Isnin, 9 Ogos 2010

Guan Eng Tokok Tambah -Dr Chua

KOTA KINABALU, 8 Ogos – Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng diingatkan supaya tidak mereka-reka cerita kononnya pemimpin MCA memperkecilkan cendekiawan Islam dan sumbangan mereka kepada pembangunan tamadun ilmu ketika menyampaikan ceramah pada di Kedah baru-baru ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menegaskan, perkara tersebut tidak pernah berlaku tetapi intipati utama ucapan beliau ditokok tambah oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat khususnya umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan taktik kotor Guan Eng itu.
“Ketika merasmikan Konvensyen MCA Kedah, saya sama sekali tidak menyentuh atau memperkecilkan sumbangan tamadun Islam dan cendekiawan Islam terhadap pembangunan ilmu termasuk dalam sains dan matematik.
“Apa yang saya cakap hanyalah berkisar kepada fakta mengenai nasib 57 negara di dunia yang majoriti penduduknya beragama Islam yang dipetik daripada buku tulisan Syed Akbar Ali bertajuk Malaysia And The Club of Doom,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen MCA Sabah di sini hari ini.
Hadir sama Timbalannya merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua MCA Sabah, Datuk Edward Khoo.
Soi Lek berkata, dengan penjelasan itu, beliau berharap pemimpin Dap dan Pas tidak memutarbelitkan fakta ucapan yang dibuat berdasarkan buku tulisan Syed Akbar Ali itu.
Katanya, intipati daripada buku berkenaan digunakan bagi menyedarkan masyarakat Cina padah yang bakal diterima jika terus menyokong Pas yang diketahui lebih mengutamakan pembangunan agama berbanding sosioekonomi rakyat.
Beliau menambah, antara lain penulis buku itu menyebut, oleh kerana 57 negara berkenaan mengabaikan pembangunan sosioekonomi rakyat, maka mereka hanya menyumbang lima peratus kepada Keluaran Kasar Negara (KDNK) dunia, walaupun memiliki 1.4 bilion penduduk atau 20 peratus populasi dunia.
“Di negara berkenaan tahap pendidikan juga rendah apabila 800 juta penduduk buta huruf dan kebanyakannya wanita, kadar pengangguran juga tinggi dan kemiskinan di mana-mana.
“Itu sahaja yang saya sentuh, bukan menyentuh pencapaian tamadun Islam lalu seperti dikatakan Guan Eng,” katanya.
Sementara itu, Soi Lek berkata, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) negeri untuk mempertimbangkan kerusi tambahan kepada parti itu di negeri ini.
Katanya, MCA Sabah layak menerima kerusi tambahan kerana berjaya menambahkan ahli sehingga 20,000 di semua 25 bahagian di negeri ini.
Beliau berkata, keadaan itu mencerminkan hasrat masyarakat Cina di negeri ini untuk diwakili parti yang berpangkalan di Semenanjung, yang disifatkan mereka memiliki kelebihan menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan Kerajaan Pusat.


Telahan Presiden MCA Kurang Tepat -Abdullah

KEPALA BATAS, 8 Ogos – Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, polisi serta pendirian UMNO dalam menegakkan isu-isu berkaitan agama Islam di negara ini dilakukan atas prinsip tanggungjawab bukan berlandaskan kepentingan politik semata-mata.
Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang mendakwa UMNO terikut-ikut pendekatan Pas menggunakan agama untuk meraih sokongan sehingga menjadikannya parti konservatif adalah satu persepsi yang salah.
“Samalah juga seperti program yang ada hubung kait dengan Islam yang dijalankan jabatan agama di peringkat negeri atau Persekutuan, ini kita lakukan atas dasar tanggungjawab bukan hendak pancing undi.
“Kalau kita bina masjid, madrasah serta sekolah agama untuk membangunkan (syiar) Islam, adakah ini untuk pancing undi? Sudah tentu tidak kerana itu memang menjadi tanggungjawab kita,” katanya.
Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penanaman kira-kira 400 pokok pelbagai spesies di sekitar Pantai Kamloon sempena program Mai Riuh!!! di sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Tun Jeanne Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.
Ketika berucap pada Majlis Perhimpunan MCA Kedah baru-baru ini, Soi Lek menyifatkan kecenderungan Pas menggunakan agama dalam meraih sokongan rakyat telah memaksa UMNO untuk menggunakan cara yang sama bagi mengukuhkan kedudukan parti itu.
Beliau berkata, disebabkan itu, UMNO menjadi sebuah parti konservatif kerana bersaing dengan Pas untuk mendapatkan perhatian sehingga ada beberapa polisi yang kurang berkesan dibuat oleh kerajaan.
Malah, katanya, senario itu menyebabkan negara terperangkap menjadi negara berpendapatan sederhana selama 10 tahun.
Bagaimanapun, Abdullah berkata, adalah tidak adil membuat telahan begitu kerana walaupun UMNO mempunyai prinsip jelas berkaitan agama Islam, agenda pembangunan negara sentiasa diberi perhatian.