Selasa, 18 September 2012

Ikrar Ketua Bahagian Umno Perak:

Semua Ketua UMNO bahagian di Negeri Perak berikrar di hadapan Presiden UMNO Dato’ Seri Najib Razak untuk menyokong calon-calon yang diputuskan Barisan Nasional dalam PRU ke13 kelak. Menteri Besar Perak Dato’Seri Dr.Zambry Abd Kadir berkata semua 24 orang pemimpin penting di negeri ini juga melakukan hal yang sama kepadanya selaku Pengerusi UMNO dan BN negeri.

Dengan demikian beliau yang juga ADUN Pangkor yakin peluang Barisan Nasional negeri untuk memperbaiki prestasi serta merampas semula sebahagian besar kerusi-kerusi dari pembangkang bakal menjadi kenyataan. Dr Zambry tidak menyebut tarikh pertemuan ketua-ketua bahagian di Perak dengan Najib namun yakin ikrar mereka bakal mencorakkan perjuangan memperkasakan UMNO dan BN di negeri ini.

Masa PRU ke12, BN Perak tewas buat pertama kali kepada Pakatan Rakyat namun setelah 11 bulan, kuasa yang pernah dimiliki berpindah semula ke pangkuan BN. Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan mesyuarat UMNO bahagian Gopeng di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar, Ipoh pagi Isnin.

Walaupun teruja dengan sikap positif Ketua-ketua bahagian, Dr.Zambry mengingat kan bahawa tindakan disiplin tetap dikenakan jika terdapat mereka yang tidak dicalonkan mensabotaj parti.

“Kita tak boleh terima ada di kalangan kita cuba nak mensabotaj parti semata-mata kerana ada agenda peribadi”katanya.

Dalam PRU ke12, salah satu sebab BN Perak tewas kepada Pakatan Rakyat ialah tindakan beberapa pemimpin peringkat bahagian melawan arus dengan menentang arahan pucuk pimpinan. Setengah dari mereka sanggup menutup bilik gerakan kerana mereka tidak dicalonkan mempertahan kan kawasan yang pernah mereka wakili.

Setengah pemimpin yang tidak berpuas hati dengan calon yang di anggap sebagai payung terjun juga bersikap “gunting dalam lipatan”. Menurutnya mereka bukan saja memberi jaminan dan ikrar itu dihadapan Perdana Menteri bahkan turut berbuat demikian di hadapannya. Katanya mereka berbuat demikian kerana faham parti sedang menghadapi saat-saat penting menghadapi pembangkang justeru “keutamaan kepada kemenangan parti adalah sangat penting.

”Katanya dengan demikian soal sabotaj dalam parti tidak akan timbul lagi tetapi jika ada maka sudah pastinya parti akan mengambil tindakan. Beliau berpuas hati melihat semangat perpaduan dikalangan pemimpin dan ahli bawahan seperti dalam Bahagian Gopeng. Mereka meletakkan keutamaan kepada kemenangan BN.

Jika ini diterjemah kan, beliau yakin BN akan merampas kembali kerusi Parlimen Gopeng serta DUN Teja dan Simpang Pulai yang dimenangi pembangkang dalam pilihan raya yang lalu. Sementara itu Ketua UMNO Bahagian Tapah Dato’ Samsudin Abu Hassan yang mewakili Perhubungan UMNO Negeri menyifatkan jaminan dari ketua-ketua UMNO Bahagian ini jelas membuktikan mereka mengutamakan kepentingan parti daripada kepentingan lain.

Berucap di majlis yang sama beliau berkata”Selaku ketua bahagian, kita kena terima dengan hati yang terbuka siapa sahaja yang dicalonkan walaupun bukan daripada ketua bahagian kerana yang paling utama memastikan kelangsungan kuasa pentadbiran BN.

”Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Kassim berpendapat komitmen dan janji yang diberikan oleh ketua-ketua bahagian ini kepada Dr Zambry selaku Pengerusi UMNO negeri dan kepada Perdana Menteri membuktikan mereka mahu BN terus kekal memerintah negeri Perak.