KOTA KINABALU 29 Ogos - Sejumlah 66,000 daripada 315,473 ahli Pergerakan Puteri UMNO belum berdaftar sebagai pemilih, kata ketuanya Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin hari ini.
Beliau berkata, dengan penubuhan Bilik Gerakan Pilihanan Raya di setiap negeri, Puteri UMNO dapat mengenal pasti dan mengeluarkan peringatan kepada ahlinya yang mencapai umur 21 tahun untuk berdaftar sebagai pemilih.
Rosnah berkata, kira-kira 70 peratus golongan belia di negara ini masih belum menentukan parti pilihan untuk menerajui kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.
Oleh itu, setiap negeri perlu merangka strategi sesuai dengan minat dan keperluan belia setempat untuk menarik golongan itu menyertai pergerakan itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Gerakan Pilihanraya Puteri UMNO Sabah di sini.
"Setiap negeri mempunyai keunikan tersendiri. Jadi program yang diadakan perlu bersesuaian dengan belia di sesuatu negeri,” katanya. - Bernama