Khamis, 9 September 2010

Lawan Azmin seperti tempah maut

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Lupakan hasrat untuk melawan Azmin Ali kerana ia seperti menempah maut! Lebih baik pergi ke Zoo Negara melihat gelagat haiwan di sana.

Ingatan sinis tetapi penuh bermakna itu dilontarkan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin kepada dua lagi pemimpin parti itu yang mencabar Azmin iaitu Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Zaid Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tegas Zulkifli, kenyataannya itu bukan berdasarkan kepada tekaan atau spekulasi tetapi ia berdasarkan kepada sejarah yang tidak pernah sekali pun menipu sesiapa.

Beliau berkata, peristiwa 1993 iaitu detik 'berkuburnya' karier politik Tun Ghafar Baba apabila semua Menteri Besar membuat kenyataan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO seperti akan berulang kembali.

"Maka 'berkuburlah' (karier politik) Pak Gafar Baba. Menangis tak berlagu! Hari ini skrip sama berulang," katanya dalam blog, zul4kulim.blogspot.com.

Entri bertajuk 'Sejarah Berulang!' itu ditulis sebagai mengulas laporan media menyatakan majoriti Ahli Parlimen PKR membuat kenyataan memberi sokongan penuh kepada Azmin untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti akan datang.

Semalam, Zaid melahirkan kekecewaan dengan situasi yang berlaku dalam PKR itu sambil menyatakan beliau 'rela dikuburkan' oleh ahli parti itu.

Zulkifli berkata, sejarah adalah guru terbaik dan beliau mengingatkan Zaid dan Abdul Khalid supaya mengambil iktibar daripada apa yang pernah dilalui oleh Ghafar.

"Apa pun, kata orang Melayu, dah terang bersuluh pula. Lagu sama, skrip sama, cuma watak dan pelakon sahaja yang berbeza.

"Teman ucapkan sayonara kepada Zaid dan Abdul Khalid serta semua mereka berangan-angan hendak bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.

"Lebih baik kita pergi ke Zoo Negara, ziarah 'kawan-kawan' bergaya (posing) di sana lagi bagus," katanya yang turut memuat naik gambar seekor gorila dalam entri blognya itu.
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my