MALAYSIA AKAN JADI NEGARA TUA MENJELANG 2030 - SHAHRIZAT ABDUL JALIL
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
mengunjurkan Malaysia menjadi sebuah negara tua pada 2030 apabila penduduk
berumur 60 tahun ke atas mencakupi 15 peratus daripada jumlah populasi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat
Abdul Jalil berkata pada masa ini, bilangan warga emas di Malaysia adalah
seramai 2.1 juta atau 7.3 peratus daripada keseluruhan penduduk.
Katanya jangka hayat penduduk juga diunjur menokok daripada 72.6 tahun pada
2010 kepada 74.2 tahun pada 2020 bagi lelaki, manakala jangka hayat wanita
meningkat kepada 79.1 daripada 77.5 tahun bagi tempoh yang sama.
"Ini dijangka meningkat sejajar dengan peningkatan taraf kesihatan
penduduk," katanya menjawab soalan Senator Noriah Mahat, di Dewan Negara di sini
hari ini.
Shahrizat berkata kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat
telah menubuhkan Rumah Seri Kenangan untuk memberi penjagaan dan perlindungan
kepada warga emas yang daif.
-- LAGI
NEGARA-WARGA EMAS 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Katanya sehingga 31 Mei lepas, terdapat sembilan Rumah Seri Kenangan di
seluruh negara yang memberi penjagaan dan perlindungan kepada 1,942 orang
penghuni.
Beliau berkata selain Rumah Seri Kenangan, kementerian juga menubuhkan 22
Pusat Jagaan Harian Warga Emas menerusi kerjasama strategik dengan pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) yang memberi manfaat kepada 16,331 warga emas di seluruh
negara.
Shahrizat berkata kerajaan telah memperuntukkan RM733,260 untuk NGO terbabit
sepanjang tahun lepas.
-- BERNAMA
ZUZ RV NM
Published with Blogger-droid v1.7.1