Sabtu, 9 Julai 2011

TIGA PEMIMPIN PAS DITAHAN BERHUBUNG PERHIMPUNAN HARAM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Tiga pemimpin PAS adalah antara 540 orang ditahan dipercayai  terbabit dalam rancangan perhimpunan haram di ibu negara hari ini.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh berkata ketiga-tiga mereka ialah timbalan presiden Mohamad Sabu dan dua naib presiden Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar ditahan untuk siasatan lanjut.

Sehingga 1.30 petang, mereka yang ditahan ialah 479 lelaki, 58 wanita dan tiga orang remaja.

"Mereka termasuk 11 orang yang ditahan memakai baju-t berwarna kuning dan seorang ditahan memakai baju-t merah (kumpulan Patriot)," katanya.

Beliau berkata setakat ini Kuala Lumpur masih terkawal dan polis dapat mengawal keselamatan seperti yang dirancang.

Amar Singh meminta orang ramai tidak terpengaruh dan mempercayai sebarang khabar angin yang  disebarkan melalui internet atau khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengatakan keadaan di ibu negara tidak terkawal.

Tinjauan Bernama berhampiran Menara Maybank di Jalan Tun Perak, polis memberi amaran supaya perhimpunan haram itu bersurai.

Di Jalan Bukit Bintang, kumpulan Patriot kelihatan telah mula berhimpun.