Sabtu, 11 Disember 2010

Rasuah: PDRM ada mekanisme tersendiri pantau anggota

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai mekanisme tersendiri dalam memantau dan menangani kes anggota dan pegawai mereka yang terlibat dalam jenayah rasuah.
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan setiap jabatan di dalam perkhidmatan PDRM ini bagi mengawasi mana-mana anggota yang terlibat dan seterusnya mengambil tindakan.

"Kita memang sentiasa berusaha dengan kadar berterusan untuk memantau mana-mana anggota dan pegawai yang terlibat dengan kegiatan rasuah.

"Kita juga ada mekanisme sendiri di dalam setiap jabatan PDRM ini untuk banteras rasuah di kalangan mereka dengan mengambil tindakan yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan tinjauan yang dilakukan Transparency International Global Corruption (GCB) 2010 yang meletakkan bahawa polis dilihat sebagai paling korup dengan nisbah 4.1/5.0 diikuti parti politik (4.0/5.0) dan Ahli Parlimen (3.4/5.0). –