Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, keadaan itu dapat dilihat dalam beberapa isu kebelakangan ini termasuk serangan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong 61 tahun lalu yang dibangkitkan kembali oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.
''Pengerusi DAP, Karpal Singh mahu Mohamad Sabu menarik balik kenyataannya mengenai Bukit Kepong itu manakala pemimpin pakatan yang lain pula berpendapat sebaliknya.
''Jadi kini rakyat boleh menilai sendiri ketelusan para pemimpin pakatan rakyat yang sering bercanggah pendapat sesama sendiri,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Tasek Gelugor di sini, hari ini.
Menurutnya, pendirian pimpinan pakatan itu amat dikesali kerana mereka secara terang-terangan menghina anggota polis yang berjuang mempertahankan negara serta ahli keluarga mereka.
"Inilah balasan yang diberi pimpinan pakatan kepada negara serta jasa pejuang terdahulu yang mempertahankan negara daripada kekejaman pengganas komunis.
"Mereka sanggup bersekongkol dengan Mohamad Sabu yang berani mengeluarkan kenyataan tidak berasas tentang sejarah negara serta peristiwa berdarah di Balai Polis Bukit kepong itu," katanya.
Karpal sebelum ini berkata, peristiwa Bukit Kepong tidak boleh dipertikaikan kerana dokumen sejarah telah menyatakan anggota polis dan keluarga mereka berjuang habis-habisan menentang pengganas komunis.
Bagaimanapun pemimpin pembangkang yang lain pula menyebut Mohamad Sabu tidak berkata demikian dan mendakwa ia adalah putar-belit yang tidak bertanggungjawab oleh pimpinan dan media UMNO.
Dalam pada itu, Musa menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak menjadikan Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. Jaseni Maidinsa sebagai kambing hitam dalam isu tuntutan perubatan Mohamad Sabu ekoran kecederaan semasa menyertai perhimpunan haram Bersih 9
Julai lalu.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.