Selasa, 6 Julai 2010

Premier International University of Perak Diteruskan

 
TAIPING: 6 Julai 2010- YAB Dato Seri Dr Zamry Abdul Kadir memaklumkan bahawa Perak akan menjadi sebuah negeri yang berteraskan ilmu pengetahuan "Hub Pendidikan" dan selaras juga dengan dasar negeri untuk melahirkan ramai modal insan menjelang 2020.

Perak telah merancang mengadakan sebanyak mungkin institusi pendidikan yang berkualiti. Dalam konteks ini , Perak telah mendapat respon yang baik dengan pengumuman beberapa institusi dalam dan luar negara untuk menubuhkan kampus mereka di Perak.

"Antaranya ialah Premier International University of Perak yang kampusnya akan dibangunkan di kawasan Gua Tempurung yang bernilai RM 450 juta dan sebuah lagi universiti yang akan saya umumkan dan rundingan di peringkat terakhir kemungkinan besar kampus akan dibina lebuhraya Ipoh - Lumut, mungkin berhampiran Tronoh."

"Alliance College of Medical Sciences (ACMS)  juga boleh mempertimbangkan untuk membangunkan kampus tetap mereka  di Perak melalui perancangan Koridor Utara. Ini adalah beberapa perancangan penubuhan kampus universiti dan kolej yang boleh kita wujudkan melalui pembangunan oleh pihak swasta."

"Saya juga ingin mengumumkan bahawa UiTM telah pun bersetuju untuk mewujudkan kampus ketiga di Perak dan merupakan kampus di luar Shah Alam yang terbesar di Malaysia. Kita menjangkakan bilangan pelajar akan bertambah dan ini selaras dengan dasar pembangunan negeri Perak."

"Kampusnya akan dibina di Bagan Datuk dan urusan pengambilan tanahnya sedang diuruskan oleh Dato Seri Dr Zahid Hamidi Ahli Parlimen kawasan tersebut"

"Kita akan letakkan institusi ini tidak tertumpu kepada satu kawasan sahaja kerana ia juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbukan ekonomi di negeri Perak. Semua ini adalah termasuk dalam blueprint Perak Aman Jaya."