Ahad, 9 Disember 2012
BN Bukit Gantang Yakin Menang Semua Kerusi
Hasil kerja kuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turun padang ke seluruh negara dan memberi pelbagai bantuan kepada rakyat telah membuka mata dan hati pengundi bukan Melayu di Parlimen Bukit Gantang untuk kembali menyokong Barisan Nasional (BN).
Bercakap kepada Peraktoday.com, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli menegaskan keadaan jauh berbeza pada 2008 kerana pada ketika itu pengundi Cina dan India tidak memberi sokongan kepada BN, sekaligus menyebabkan kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Changkat Jering dan Kuala Sepetang dikuasai parti pembangkang.
“Tetapi pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) nanti, saya yakin sokongan pengundi bukan Melayu akan bertambah baik dan kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa pengundi Cina langsung tidak mengundi BN.
“Saya dapati ramai masyarakat India dan Cina datang ke pejabat saya untuk mendapatkan khidmat bantuan dan ia jauh berbeza dengan senario pada 2008,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Rosli yang juga Adun Trong, menaruh keyakinan penuh bahawa BN akan merampas kembali kerusi Parlimen Bukit Gantang yang kini disandang oleh mantan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin selain dua kerusi DUN iaitu Changkat Jering dan Kuala Sepetang.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, keyakinan merampas kembali kerusi yang dikuasai pembangkang adalah berdasarkan kerjasama erat yang terjalin antara parti komponen BN yang diterajui oleh UMNO.
Tambahnya lagi, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Bukit Gantang melaksanakan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan sokongan rakyat terhadap BN hingga diiktiraf antara bahagian yang aktif di negara ini.
“UMNO Bahagian Bukit Gantang diiktiraf antara bahagian yang paling aktif di Malaysia seperti yang diumumkan pada sesi taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 baru-baru ini.
“Sebagai Ketua Bahagian, saya hanya bekerja tanpa mengharapkan apa-apa dan adalah menjadi tanggungjawab dan niat saya untuk merampas kembali kerusi dimenangi pembangkang pada pilihanraya 2008,” katanya lagi.
Pelbagai program diatur oleh Pergerakan Puteri dan Pemuda untuk menambah jumlah daftar pemilih dan untuk UMNO Bahagian Bukit Gantang sahaja, terdapat 39 Pusat Daftar Pemilih (PDP) di kawasan itu selain empat pusat lagi dibuka oleh parti komponen, tegas Rosli lagi.
Mengulas khabar angin Nizar akan bertanding di DUN Changkat Jering pula, Rosli berkata, wakil rakyat PAS itu akan tumbang pada PRU-13 nanti.
“Tidak kira di kerusi Parlimen atau DUN mana, saya tidak bimbang dengan kehadiran Nizar ini kerana rakyat kini sudah membuka mata dan hati mereka mengenai perilaku dan sumbangan Nizar sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.
“Beliau (Nizar) tidak memberi manfaat kepada rakyat dan saya yakin pengundi hari ini adalah masyarakat yang semakin bijak menilai dalam menentukan masa depan mereka,” tambahnya lagi.