Jumaat, 20 Ogos 2010

Jalan Mudah untuk Selamatkan Pulau Pinang.

Perak sebagai mana sedia maklum, hanya rakyat yang berbangsa Melayu beragama Islam sahaja boleh dilantik menjadi Menteri Besar.

Perkara yang sama hendaklah dilakukan ke atas Pulau Pinang jika mahu selamat. Pulau Pinang, Melaka dan Singapore adalah  Negeri Selat berdasarkan perundangan British sewaktu penjajahan mereka.

Hari ini Melaka hilang kesultanannya selepas pemerintahan Portugis, Belanda dan British. Walaupun semua maklum bahawa Kesultanan di Tanah Melayu adalah bermula di Melaka.

Pulau Pinang pada asalnya adalah tanah pajakan British daripada Sultan Kedah.Pembayaran pajakan masih berjalan sehingga ke hari ini. Ini bermakna secara tradisinya Pulau Pinang masih hak milik Kedah walaupun Pulau Pinang mempunyai kerajaan negeri sendiri.

Harap pakar sejarah dan perundangan dapat meneliti perkara dan urusan ini. Kembalikan kedaulatan negeri Pulau tersebut. Difahamkan juga bahawa Raja Uda, nenda Raja Petra Kamaruddin adalah orang besar di pulau tersebut.

YDP Agong dan Majlis Raja-Raja boleh buka fail lama untuk menyelamatkan pulau tersebut daripada menjadi Singapura kedua.


Hubungan Kedah-Inggeris Sehingga 1909
Hubungan peringkat awal bersifat perdagangan dan bermula sejak tahun 1609. Saudagar-saudagar Inggeris banyak berdagang pakaian dan besi sebagai pertukaran hasil perdagangan Kedah seperti bijih timah, tembaga, gajah dan hasil hutan. Di antara pedagang-pedagang Inggeris yang terawal yang berniaga di Kedah termasuklah John Lock dan Alexander Hamilton.
Pada abad ke-18, hubungan dengan Inggeris bukan sahaja bersifat perdagangan malah persoalan politik turut menjadi penting. Di dalam menghadapi ancaman luar, Kedah terpaksa mencari kuasa ketiga yang dapat membantunya. Pada abad ke-18, ancaman luar yang sering mengganggu kestabilan Kedah termasuklah Bugis, Siam dan Myanmar. Sultan Muhammad Jiwa dalam usaha menghadapi ancaman ini cuba mendapatkan bantuan ketenteraan Inggeris. Sultan Muhammad Jiwa melihat Inggeris lebih bermanfaat sebagai rakan sekutu memandangkan kejayaan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) di India dan kejayaan agensi perdagangan di Acheh yang beroperasi atas asas "Perdagangan sebagai balasan perlindungan". Sultan Muhammad Jiwa telah mengirimkan utusan ke Acheh untuk berunding dengan saudagar-saudagar Inggeris yang beroperasi di sana. Utusan Kedah ke Acheh berjaya meyakinkan Francis Light dan beliau datang ke Kedah dengan sepasukan tentera untuk mengadap Sultan. Hasilnya, Sultan Muhammad Jiwa memberi kebenaran kepada Syarikat Jourdain Sullivan and De Sauza yang diwakili Francis Light untuk membuka gedung perniagaan di Kuala Kedah. Francis Light bersetuju untuk menempatkan 100 orang Sepoi bagi mempertahankan Kuala Kedah. Pembiayaan untuk mempertahankan Kuala Kedah akan diambil daripada hasil keuntungan perniagaan di pelabuhan tersebut.
Menjelang pertengahan Ogos 1771, apabila Kedah kembali aman, Sultan Muhammad Jiwa membuat perancangan untuk menyerang Selangor bagi mendapatkan kembali kapal dan alat senjata Kedah yang dirampas oleh Raja Haji. Sekali lagi, Sultan Muhammad Jiwa meminta bantuan tentera Inggeris melalui Francis Light dan pada November 1771 menulis surat kepada pihak berkuasa SHTI di Madras. Pembiayaan ekspedisi tentera ke Selangor ini akan dibiayai bersama. Sebagai balasan bantuan, Sultan Muhammad Jiwa menawarkan pelabuhan Kuala Kedah dan kotanya kepada Inggeris. Jika Inggeris bersetuju memberi bantuan tentera secara kekal terutama bagi menghadapi ancaman Siam, Sultan berjanji akan menyerahkan kawasan pantai Kedah bermula dari Kuala Kedah hingga ke Pulau Pinang (R. Bonney, JHSUM, Jil. VI, 1967/68). Dalam masa yang sama, Sultan Muhammad Jiwa menerima tawaran bantuan daripada Syarikat Hindia Timur Denmark yang berpengkalan di Tranqueber, India. Syarikat Denmark ini menawarkan bantuan tentera untuk ekspedisi ke Selangor jika Sultan membenarkan mereka mendirikan gudang perniagaan di Kuala Kedah. Sultan menolak tawaran tersebut memandangkan jawapan daripada pihak Inggeris belum diterima.
Pada pertengahan Januari 1772, Francis Light memaklumkan yang pihak Inggeris di Madras enggan terlibat dalam ekspedisi tentera. Dalam pada itu, SHTI menghantar Edward Monckton untuk berunding dengan Sultan Kedah. Rundingan ini gagal setelah Sultan mendapati Inggeris masih enggan membantu dalam ekspedisi tentera ke Selangor (R.O. Winstedt, 1986 : 163-166). Tiga tahun kemudian, Francis Light sekali lagi memainkan peranan untuk berunding dengan Sultan Muhammad Jiwa. Francis Light meminta hak menduduki Pulau Pinang dan sebagai balasannya Sultan akan diberi pampasan wang $30 ribu wang Sepanyol di samping bantuan ketenteraan. Pada 17 Julai 1786, Francis Light mendarat di Pulau Pinang dan pada 1 Ogos 1786, mengisytiharkan pulau tersebut sebagai Pulau Prince of Wales tanpa triti penyerahan.

