegur iaitu sejak kewujudannya lagi, maka UMNO akur untuk melakukan perubahan di mana-mana yang perlu.
Tetapi sebaliknya tidak ada sesiapa yang menegur PAS sebab pemimpin PAS sudah menganggap diri mereka betul dan PAS sendiri sebuah parti untuk ahli-ahli syurga. Disebabkan itu, ketika UMNO terus melakukan perubahan, ketika inilah PAS begitu aktif melakukan kesilapan demi kesilapan, kesalahan demi kesalahan.
PAS inginkan sebuah negara Islam. Itu dahululah. Tetapi saya tidak nampak PAS memimpin dan mentarbiah yang lain-lainnya dalam Pakatan Pembangkang. Sebaliknya PAS dipimpin oleh orang lain termasuk ulamaknya. Bukan sekadar dipimpin tetapi dipermain-mainkan dan diperkudakan.
PAS ikut sahaja apa yang lain-lain katakan. Tidak ada kebijaksanaan daripada PAS sendiri. Mengapakah sampai begini jadinya? Adakah pemimpin PAS hanya layak mengurus kitab fiqh, berbanding sebuah negeri? Adakah PAS ketiadaan pemimpin yang berkeupayaaan mengurus tadbir duniawi sehingga terpaksa diserahkan kepada orang lain?
PAS hanya ada ceramah. Inilah yang berlaku sejak dahulu lagi. Tetapi adakah ceramah ini sahaja yang tertulis sejak azali? Sebutkan kepada saya apakah perkara lain yang PAS buat selain ceramah.
Dari segi ceramah memang anda punya kelebihan. Anda memang berkeupayaan menguasai beberapa kaki pentas dan sebatang mikrofon. UMNO yang berusia 63 tahun pun belum ada kepakaran setanding anda dalam perkara yang satu ini.
Tetapi rakyat tidak mahu ceramah itu. Rakyat mahu lihat apa yang anda buat untuk mengekalkan kesejahteraan dan keamanan yang sudah lama dikecapi di negara ini.
Ternyata sejak anda bekuasa ini tidak berlaku. Semakin banyak negeri yang anda kuasai, semakin orang Islam terhimpit dan diburu rasa tidak selamat. Semakin banyak fatwa yang keliru daripada mulut ulamak anda. Semakin masyarakat Melayu berasa tertekan. Semakin kuat anda menanam bibit-bibit kebencian terhadap saudara-saudara Melayu anda yang lain.
Wahai saudara saya dalam PAS, anda sedang dibawa jauh dan semakin hanyut dalam bahtera yang orang lain mengemudikannya. Sedarlah dan bangkitlah sebelum terlambat.
Hakcipta Abd Bashid Harun