Ahad, 29 Ogos 2010

Setinggan dapat surat hak milik tanah di Mukim Hulu Kinta

Sambutan Hari Raya tahun ini pastinya lebih meriah dan bermakna buat Abdul Aziz Abdullah sekeluarga apabila menerima hakmilik kekal Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Ulu Chemor, sekaligus mengakhiri penantian mereka selama lebih 30 tahun.

Pesara tentera berusia 56 tahun itu adalah antara 60 penerima hakmilik RPT Ulu Chemor dan majlis penyerahan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Dewan Serbaguna, SUK hari ini.

Selain RPT Ulu Chemor, 143 penerima lagi mendapat hakmilik RPT Klebang, menjadikan jumlah keseluruhan 203 penerima bagi Daerah Kinta.

“Sambutan Hari Raya tahun ini pastinya lebih bermakna kerana saya mengemukakan permohonan sejak 1980an lagi untuk mendapat status hakmilik sah.

“Kesungguhan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah setinggan amat dihargai dan saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu merealisasikan impian kami selepas menanti lebih 30 tahun,” katanya.

Warga emas, Mazenah Abdul Aziz, 60, berkata tanpa usaha dan bantuan yang dilakukan oleh wakil rakyat, hasratnya untuk mendapat hakmilik mungkin tidak akan tercapai.

“Saya berterima kasih kepada Adun Hulu Kinta, Datuk Rusnah Kasim di atas usahanya membawa masalah setinggan Ulu Chemor ke pengetahuan kerajaan negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta.

“Selepas menerima hakmilik ini, saya berasa lega sekali kerana kami sekeluarga tidak perlu lagi risau mengenai status tanah yang diduduki sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Perasaan gembira turut dikongsi pekerja kilang kain, S Anamah, 56, yang menanti lebih 20 tahun untuk mendapat hakmilik sah di RPT Klebang Tambahan.

“Namun, saya agak terkilan kerana kegembiraan ini tidak dapat dikongsi bersama suami yang meninggal dunia tahun lalu,” kata ibu tiga anak itu.

Jelasnya, melalui pelbagai langkah proaktif yang ambil kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah setinggan, matlamat setinggan sifar menjelang 2012 pasti dapat dicapai dalam masa yang ditetapkan.

Penantian Chan Yoon Kum, selama hampir lima dekad, akhirnya membuahkan hasil apabila menerima hakmilik kekal di RPT Klebang Tambahan daripada kerajaan negeri.

“Saya sekeluarga ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan Pejabat Tanah dan Daerah Kinta di atas usaha yang dilakukan bagi mengatasi masalah setinggan di Jelapang.

“Selepas 50 tahun menanti, kami sekeluarga kini dapat tidur dengan lena tanpa perlu risau lagi mengenai status tanah yang didiami,” katanya.