Selasa, 20 Mac 2012

Cara Bersantai Lebih Mudah Mengetahui Masalah Rakyat

Awang Kadin.


KOTA KINABALU, 19 Mac – Cara bersantai berbanding perjumpaan formal lebih mudah mengetahui dan mendekati permasalahan rakyat, kata Ketua Pemuda UMNO Sabah, Awang Kadin Tang.

Beliau berkata menerusi program santai sentuhan peribadi dapat dibuat dan rakyat terasa lebih dihargai serta tidak segan meluahkan masalah yang mereka hadapi.

Pergerakan Pemuda UMNO Sabah menggunakan program sedemikian bagi mengesan permasalahan rakyat dan seterusnya berusaha mencari penyelesaian terbaik, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Awang Kadin berkata cara santai berbeza dengan perjumpaan formal ataupun ceramah dalam mendekati golongan sasaran kerana terus dapat mengesan masalah atau isu yang dihadapi rakyat.

“Jika kita bersembang-sembang dengan pemimpin di peringkat akar umbi mudah mengetahui masalah dihadapi golongan belia, mungkin mereka memerlukan bantuan. Program santai ini landasan terbaik untuk mengemukakan masalah,” katanya.

Sambil memberi contoh program lawatan dan santai pemuda UMNO Papar di bilik gerakan pemuda UMNO Papar di Kampung Santing Pengalat Kecil, Papar, semalam, Awang Kadin berkata pendekatan seumpama itu berjaya dan ia wajar diperluaskan ke bahagian lain.

Beliau berkata pihaknya mengambil maklumat yang disalurkan untuk dikemukakan kepada pihak berkenaan dan berharap rakyat tidak melepaskan peluang tampil menyampaikan masalah semasa program diadakan.

Beliau, yang juga ketua pemuda UMNO Sandakan, mahu kepimpinan pemuda UMNO di bahagian melipatgandakan usaha mendekati semua pengundi khususnya golongan muda melalui program bersama masyarakat.

Awang Kadin meminta pemuda UMNO memberi tumpuan kepada kempen pendaftaran pengundi baru bagi memastikan golongan muda yang mencapai umur 21 tahun mendaftar sebagai pengundi.

“Semua ahli pemuda UMNO di peringkat akar umbi perlu menyedari tanggungjawab ini dan dapat melakukan gerak kerja dengan segera,” katanya.