Khamis, 8 Mac 2012

Jawapan Noh Omar kepada tuduhan MB Selangor

RM500 juta lesap: Umno cabar MB Selangor

7 Mac 2012


PUTRAJAYA - Umno Selangor mencabar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melantik juruaudit bebas bagi menjalankan siasatan terhadap ketirisan aset Yayasan Selangor (YS) berjumlah RM500 juta yang didakwa berpunca dari pentabiran Barisan Nasional (BN).Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Noh Omar berkata, adalah perlu diadakan satu siasatan jika benar apa yang didakwa oleh Pengurus Besar YS, Ilham Marzuki bahawa pada tahun 1991 hingga Mac 2008 berlaku ketirisan aset YS.

Menurutnya, kerajaan negeri harus mengemukakan bukti bahwa ia berpunca daripada BN dan jangan hanya pandai membuat tuduhan tanpa sebarang bukti.

"Pembangkang hanya pandai membuat tuduhan tanpa sebarang bukti, ini adalah bertujuan untuk mengelirukan rakyat dan menutup kelemahan mereka. Saya ingin jelaskan bahawa dakwaan pembangkang adalah tidak benar malah kami mempunyai bukti mengenainya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawab dan Ketelusan Selangor (Selcat), Datuk Teng Chang Khim yang mencadangkan Kerajaan Negeri perlu melantik juruaudit bebas bagi menyiasat ketirisan YS.

Dalam sesi pendengaran awam yang diadakan semalam, Chang Khim mendakwa sejak Pakatan Rakyat mengambil alih YS, berlaku empat perbelanjaan tidak munasabah bernilai RM1.4 juta. Ia membabitkan Majlis Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor, majlis berbuka puasa, majlis jamuan Aidilfitri dan Majlis Korban Perdana.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata, beliau mencabar Kerajaan Negeri supaya mengambil tindakan terhadap Ilham kerana sepanjang menjawat jawatan itu, berlaku empat perbelanjaan yang tidak munasabah dan ia telah dibuktikan oleh Selcat.

Katanya, sebelum ini beliau pernah mendakwa berlaku perbelajaan yang tidak munasabah oleh YS, tetapi perkara itu dinafikan oleh Abdul Khalid.

"Ini membuktikan bahawa dakwaan saya sebelum ini adalah benar, saya tidak bercakap kosong. Setiap apa yang saya katakan, saya mempunyai bukti yang mencukupi.

"Saya juga ingin meminta Abdul Khalid membuat permohonan maaf secara terbuka, kerana mendakwa apa yang saya katakan tidak benar. Oleh itu beliau harus memohon maaf," katanya.

Noh berkata, sepanjang sesi pendengaran awam yang diadakan itu beliau tidak dipanggil untuk memberikan penerangan, walaupun sebelum ini mendakwa berlakunya perbelanjaan tidak munasabah oleh YS.

Menurutnya, jika dilihat secara menyeluruh pendengaran awam itu, adalah tindakan kerajaan negeri dalam cubaan untuk menyelindungi 'orang mereka' yang melakukan kesalahan.

“Selcat adalah mahkamah kanggaru,” katanya.

Tuduhan PR terhadap UMNO kelmarin, klik untuk baca