Ahad, 20 Mac 2011

DELIMA PENDUDUK KAMPUNG SETIA JAYA




Beberapa hari yang lalu TM menerima email dari penduduk Kampung Setia Jaya, di Jalan Perusahaan Kamunting Perak yang mahukan pembelaan dan perhatian Menteri Besar Perak YAB Dato Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengenai permasalahan penduduk kampung tersebut.

Menurut penduduk mereka telah cuba seberapa daya yang dapat sejak sekian lama agar pihak kerajaan memberikan mereka geran hak milik kerana mereka sudah lama menduduki kawasan tersebut.

Hari ini TM telah melawat kampung tersebut dan agak terperanjat juga kerana jumlah mereka bukan sedikit. Kebanyakan dari penduduk disitu ialah pekerja kilang, pesara tentera dan lain-lain jenis pekerjaan.

Terdapat beberapa buah rumah yang dibina dengan kos yang mencecah RM 100 ribu ringgit. Mereka sanggup melaburkan wang pencen mereka untuk membina sebuah kediaman yang selesa kerana mereka telah dijanjikan oleh wakil rakyat terdahulu bahawa geran boleh dikeluarkan.

Bagaimana pun apabila projek landasan berkembar dibuat di sebelah tanah mereka menyebabkan beberapa buah rumah terpaksa dirobohkan oleh MMC-Gamuda bagi memberi laluan kepada projek tersebut.

Sebagai ganti atau saguhati, pihak pemaju telah membayar sedikit pampasan yang standard kepada semua setinggan yang terlibat. Bagi kawasan yang tidak terlibat atau diluar sempadan pembinaan, rumah masih kekal hingga kini.

Delima yang dihadapi penduduk ialah kawasan kediaman mereka terletak dalam zon perindustrian dan mereka tersepit di antara kilang dan landasan berkembar. Walaupun sebahagian besar daripada penduduk telah dijanjikan tanah lain sebagai ganti tetapi mereka masih berat untuk menerima tawaran pejabat tanah kerana mereka sayangkan rumah mereka dan tidak sanggup untuk merobohkan rumah dan berpindah ke tempat lain.

Menurut wakil penduduk, semasa lawatan kerja Menteri Besar Perak, YAB Dato Seri Dr Zambry Abdul Kadir  turun padang ke Kamunting, pegawai-pegawai bertugas tidak membenarkan isu ini dibawa untuk dibincangkan kepada menteri besar.

Mereka juga berharap agar Dr Zambry dapat membantu mereka dalam isu ini sebagaimana isu tanah di Batu 4 Kamunting, Aulong dan juga Kuala Sepetang.