Sabtu, 9 Julai 2011

Angkara Bersih 2.0 : Majlis Kenduri Kahwin terganggu

KUALA LUMPUR, 9 Julai - Beberapa majlis perkahwinan yang berlangsung dan dirancang di sini sedikit terjejas gara-gara rancangan pihak berkepentingan mahu mengadakan perhimpunan haram hari ini.

Majlis perkahwinan yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa iaitu di kawasan di mana sebuah badan bukan kerajaan dikatakan akan berhimpun, turut terkena tempias apabila jumlah tetamu yang datang ke majlis itu kurang memberangsangkan.

Pengantin Mona Farhana Ithnin, 29, dan suaminya Irman Hafiz, 29, kesal kerana majlis persandingan impian mereka menjadi hambar apabila majlis kenduri mereka terjejas apabila tetamu sukar untuk sampai ke tasik berikutan beberapa jalan yang ditutup dan terpaksa meletakkan kereta di tempat yang jauh.

"Perhimpunan ini memang menyusahkan kami, saya sekeluarga sudah merancang untuk mengadakan majlis ini setahun lalu, tetapi kerana adanya perhimpunan haram ini kami terpaksa berbelanja lebih kerana perlu membayar katering untuk menjaga barang-barang seperti pelamin, kerusi dan meja malam tadi," kata Mona Farhana yang berasal dari Sentul.

Beliau berkata keluarganya menjemput kira-kira 1,800 orang tetamu, tetapi sehingga 1 tengah hari tadi hanya 200 orang tetamu yang memenuhi enam khemah yang disediakan di situ.


Satu lagi majlis persandingan berkonsepkan ala taman yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa pada pukul 3 petang ini turut menerima kesan daripada perhimpunan haram itu apabila pasangan pengantin yang dijadualkan berarak menaiki kereta kuda dari Hotel Putra, Jalan Tun Razak ke tasik itu terpaksa dibatalkan.

Sementara itu, bagi majlis persandingan yang dijadualkan berlangsung pada pukul 7.30 malam di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak dikhuatiri menerima nasib yang sama.

Seorang anggota keluarga pengantin yang ditemui di Dewan Tun Hamdan Sheikh Tahir di Wisma Sejarah di Jalan Tun Razak, Hazree Wahid, 29, berkata timbul kebimbangan terhadap perjalanan majlis yang  dijadualkan pada malam ini.

"Sebenar-benarnya saya dan keluarga sangat risau dan takut apabila memikirkan tentang perjalanan majlis ini. Bukan sahaja risau mengenai kehadiran saudara mara dan jumlah jemputan yang bakal hadir malahan faktor keselamatan turut diambil kira," katanya.

Sementara itu, perunding perkahwinan majis itu Shahidi Othman, 41, berkata pihaknya turut mengalami kesukaran mendapatkan kelengkapan bagi majlis tersebut.

"Persiapan terganggu kerana separuh barang seperti bunga segar dan lilin hiasan yang biasa dibeli di Jalan Petaling sukar diperolehi ekoran jalan ditutup," katanya.
-- BERNAMA

1 ulasan:

  1. Kesian rumah kenduri kawin anak kawan2 di Bukit Sentosa dan beruntung,Rawang juga terjejas.Kawan2 terpaksa patah balik kerana jem giler angkara kumpulan gila kuasa dan pembelit ini dan pemusnah bangsa Melayu ini!Nasib baik ada jiran sekampung meramaikan majlis!!! shittt.

    BalasPadam