Khamis, 17 November 2011

Dun Selangor Tolak Bahas Isu Kilang Arak





SHAH ALAM: Soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil berhubung kilang arak Carlsberg di negeri itu ditolak dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini hari ini.

Speaker Datuk Teng Chang Khim berkata kedua-dua soalan itu ditolak oleh Jawatankuasa Mengkaji Soalan Dewan yang bermesyuarat pada 24 Oktober lalu.

Abdul Rahman bertanya mengenai status kilang arak Carlsberg kerana Pakatan Rakyat sebelum ini berjanji untuk menutup sekiranya mengambil alih pemerintahan negeri. Beliau juga ingin tahu sama ada kilang tersebut akan kekal atau dipindahkan ke kawasan lain.

Soalan itu sepatutnya dijawab oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

“Dulu masa pilihan raya umum 2008 dan ketika memperkenalkan calon, Exco (Hasan) janji kalau menang kilang arak akan ditutup.

Saya tanya kenapa tidak ditutup…..kenapa kerajaan negeri tidak berani jawab soalan saya?

“PAS mahu menjaga kepentingan DAP. Dahulu ketika Barisan Nasional mentadbir negeri, kita dihentam kerana bina kilang arak,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Bangunan Annex.

Hasan yang ditemui pemberita kemudian mendakwa beliau tidak mengetahui punca soalan berhubung kedudukan kilang arak itu ditolak.

“Saya hanya dimaklumkan bahawa soalan ini sudah ditolak oleh jawatankuasa yang bertanggungjawab,” katanya.

Ketika dalam dewan, Hasan menjelaskan pihaknya sedang merancang untuk menubuhkan satu tabung khas khusus bagi orang Islam yang secara sukarela berhenti dari bekerja di premis menjual minuman keras.

Hasan menerangkan Tabung ini belum dapat dilaksanakan sehingga kini kerana mengalami beberapa masalah seperti kesukaran mengumpulkan maklumat dan statistik mengenai pembabitan umat Islam di premis yang jual minuman keras.

“Saya berharap dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kita dapat kumpul data dan maklumat secukupnya dan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya. -FMT
Take beer