Jumaat, 16 Mac 2012

Honda kuasai pasaran hibrid




HONDA Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) mengunjurkan jualan model terbaru Honda Jazz Hibrid sebanyak 3,000 unit tahun ini dengan sasaran jualan keseluruhan model hibrid sebanyak 10,000 unit.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yoichiro Ueno berkata, jumlah jualan kenderaan hibrid tahun lalu kira-kira 8,400 unit dengan model Honda Insight muncul model paling laris dengan jualan sebanyak 4,568 unit.


Beliau berkata, Honda kini menguasai pasaran kenderaan hibrid sebanyak 55 peratus di negara ini disumbangkan menerusi tempahan sebanyak 1,000 unit model CR-Z yang dilancarkan baru-baru ini.

“Kami yakin ia akan membawa keseronokan memiliki dan memandu kenderaan hibrid. Honda komited untuk membangunkan kereta berteknologi tinggi yang mesra alam,” katanya selepas melancarkan Jazz hibrid di Kepong, semalam.