Sultan Abdullah yang menggantikan ayahandanya Sultan Muhammad Jiwa tidak berpuas hati dengan penolakan pihak berkuasa Inggeris di India yang enggan memberi bantuan ketenteraan sekiranya Kedah diserang Siam. Pada awal tahun 1790, Sultan Abdullah bertindak mengumpulkan askar-askarnya di Prai untuk mengambil balik Pulau Pinang. Bagaimanapun, strategi tunggu dan lihat Sultan Abdullah memberi kesempatan kepada Francis Light menyerang tentera Kedah di Prai. Sultan Abdullah yang masih menaruh harapan kepada Inggeris telah bersetuju pada 20 April 1791 untuk menandatangani perjanjian yang memberi pengesahan undang-undang terhadap pengambilan Pulau Pinang. Jelaslah, Francis Light berjaya mengambil Pulau Pinang secara paksaan setelah diplomasi bersifat mengelak gagal. Hasil perjanjian ini, Sultan Abdullah bersetuju menerima bayaran $6,000 setahun sebagai bayaran Inggeris menduduki Pulau Pinang. Syarat-syarat lain menyentuh soal hamba dan penjenayah lari, pemberontak yang mencari perlindungan, perdagangan bebas dan janji Kedah tidak menjemput campur tangan kuasa Eropah yang lain (R.O. Winstedt, 1986 : 166-170).
Pada zaman pemerintahan Sultan Dhiauddin Mukarram Syah (1798-1804), sekali lagi hubungan Kedah-Inggeris melibatkan soal penyerahan wilayah. Pihak Syarikat Hindia Timur memerlukan kawasan tanah besar Semenanjung yang bersetentang dengan Pulau Pinang untuk memastikan kawalan terhadap pelabuhan dan kapal-kapal terselamat daripada serangan musuh dan lanun. Selain itu, Pulau Pinang juga memerlukan kawasan pertanian terutama untuk tanaman padi supaya tidak terlalu bergantung kepada import makanan dari luar. Gabenor Sir George Leith telah berjaya memujuk Sultan Dhiauddin untuk menyerahkan Seberang Prai kepada Inggeris. Surat perjanjian ditandatangani pada Jun 1800. Sebagai balasan kehilangan Pulau Pinang dan Seberang Prai, Kedah akan dibayar $10,000 setahun tetapi Syarikat Inggeris masih terus enggan melibatkan diri dalam soal pertahanan.
Syarat-syarat persetiaan pada tahun 1800 :
  1. Syarikat Hindia Timur Inggeris akan membayar kepada Sultan Sp$10,000 setahun selagi menduduki Pulau Pinang dan wilayah yang dipajak.
  2. Kawasan di antara Kuala Muda dan Kuala Kerian yang berukuran enam puluh relung dari pantai akan diberi kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris untuk selama-lamanya. Syarikat Hindia Timur Inggeris akan melindungi pantai ini daripada serangan musuh, perompak dan lanun yang mungkin menyerangnya dari utara dan selatan. (Perkataan 'pantai ini' tidak terdapat di dalam teks persetiaan ini dalam bahasa Melayu).
  3. Sultan akan menerima tunggakan ganti rugi yang dihutang oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris sejak tahun 1798.
  4. Syarikat Hindia Timur Inggeris akan dibenar membeli bekalan dari Kedah tanpa sebarang sekatan atau cukai.
  5. Bangsa-bangsa Eropah yang lain tidak dibenarkan memperoleh atau memajak sebarang kawasan di Kedah.
  6. Kedua-dua belah pihak akan sama mengembalikan hamba-hamba abdi, orang-orang yang berhutang dan penjenayah (Tan Ding Eing, 1986 : 46).
Minat Inggeris terhadap Kedah dan negeri-negeri Melayu Utara yang lain berterusan walaupun selepas Perjanjian Burney 1826 di mana Inggeris mengesahkan pengiktirafan pertuanan Siam ke atas negeri-negeri tersebut. Dalam pada itu, kuasa-kuasa Eropah yang lain turut berminat untuk meluaskan pengaruh di rantau ini. Jerman cuba mendapatkan hak pemajakan ke atas Langkawi tetapi gagal. Russia pula berusaha untuk membina terusan di Segenting Kra manakala Perancis giat mengembangkan pengaruh di bahagian timur Siam. Pihak berkuasa Inggeris meragui kemampuan Siam menghadapi tekanan kuasa barat ini. Pihak Inggeris mengadakan perjanjian rahsia pada tahun 1897 dengan kerajaan Siam dan Siam berjanji tidak akan menyerah atau memajak negeri-negeri Melayu termasuk Kedah kepada mana-mana kuasa asing tanpa merujuk kepada British.