Mulai 1 Ogos 2010, Semua guru Gred DG 41 sehingga Gred DG 48 dibenar melibatkan diri dalam arena politik merupakan satu penghargaan kerajaan kepada kaum guru.
Ia mengulang ‘sejarah zaman‘ di mana guru-guru memainkan peranan utama dalam usaha memerdekakan tanah air dari penjajahan British. Guru-guru seperti Allahyarham Tun Ghaffar merupakan sebahagian daripada guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim.
Begitu jugalah dengan peranan yang dimainkan oleh sebahagian guru-guru wanita lepasan Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka seperti Ibu Zain, Tun Fatimah Hashim dan ramai lagi.
Di peringkat Dewan Undangan Negeri juga ramai bekas-bekas wakil rakyat adalah bekas-bekas guru, guru besar, guru kemas dan juga ustaz/ ustazah. Di peringkat kampung peneraju kepimpinan masyarakat terpikul secara otomatik di bahu mereka.
Jika dahulu segala urusan surat menyurat, orang kampung akan ke rumah guru untuk meminta jasa baik mereka menaip surat. Ini kerana setiap guru wajib memiliki sebuah mesin taip.
Guru juga memiliki kereta seperti Austin Cambridge A55, Moris Minor atau pun lain-lain model seangkatan zamannya. Kereta guru akan menjadi teksi kepada orang kampung jika berlaku sakit demam, kelahiran atau kematian.
Pada waktu itu guru adalah sumber rujukan ia dibaratkan seperti kamus atau pun ensiklopedia berjalan. Guru penggerak kemajuan anak bangsa, guru adalah pemimpin, guru adalah nadi kemajuan perkembangan politik peringkat akar umbi.
Bagaimanapun usaha murni guru-guru telah disekat, hanya yang diizinkan bergiat cergas dalam politik ialah guru-guru bukan siswazah, itu pun perlu mendapat keizinan dan pelepasan ketua jabatan jika ingin bergiat cergas dalam politik.
Sejak larangan dikuatkuasakan, maka penyertaan guru dalam politik mulai terhakis sedikit demi sedikit. Bagaimana pun ramai juga guru-guru Gred 41 dan 44 yang melanggar arahan dan melibatkan diri secara total dan ramai yang memegang jawatan dalam parti di peringkat bahagian.
Ramai juga yang main sorok-sorok dan tak kurang juga yang berani menonjolkan diri. Belang mereka dapat diperhatikan menjelangnya Pilihan Raya Umum dan juga Pilihan Raya Kecil.
Hari ini dengan penarikan balik larangan tersebut maka dalam pemilihan Umno tahun hadapan diharapkan akan ada guru-guru DG 41 , DG 44 ataupun DG 48 akan menjadi Ketua Bahagian.
Kami di Perak Today akan melihat perkembangan ini dengan penuh minat. Siapakah guru DG 41-48 yang bakal mencipta sejarah sebagai Ketua Bahagian yang pertama abad ini
Di Perak masih terdapat bekas-bekas guru yang masih kekal menjadi Ketua Bahgaian, antaranya yang kami kenal ialah Dato Hj Rosli Hussin, Ketua Umno Bukit Gantang tetapi beliau bukan dari DG 41.
Lain-lain ramai yang sudah bersara daripada politik selepas tidak menjadi Ketua Bahagian atau pun tidak terpilih menjadi wakil rakyat.
Penarikan balik larangan ini akan membolehkan mereka yang berminat dan cenderung dapat politik dapat memegang jawatan disemua peringkat dan ia boleh lah diibaratkan seperti perumpamaan ‘sireh pulang ke gagang.‘