Ahad, 4 Julai 2010

Karpal lawan Nik Aziz




MINGGUAN: Bagaimana Prof. melihat pendirian Karpal Singh dalam isu negara Islam?
AZIZ BARI: Saya melihat
Karpal Singh dan Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat berbalah dari sudut yang berlainan. Karpal macam biasa bercakap tentang soal negara Islam, Perlembagaan, negara sekular dan sebagainya. Manakala Nik Aziz pula bercakap tentang negara Islam. Jelas mereka bercakap dua perkara berbeza. Seorang bercakap mengenai agama sebagai satu sistem hidup dan seorang lagi bercakap perkara yang bertentangan. Begitu juga dalam soal Datuk Ibrahim Ali dengan Khairy Jamaluddin. Khairi tidak bersetuju dengan perjuangan Perkasa manakala bagi Ibrahim itu merupakan perjuangan dan survival Melayu. Oleh itu kita tidak perlu terlalu terkejut tentang pertelingkahan antara Karpal dan Nik Aziz apatah lagi mereka bercakap tentang perkara atau dasar bersama yang tidak ada dalam pakatan pembangkang.
Dari sudut mana Karpal mengatakan pelaksanaan pentadbiran Islam di Kelantan sebagai salah?
AZIZ BARI: Saya berpandangan beliau tidak menyebut perkara itu dengan jelas, cumanya dia menjawab soalan wartawan. Maka sebagai ahli politik dia perlu konsisten dan konsistensi itu makin lama makin janggal. Ini kerana orang DAP sendiri sudah tidak membangkitkan perkara itu malah ia semakin kurang disebut dalam pakatan pembangkang. Namun sehingga kini Karpal masih tidak berubah pendiriannya. Kalau kita lihat MCA dan Bernard Dompok juga tidak setuju dengan negara Islam dan ini pasti dilihat tidak selari dengan kerajaan. Kalau ada yang tidak setuju bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dan mendakwa negara ini sebagai sekular ia umpama membohongi diri sendiri. Jika dilihat secara jelas Perlembagaan dalam Perkara 3 (1) sudah tercatat, agama bagi Persekutuan adalah Islam.
Jadi buat apa kita hendak tafsir banyak-banyak. Malah saya tidak nampak kenapa kita perlu rujuk kepada Suruhanjaya Reid dan lain-lain. Kita hanya merujuk jika sesuatu perkara itu tidak jelas namun perkara tentang negara Islam ini sudah jelas termaktub, maka cukuplah sandiwara ini. Kalau kita lihat lebih jauh siapa sebenarnya yang membuat draf Perlembagaan ini, Suruhanjaya Reid. Tapi suruhanjaya itu tidak ada menyebut apa-apa tentang kedudukan Islam. Malahan mereka tidak ada memberikan apa-apa cadangan dan hanya berdiam diri sahaja. Inilah yang menjadi punca kerana ramai tidak tahu tentang perkara ini. Karpal macam biasa akan menyebut rujukan kes Che Omar Che Soh dalam penghakiman Tun Salleh Abas yang sebenarnya satu kes yang silap. Cuma malangnya sampai sekarang mahkamah tertinggi, Mahkamah Persekutuan tidak berani buat pembetulan.
Perkara ini dibawa ke hadapan bahawa penghakiman Tun Salleh adalah tidak betul. Ini kerana dia merujuk kepada pencipta Perlembagaan yang sebenarnya tidak ada. Kalau kita buka Suruhanjaya Reid, ia menjelaskan bahawa mereka tidak ada sikap atau membuat apa-apa syor mengenai Islam. Hanya ditinggalkan kosong. Jadi di mana datangnya kenyataan bahawa penggubal asal Perlembagaan mahukan dikotomi dan sekular. Walaupun Tun Salleh membuat keputusan itu di Mahkamah Agung tetapi kerana ia keputusan yang tidak betul maka ia tidak boleh diikut dan diikat. Tetapi perkara inilah yang masih dipegang oleh Karpal. Ini yang saya pelik kerana sebagai seorang peguam dia dan beberapa yang lain tidak mahu menukar kerana penghakiman Tun Salleh. Bagi saya dalam konteks Malaysia mereka perlu mengkaji dahulu tentang Islam. Memanglah Nik Aziz begitu mempertahankan Islam sebagai agama yang cantik tetapi orang bukan Islam tidak melihat begitu. Mereka melihat imej orang Islam yang pemalas, mat rempit, buang anak, rasuah, nepotisme dan sebagainya. Itu yang mereka lihat kepada orang Islam. Secara normalnya manusia bukan melihat kepada kitab seperti al-Quran, Injil dan sebagainya tetapi kepada pengamalnya. Dalam hal Karpal, dia tidak mengkaji apa itu Islam. Mungkin dia melihat itu sebagai peluang politik atau sesuatu yang susah.
Boleh Prof. terangkan tentang kes rujukan Che Omar Che Soh?