Sabtu, 30 Oktober 2010

Kelab Penyokong Pas Teluk Intan dibubar




Gara-gara tidak berpuas hati terhadap kepimpinan tertinggi Pas negeri, lebih 2,000 ahli Kelab Penyokong Pas (KPP) Teluk Intan bertindak membubarkan kelab itu kerana mendakwa parti berkenaan gagal membela nasib rakyat terutamanya kaum India.

Seramai 60 ahli kelab itu mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat PKK sebelum membuang kad keahlian masing-masing ke dalam tong sampah sebelum menurunkan papan tanda pejabat secara rasmi kira-kira jam 4.45 petang tadi.
Ketua KPP Teluk Intan, S. Krishnan ketika di temui pemberita berkata, kepimpinan PAS hanya pandai menabur janji sahaja kerana sehingga kini tiada sebarang peruntukan ataupun bantuan dihulurkan baik semasa ataupun selepas Pakatan Rakyat memerintah negeri Perak.

“PAS tidak layak digelar ‘PAS For All’ atau PAS untuk semua seperti yang sering dilaungkan pemimpin parti.
“Mereka langsung tidak tahu menjaga kebajikan penyokongnya malah apabila memohon sebarang bantuan jawapan yang diberi ialah tiada peruntukan.

“Kami juga sudah muak dengan janji manis pemimpin parti itu yang tidak pandai menjaga perasaan kaum lain,” kata Krishnan lagi.

Katanya, lebih ramai ahli KPP di seluruh Perak di jangka turut sama mengadakan demonstrasi bagi meluahkan perasaan tidak puas hati mereka terhadap parti itu.

Bekas ahli KPP, K. Perumal pula berkata, beliau dan kebanyakan ahli sudah tawar hati untuk menyertai kelab itu kerana tidak mahu terus menjadi kuda tunggangan Pas.

“Kami menyertai KPP dengan satu matlamat iaitu nasib kaum India dibela namun dari apa yang dapat di lihat parti berkenaan nyata tidak mampu untuk mengotakan janji mereka,” kata Perumal.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Teluk Intan, Azhar Jamaluddin berkata, pihaknya simpati di atas apa yang berlaku kepada ahli KPP.

“Saya turut bersimpati dengan nasib ahli KPP Teluk Intan tetapi kami sentiasa membuka pintu kepada mereka untuk menyertai Barisan Nasional (BN),” katanya.