SHAH ALAM: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menyediakan satu pakej khas membolehkan pemberian elaun bulanan kepada golongan miskin tegar dilaksanakan secara berkesan di pedalaman Sarawak.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pakej khas dengan peruntukan RM66 juta yang akan dibentuk di bawah program inisiatif Elaun Bulanan Sementara 1AZAM (Akhiri Zaman Miskin) bakal meliputi kawasan dan bilangan keluarga miskin tegar bagi negeri itu selaras dengan sasaran kementerian menyalurkan inisiatif itu kepada 23,000 isi rumah miskin tegar seluruh negara.
"Untuk Sarawak , kita perlu sedikit pakej yang berlainan (dari Semenanjung Malaysia) kerana kedudukan antara kawasan-kawasan lain adalah jauh. Kita akan perkemaskan jentera, mengadakan program khas termasuklah menggunakan pejabat Pos Malaysia di setiap kawasan negeri-negeri itu.
"Dengan cara tersebut, kita mahu memastikan serta memudahkan kesemua kumpulan sasar keluarga miskin tegar di bawah program 1AZAM ini mengambil elaun bulanan sementara mereka setiap bulan," katanya selepas melancarkan program 1AZAM peringkat kebangsaan di Pejabat Pos Besar Shah Alam, dekat sini.
Seramai 23,000 miskin tegar di seluruh negara dikenal pasti layak menyertai Program Teman 1AZAM (Akhiri Zaman Miskin) menerusi peruntukan sebanyak RM66 juta yang diluluskan oleh kerajaan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Shahrizat berkata, mereka adalah keluarga yang berdaftar dalam sistem e-Kasih di bawah kementeriannya selain memperoleh pendapatan isi rumah kurang RM440 sebulan.
"Semua 23,000 keluarga ini akan diberi elaun bulanan mulai bulan ini sehingga Disember tahun ini. Pada tahun depan mereka akan terus menerima elaun bulanan berkenaan dengan syarat peserta itu mesti menyertai salah satu program yang dikhususkan untuk mereka.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.