Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Ellias Zakaria akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin esok, dipercayai bagi menjelaskan polemik berhubung pelaksanaan pilihan raya masjid di negeri itu.
Menurut sumber, Ellias diminta memberi penjelasan mengenai keputusan mengadakan pilihan raya tersebut yang dikhuatiri banyak pihak akan merosakkan keharmonian serta perpaduan dalam institusi masjid.
Bagaimanapun belum ada sebarang ketetapan daripada kerajaan negeri atau MAIPP untuk menangguhkan proses pemilihan kariah masjid yang sedang berlangsung berikutan perkembangan terbaru itu.
''Ia lebih kepada untuk memberi penjelasan tentang perkara-perkara berbangkit. Setakat ini, pemilihan masih berjalan seperti yang ditetapkan," kata sumber itu ketika dihubungi hari ini.
Utusan Malaysia pada 6 Jun lalu mendedahkan keputusan Kerajaan Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya bagi jawatankuasa masjid mulai tahun ini dan perkembangan itu dilihat bakal menjerumuskan institusi masjid ke kancah politik kepartian.
Keputusan itu mencetuskan bantahan ramai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negeri ini yang menyifatkan ia sebagai agenda untuk melemahkan institusi masjid sebagai wadah perpaduan umat Islam.
Kontroversi juga timbul memandangkan pelaksanaan proses pemilihan itu yang didakwa tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di Pulau Pinang.
Kerajaan negeri bagaimanapun mempertahankan pelaksanaan kaedah pemilihan tersebut dengan alasan ia mengikut Seksyen 104(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MAIPP, Salleh Man yang juga Pesuruhjaya Pas negeri ketika dihubungi mengesahkan Ellias akan menghadap Seri Paduka esok tetapi enggan mengulas lanjut.
''Memang ada tetapi saya tidak turut serta. Itu sahaja saya boleh cakap," katanya.
Ellias yang dihubungi malam ini bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan berhubung perkara tersebut.