Oleh Ropikah Ahmad
PUTRAJAYA, 5 Sept – Tokoh Melayu Terbilang UMNO 2010, Tan Sri Zainuddin Maidin mengalu-alukan langkah Pas termasuklah anggota pemudanya membuat laporan polis dan mendakwanya di mahkamah berhubung kenyataan beliau dalam umno-online.com bertajuk ‘Zam Dedah Hasutan Jahat Pas’ pada 29 Ogos lalu.
Dalam kenyataan tersebut, Zam mendedahkan bahawa semasa Tragedi 13 Mei 1969 Pas minta Perdana Menteri Malaysia pertama Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ‘merampas’ harta-harta orang Cina, manakala ketika Konfrontasi Malaysia-Indonesia Pas menyebelahi Indonesia supaya ‘mengambil’ Malaysia.
“Ini bukan satu kenyataan baru tetapi telah diberitahu oleh Tunku dalam pertemuan eksklusif saya dan Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu, Allahyarham Osman Abadi lebih 40 tahun lalu,” katanya dalam satu sidang akhbar di kediamannya.
Zam yang juga mantan Menteri Penerangan dan juga Tokoh Wartawan Negara 2006 menjelaskan, kenyataan Tunku ini telah pun tersiar dalam akhbar Utusan dan juga tercatit dalam buku Di Sebalik Jendela Utusan yang diterbitkan sempena usia Utusan Malaysia 50 tahun pada Mei 1989 dan juga telah diulangi di dalam beberapa tulisan beliau berikutnya.
“Apabila kami masuk menemui Tunku di pejabatnya di Jalan Dato’ Onn selepas kejadian 13 Mei, Tunku memberitahu bahawa seorang pemimpin Pas baru sahaja keluar dari menemuinya dan telah menyatakan kepada Tunku bahawa inilah masanya untuk tentera merampas kuasa dan mengambil alih semua harta benda orang Cina. – MediaUMNO