Ahad, 22 November 2009

MANA JANJI AIR PERCUMA DI SELANGOR?

Apa nak jadi 'air percuma'?
Shahrul Haziq Abd Rahman Jul 31, 08 9:33pm
Suka atau tidak suka, keputusan pilihanraya umum Mac lalu telah memutuskan PKR menerajui kerajaan Selangor. Tawarannya yang menyebabkan pengundi Selangor tertarik untuk mengundi PKR dan rakan gabungannya ialah bekalan air percuma.

Selepas pilihanraya, pelbagai cerita kedengaran di media mengenai janji air percuma. Kedengaran di Parlimen, air percuma tidak harus diberikan kerana ia sejenis rasuah kepada rakyat dan mereka akan lebih membazir - ini satu tuduhan gila!

Kalau air percuma merupakan rasuah, bagaimana pula dengan kenaikan minyak mendadak? Jika janji air percuma dikatakan menggalakkan rakyat membazir, tuduhan itu liar semata-mata.

Rakyat sudah matang dan bijak. Bil air saya dan jiran-jiran tidaklah naik mendadak, malah ada yang turun bil airnya walaupun kini ada 20 meter padu air percuma.

Dari Mac hingga Jun baru-baru ini, barulah rakyat Selangor mendapat air percuma seperti dijanjikan - itu baru mampu ditunaikan 20 meter padu dahulu selepas cerita panjang antara Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan kerajaan negeri serta Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Syabas yang dimiliki oleh Puncak Niaga menyatakan mereka mempunyai hak kerana perjanjian konsesi. Mereka tidak terlibat dengan politik, perniagaan mereka bersifatkan keuntungan.

Jika mahu air percuma dibekalkan, maka mesti ada pihak yang perlu membayar bil air percuma itu. Kerajaan Selangor cuba mengatakan bahawa pembayaran bil air percuma itu perlu ditangguhkan sehingga proses pengambilalihan Syabas selesai.

Namun Puncak Niaga berkeras dan mujur KDEB berjaya menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan menjadi "pembayar" kepada bil air "20 meter padu percuma" ke arah menunaikan janji pilihanraya umum yang dibuat PKR.

Kerana itu, dalam tiap bil Syabas yang diperolehi mulai Jun 2008 tertera "dibayar oleh KDEB".

Maknanya proses pemberian air percuma ini masih belum selesai.

KDEB walaupun anak syarikat kerajaan negeri tetapi kini KDEB sedang membayar jutaan ringgit setiap bulan kepada Syabas.

Tetapi bagi pengguna biasa, mereka tidak peduli. Sekurang- kurangnya 20 meter padu air diterima percuma.

Namun beberapa minggu lepas, ramai pengguna air di Selangor mula gelisah semula apabila Syabas atau Puncak Niaga mengumumkan memohon membenarkan Syabas menaikan tarif air seperti yang terdapat dalam perjanjian konsesi.

Kegusaran saya selaku pengguna ialah sejauh mana serius kerajaan Selangor membekalkan air percuma kepada rakyat seperti yang dijanjikan?

Selepas bergelut teruk dari Mac hingga Jun dalam isu air percuma dan selepas KDEB menjadi "pembayar", seolah-olah kerajaan negeri senyap daripada proses mengambilalih atau penstrukturan semula air di Selangor.

Seharusnya tumpuan terhadap isu air ini tidak terhenti dengan pemberian air percuma sahaja - itupun sebenarnya tidak selesai kerana kerajaan Selangor cuma bernasib baik kerana punya KDEB yang sanggup menjadi pembayar.

Malangnya rakyat biasa melihat, selepas berjaya membekalkan 20 meter padu air percuma, kerajaan negeri tidak lagi menumpukan proses penstrukturan air seperti yang diperkatakan.

Jangan nanti apabila kerajaan pusat meluluskan kenaikan tarif air, barulah kerajaan negeri "termengah-mengah" berperang semula dan menjadikan isu air kembali sensasi di media.

Kami selaku rakyat biasa cuma mahukan nasib kami terbela oleh kerajaan yang kami pilih. Jangan nanti dapat 20 meter padu air percuma tetapi kerana pentadbiran negeri yang leka dan lambat, kami terpaksa membayar lebih tinggi kerana kenaikan tarif air.